Mencari malam yang lebih baik daripada seribu bulan
Kasih sayang Allah terhadap hambaNya tidak terbatas dengan penciptaan alam dan segala isinya. Malah hambaNya dikurniakan pula dengan satu malam yang amat istimewa iaitu Lailatulqadar atau malam yang amat bernilai. Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 3 :
Malam Lailaulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan keredhaan dan pahala yang banyak dan berganda, maka malam ini amat ditunggu-tunggu. Satu malam beribadat sama pahala dan ganjarannya seperti beribadat selama seribu bulan. Dengan kata lain, sesiapa yang dapat beribadat pada malam tersebut, seolah-olah telah beribadat selama 83 tahun 4 bulan.
Betapa besar dan hebatnya nikmat dan kasih sayang Allah kepada hambaNya. Bagi mereka yang tahu menghargainya, ia adalah hadiah yang tidak ternilai, satu kurniaan daripada Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Persoalannya, bilakah berlakuknya Lailatulqadar? Itulah persoalan yang sering menjadi tanda tanya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salim daripada bapanya, katanya: seorang lelaki bermimpi melihat malam al-Qadr iaitu pada malam ke-27 bulan Ramadan. Sabda Rasulullah :
Aku bermimpi seperti mimpimu iaitu pada 10 malam akhir kerana itu carilah dia pada malam-malam yang ganjil.
( HR: Muslim )
Sesetengah ulama berpendapat malam Lailatulqadar yang istimewa ini mempunyai beberapa tanda atau alamat yang membezakannya dengan malam-malam yang lain. Antaranya :
a) Keadaan malam yang terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terlalu panas dan tidaklah pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancarkan cahayanya.
b) Air laut yang masin bertukar menjadi tawar
c) Pokok seolah sujud ke bumi dan kemudian akan tegak kembali seperti asalnya
d) Matahari akan terbit pada keesokan paginya dengan sinaran yang lemah. Ia terbit dalam bentuk satu bulatan rata seperti bulan purnama. Allah SWT telah mengharamkan syaitan keluar bersama matahari pada hari itu. Sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit.
Demikianlah sebahagian kecil tanda Lailatulqadar. Apa yang lebih penting ialah mengisi malam sepuluh yang terkhir dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah, dengan memperbanyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir, munajat, doa dan membaca al-Quran lebih daripada malam-malam Ramadan yang lain kerana saat itu ibadat digandakan dan doa pula dikabulkan Allah. Tiadal lagi malam yang lebih hebat daripada Lailatulqadar.
Mudah-mudahan Allah pertemukan kita dengan malam Lailatul qadar, hanya kepada Allah kita mohon kekuatan dan hanya kepada Allah kita berserah.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment