Perbanyakkan amalan sunat
Selain daripada bulan untuk meningkatkan kualiti amalan fardhu, Ramadan juga merupakan bulan untuk memperbanyakkan amalan sunat. Bulan Ramadan ini boleh diumpamakan sebagai bulan durian runtuh bagi umat Islam. Banyak tawaran hebat diperuntukkan oleh Allah SWT kepada hambaNya. Maka beruntunglah mereka yang berebut-rebut untuk mendapatkannya.
Apakah kita tidak tertarik dengan tawaran Rasulullah yang menawarkan pahala malan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan menyamai dengan amalan wajib yang dilakukan pada bulan selain Ramadan. Renungilah tawaran Rasulullah yang disampaikan oleh Salman ra kepada kita. Sabda Rasulullah saw pada hari terakhir Sya’aban :
…..sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan Ramadan dengan amalan sunat, ia seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya (bulan Ramadan) adalah seumpama seorang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan yang lain.
Apakah ada tawaran yang lebih baik daripada tawaran ini?
Ramadan boleh dianggap sebagai bulan syurga bagi orang yang suka beramal ibadat. Pelbagai ibadat sunat boleh dilakukan terutamanya ibadat sunat yang tidak ada pada bulan yang lain seperti solat Tarawih. Begitu juga dengan amalan sunat yang mudah dilakukan seperti menyediakan jamuan untuk berbuka puasa. Ganjarannya hebat dan amat besar. Sabda Rasulullah saw :
Sesiapa yang memberi makan seorang yang berpuasa untuk berbuka maka itu merupakan pengampunan dosa-dosanya dan kelepasan bagi dirinya daripada neraka dan dia akan mendapat ganjaran pahala sebagaimana pahala puasa orang tersebut tanpa kurang sedikit pun. Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minum dari telagaNya (al-Kauthar) pada hari kiamat. Hanya dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga.
Selain solat Tarawih dan memberi makan kepada orang berbuka, banyak lagi amalan sunat yang boleh dilakukan seperti membaca al-Quran, bersedekah, berdoa, sembahyang sunat, bertahajud, berzikir, membantu orang miskin dan sebagainya. Inilah masanya dan peluang untuk kita menambah dan mengumpul pahala sebagai bekalan menuju akhirat.
Harus diingatkan apabila melakukan amalan sunat, jagalah hati daripada sifat takabur, ingin menunjuk-nunjuk, ingin dipuji dan sebagainya kerana ia boleh merosakkan amalan sunat.Lakukanlah dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Marilah kita mempertingkatkan amalan-amalan sunat kita pada bulan Ramadhan tahun ini. Mudah-mudahan amalan sunat kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment