Tuesday, August 21, 2012

Orang mukmin pantang tertipu

Dari Abu Hurairah ra daripada nabi saw sabdanya : Tidak disengat orang mukmin itu dari satu lubang dua kali.

                                    ( HR : Al-Bukhari)

Keterangan :

Rasulullah saw menyatakan bahawa seseorang mukmin mestilah cerdik dan segera  mengambil pengajaran dari sesuatu peristiwa atau kejadian yang merugi atau menyakitkannya. Orang mukmin tidak harus tertipu lebih dari sekali dalam satu perkara atau oleh sesuatu pihak.

Hadis ini membuat perumpamaan dengan binatang bisa. Biasanya, haiwan itu duduk di dalam lubang sebagai sarangnya. Contohnya, kala jengking. Apabila seseorang mencari sesuatu di situ dan tersentuh lubang berkenaan, tangannya  boleh disengat serta merta. Maka orang berkenaan pun tahu bahawa terdapat binatang merbahaya di dalam lubang. Lalu lubang  itu tidak lagi diganggu, kerana tidak mahu disengat sekali lagi. Atau ia berusaha menghapuskan binatang tersebut agar tidak membahayakannya lagi atau orang lain.
 
Begitu juga, jika seseorang itu mendapat bencana atau kesusahan kerana seseorang atau sesuatu golongan. Ia mestilah mengambil pengajaran dari pengalamannya itu agar tidak berulang lagi bencana yang diterimanya.

Kesimpulan :

1.  Orang mukmin mestilah cerdik.
2. Orang mukmin mestilah menjadikan sesuatu peristiwa yang berlaku sebagai pengajaran kepadanya.
3.  Sesuatu perkara yang merbahaya itu biasanya tersembunyi seperti binatang bisa tersembunyi di dalam lubangnya maka hendaklah seorang mukmin itu berhati-hati.

 ( Mengenal Islam)

No comments:

Post a Comment