Perbalahan dan pergaduhan
Ayahandaku yang tercinta…!
Saya sering mendengar bahawa rumah adalah ladang kemesraan dan taman kesejahteraan. Iaitu rumah yang dinaungi oleh rasa kecintaan, dilingkungi oleh suasana kemesraan dan dimasuki oleh perasaan kasih dan sayang.
Namun begitu, wahai ayahandaku, mengapa rumah kita berbeza keadaannya dari apa yang saya dengar?
Rumah kita telah menjadi seperti medan perang antara ayahanda dengan bonda sedangkan yang menjadi mangsanya ialah kami anak-anakmu. Ayahanda dan bonda seperti dua binatang buas yang ganas yang ingin menewaskan antara satu sama lain….
Wahai ayahandaku, mengapakah kamu berdua tidak mahu menghentikan perbalahan ini? Sungguh ia membakar urat nadi kami dan mengoyak rabakkan kebahagiaan kami. Ia menjadikan rumah kami semua tidak upaya untuk didiami dengan tenang.
Sesungguhnya ayahandaku, saya cuba sedaya upaya untuk tidak masuk ke rumah. Malah saya bercita-cita apabila saya keluar dari pada rumah agar keadaan saya seperti orang tawanan yang terbelenggu dapat dibebaskan. Namun apabila saya keluar daripada rumah, dunia di luar lebih mencabar dan terlalu hebat ujiannya, sehingga menjadikan hidup saya sempit. Diri saya tidak keruan dan tidak berupaya melangkah dengan selesa. Jiwa saya menjadi letih akibat permasalahan ini. Lantas saya pulang semula ke rumah dalam keadaan berdukacita bagaikan seorang hamba yang melarikan diri dan dikembalikan semula kepada tuannya.
Jika tiada pilihan melainkan binatang tua
Apalah daya orang yang terdesak kecuali mengenderainya.
(al-Kumait al-Asadi)
Duhai ayahandaku….bilakah saya akan dapat merasai ketenangan yang diimpikan itu? Bilakah saya akan dapat mengecapi hidup yang dibaluti rasa kasih mesra yang didambakan oleh semua orang? Bila? Bila?......
Kebimbangan yangku gusari telahpun terjadi
(Al-Abbas bin al-Asnaf)
Ayahandaku tercintai! Andaikata suatu hari nanti, ayahanda membawaku ke hospital, atau melawat saya di penjara, atau mencari-cari saya di jalan yang penuh noda dan kehinaan, maka janganlah ayahanda halakan kutukan dan celaan kepadaku, kerana saya adalah korban dan mangsa perbalahan ayahanda dengan bonda. Saya adalah ibarat satu dahan yang dicantas lalu dicampakkan ke dalam api yang marak menyala….!
Wallahu a’alam.
(Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)
No comments:
Post a Comment