Rebutlah peluang bertarawih
Peluang untuk mengerjakan solat Tarawih bukan hadir sepanjang tahun namun hanya ada pada bulan Ramadan. Itupun pada malam hari sahaja. Kadang-kadang kita termampu mengerjakannya hanya 29 malam sahaja jika kita berpuasa hanya 29 hari sahaja. Peluang ini sekiranya tidak direbut dengan sebaik-baiknya, kita akan keluar daripada Ramadan yang penuh berkat ini sebagai orang yang rugi. Oleh itu sesiapa yang mahu dosa-dosanya diampunkan oleh Allah, maka kerjakanlah solat Tarawih dengan penuh keimanan di samping mengharapkan keampunan Allah. Sabda Rasulullah saw:
Sesiapa yang mengerjakan amal ibadat sepanjang bulan Ramadan dengan penuh keimanan serta mengharapkan akan keredhaan Allah nescaya akan diampunkan dosanya yang terdahulu.
( HR: Muslim )
Solat Tarawih merupakan salah satu syiar Ramadan.Bahkan ia adalah salah satu sunnah Rasulullah saw dan juga para sahabat. Rasulllah sendiri telah mengejutkan kaum keluarga baginda untuk bangun mengerjakan ibadat pada malam-malam Ramadan termasuklah solat Tarawih dan ibadat-ibadat lain.
Sesungguhnya banyak kelebihan solat sunat Tarawih, antaranya :
a) Para malaikat akan menyeru kepada manusia yang sedang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada setiap malam dan memohon kepada Allah SWT supaya mengampunkan dosa hamba-hambaNya yang bertarawih.
b) Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala seumpama pahala para malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur
c) Para malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih dan Allah SWT tidak akan menyesatkan mereka.
d) Para malaikat juga akan turut serta mengerjakan solat Tarawih kerana Malaikat tidak diperintahkan untuk mengerjakan solat Terawih di arasy disebabkan solat Taerawih hanya dilakukan di bumi sahaja.
Seorang wanita juga tidak dihalang daripada menunaikan solat Tarawih di masjid atau di surau asalkan mereka dapat menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh syarak. Seorang wanita ketika ke masjid atau surau mestilah menjaga pakaiannya. Pastikan pakaian yang dipakai menutup aurat dan tidak menampakkan perhiasan. Demikian juga disyaratkan laluan atau perjalanan ke tempat solat itu selamat serta tidak menimbulkan fitnah kepada wanita itu dan juga tidak mendatangkan fitnah kepada jemaah lelaki.
Beruntunglah orang yang dapat mengerjakan solat Tarawih sepanjang Ramadan. Amat malang bagi orang yang hanya mengerjakan solat Tarawih hanya pada malam-malam awal Ramadan sahaja, sedangkan tawaran dan ganjaran Tarawih ditawarkan hingga akhir Ramadan.
Rebutlah peluang bertarawih, mohonlah kekuatan daripada Allah untuk terus istiqamah mengerjakannya hingga ke malam terakhir Ramadan. Mudah-mudahan kita tidak dilekakan dengan godaan nafsu ataupun dengan persediaan menyambut Aidilfitri.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment