Monday, August 27, 2012

Bertaqwa kepada Allah walaupun di mana kita berada

Dari Abu Zarr Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abdul Rahman Mu’az bin Jabal ra dari rasulullah saw sabdanya: Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan supaya menyapunya dan berperangailah terhadap manusia dengan akhlak yang baik.

                                    (Riwayat Tirmizi dan katanya hadis hasan)

Keterangan :

Rasululllah saw memerintahkan supaya tiap-tiap seorang Islam itu supaya bertaqwa kepada Allah swt walau di mana jua ia berada. Ini menunjukkan bahawa kita mestilah sentiasa bertaqwa dengan melakukan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya . Kita mesti bertaqwa sewaktu dalam keramaian, bersendirian, di kalangan mereka yang dikenali atau orang asing.

Jika melakukan kesalahan dan dosa, kita hendaklah mengikutinya dengan kebaikan. Iaitu bertaubat dan melakukan perkara-perkara taat kepada Allah swt menerusi ibadat-ibadat wajib atau sunat seperti bersedekah dan lain-lain. Bertaubat boleh menghapuskan dosa, jika ia taubat yang sebenarnya dan diterima Allah. Begitu juga menunaikan ibadat seperti sembahyang, ada hadis menyatakan dosa-dosa kecil terampun dengan mengambil wuduk iaitu keluar dosa-dosa itu melalui titisan terakhir wuduk kita.


Dalam hadis ini juga rasulullah saw memerintahkan agar berperangai baik. Pergaulan dengan manusia juga dengan baik. Akhlak Islam perlu sesama manusia baik yang beragama Islam atau tidak. Ini supaya dapat dilihat oleh orang lain bagaimana orang Islam itu hidup dalam masyarakat.

Kalau kita teliti, keseluruhan hadis menuntut seseorang itu bertaqwa kepada Allah, berusaha membersihkan diri dan jiwa dari dosa. Kemudian di dalam kehidupannya, ia mempunyai akhlak yang baik sesama manusia.

Kesimpulan :

1. Kita wajib bertaqwa kepada Allah swt di mana sahaja dan dalam keadaan mana sekalipun kita berada.
2. Kita mesti membersihkan diri kita dari segala dosa dengan bersungguh-sungguh bertaubat dan melakukan kebaikan.
3. Dalam pergaulan kita mestilah berakhlak dengan akhlak yang baik iaitu akhlak Islam.
4. Tiap-tiap seorang Islam haruslah menjadi contoh kepada orang lain dalam soal akhlak.

Wallahu a’alam.

( Mengenal Islam)

No comments:

Post a Comment