Monday, August 27, 2012

Suara hati anak 8

Keras dan tegas

Ayahandaku yang tercinta…

Aduhai ayahanda yang sangat mengambil berat memberikan pendidikan dan pemerhatian terhadapku, yang tidak menginginkan berlaku kesilapan dan kesalahan daripada diriku.
Tidakkah ayahanda tahu, bahawa saya adalah manusia yang tidak dapat mengelak daripada kesalahan, sedangkan kita semua juga adalah orang yang bersalah.

Siapakah orangnya yang perangainya semua direstui. Memadailah kecerdikan seseorang apabila ia memeriksa kesalahan-kesalahannya.

                                    (Ali bin Al-Jahm)

Justeru itu, mengapakah ayahanda menjadikan pukulan sebagai jalan untuk memberikan kefahaman? Pukulan itu satu-satunya cara untuk menjalankan hukuman? Kekerasan itu menjadi tangga untuk pengajaran?

Anakanda tidak diberikan kesempatan untuk mengemukakan alasan, padahal suara bijak pandai ada menyebutkan :

Sabar dan jangan gopoh untuk mencela seseorang. Barangkali anda mencela seseorang yang mempunyai keuzuran.

                                    (Marwan bin Abi Hafsah)

Anakanda tidak diberikan peluang untuk memberikan pandangan, sedangkan suara bijak pandai mengatakan :

Jangan remehkan pandangan yang dibawa kepadamu oleh seorang hina. Bukankah lebah itu juga sejenis lalat yang menerbangkan madu.

                                    (Ibn Abi Bakar al-Muqri)

Anakanda tidak diberikan harapan untuk memohon maaf, sedangkan suara bijak pandai mengatakan :

Terimalah kemaafan orang yang meminta maaf. Sama ada apa yang dikatakan itu baik atau buruk. Kerana sesungguhnya ada orang yang kamu suka, mentaatimu zahirnya. Dan ada orang yang membantahmu, memuliakan kamu secara bersembunyi.

                                    (Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafii)

Oleh itu, mengapakah ayahanda mengambil tindakan bermula daripada jalan akhir?. Bukankah ada rawatan lain yang lebih baik? Mengapakah ayahanda menutup semua jalan, melainkan dengan kekerasan dan ketegasan? Di manakah kelembutanmu?..yang mana kelembutan itu seperti dikatakan oleh rasulullah saw :

Jika diletakkan atas sesuatu maka ia menjadi perhiasannya dan jika ditanggalkan daripada sesuatu maka ia menghodohkannya.

                                                (Muslim)

Sabda baginda lagi :

Tidaklah dihulurkan kelembutan kepada penghuni rumah melainkan ia akan memanfaatkan mereka.

                                    (Riwayat daripada Ibn Umar dengan sanad sohih)

Di manakah sifat menahan kemarahan?...yang rasulullah saw bersabda tentangnya :

Sesiapa yang menahan kemarahan sedangkan ia mampu mengambil tindakan, maka Allah akan memanggilnya di hadapan semua makhluk sehingga ia diberikan memilih mana-mana bidadari yang mahu dikahwininya.

                        (Riwayat daripada Mu’az bin Anas dengan sanad baik)

Wahai ayahandaku….! Jadilah orang yang mudah berkira bicara tetapi tidak leka dan lalai. Jadilah orang yang tegas tetapi tidak melampau. Ini kerana rasulullah saw bersabda :
Sesiapa yang mudah dan berlembut maka Allah haramkan neraka terhadapnya.

                        (Riwayat daripada Abu Hurairah dengan sanad sohih)

Wahai ayahandaku….! Bukan semua penyakit boleh diubati dengan satu jenis rawatan . Rawatan itu ada tahap demi tahap. Oleh itu mengapakah kita mulakan rawatan dengan tahap yang terakhir?

Ayahandaku….!

Pandanganmu menggusarkan daku….Pengabaianmu menyiksa diriku….Kemaafan daripadamu akan membetulkan daku….Setiap penyakit ada ubatnya dan setiap kesalahan ada hukumannya.

Meletakkan benda basah di atas mata pedang menjejaskannya sama seperti meletakkan pedang ke dalam tempat yang basah.

                                    (Abu al-Tayyib al-Mutanabbi)

Ayahandaku…! Jadikanlah rasulullah sebagai contoh ikutan dan dan suri tauladan yang terbaik. Ini kerana pengutusan rasulullah saw itu adalah sebagai rahmat Allah untuk sekalian alam. Rasulullah saw adalah seorang yang paling pengasih kepada ahli keluarga dan kanak-kanak :

Bukan daripada golongan kami orang yang tidak mengasihi anak kecil dan tidak menghormati orang tua.
                                               
(Riwayat daripada Watsilah bin Al-Asqa’ dengan sanad sohih)

Baginda saw juga bersabda :

Berikan pengajaran dan permudahkan, jangan dipayahkan. Gemarkan dan jangan menjauhkan. Apabila salah seorang kamu marah, maka hendaklah ia diam.

                        (Riwayat daripada Ibn Abbas dengan sanad sohih)
                                               
Wallahu a’alam.

 (Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment