Leburkan dosa di tapak tangan
Kemunculan 1 Syawal membuka ruang yang luas untuk kita saling bermaaf-maafan. Dalam suasana gembira dan ceria kerana telah berjaya menamatkan ibadat puasa, hati biasanya menjadi lembut dan mudah memberi kemaafan berbanding dengan hari-hari yang lain.
Orang yang berpuasa telahpun mendapat keampunan Allah. Alangkah mulianya jika dia pula mengampunkan kesalahan orang lain terhadapnya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
Sesiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan, keinsafan dan harapan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
(HR: al-Bukhari)
Dalam kehidupan seharian, kita banyak berhubung dengan orang lain. Kadang-kadang kita secara sengaja atau tidak sengaja telah mengguris hati saudara kita atau menyakiti saudara kita. Maka pada Hari Raya yang mulia ini, hulurkanlah tangan mohon ampun di atas segala kesalahan yang telah dilakukan selama ini. Leburkan dosa di tapak tangan pada hari yang mulia ini. Sabda Rasulullah saw :
Mana-mana orang Islam yang apabila bertemu kedua-duanya lalu berjabat tangan, kecuali diampunkan dosa kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah.
(HR: Abu Daud)
Inilah saatnya kita memohon keampunan terutamanya kepada kedua ibubapa kita yang telah banyak berkorban, sejak di dalam kandungan, ketika dilahirkan sehinggalah sekarang ini, Kita tidak mungkin membalas jasa mereka dengan apa jua sekalipun.
Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa, kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.
(HR: al-Tirmizi)
Selain kedua ibu bapa, kita juga mungkin melakukan kesalahan terhadap sahabat handai dan kawan-kawan kita. Apabila selalu berhubung, mungkin ada perbuatan, tingkahlaku, tuturkata kita yang tidak disenangi atau mengguris perasaan mereka. Hulurkan tangan dan bersalaman untuk mohon keampunan.
Namun begitu, harus diingat tentang bersalaman antara berlainan jantina. Hukumnya tetap haram. Hari Raya bukan bermakna harus bersalaman antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin atau bukan mahram. Janganlah pula ketika mencari keampunan manusia, tiba-tiba mendapat murka Allah kerana telah melanggar syariat dan hukum Allah. Awasilah tangan kita daripada menyentuh tangan orang yang haram disentuh atas nama apa sekalipun atau nama Hari Raya.
Marilah kita jadikan hari yang mulia ini untuk saling bermaaf-maafan. Sesungguhnya tidak ada kebaikan pada sifat berdendam. Ingatlah, Allah memaafkan hamba-hambaNya juga patut mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Tuhannya terhadap hamba-hambanya.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment