Friday, August 10, 2012

Bingkisan Ramadan 15

Adakah sesiapa yang memohon kepadaKu malam ini

Ramadan adalah bulan yang menunjukkan sifat pemurahnya Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Allah membuka pintu rahmat seluas-luasnya dan memakbulkan doa hamba-hambaNya.

Ketika Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk berpuasa sepertimana puasa itu juga telah difardhukan kepada umat-umat terdahulu, lalu Allah SWT memerintahkan pula supaya mereka meminta dan berdoa kepadaNya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186:
 
Dan apabila hamba-hambaKu meminta kepadamu tentang Aku, Maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

Allah SWT telah mengaitkan bulan Ramadan dengan doa yang mudah dimakbulkan. Seolah-olah berdoa mempunyai kaitan rapat dengan orang yang berpuasa.

Bulan Ramadan memberi ruang yang seluas-luasnya untuk seseorang hamba bermunajat dan berdoa kepadaNya terutamanya ketika waktu di tengah malam. Berdoa di tengah malam lebih mudah dimakbulkan. Mohonlah apa sahaja kebaikan di dunia dan di akhirat sama ada untuk diri sendiri, ibu bapa, keluarga, sahabat handai dan lain-lainnya.

Mohonlah apa sahaja hajat, memohonlah dijauhkan bala, dimurahkan rezeki, diberi kesihatan dan kebahagiaan, kejayaan dan kecemerlangan dan sebagainya. Berdoalah, kerana Allah telah mengutuskan malaikat yang sentiasa menyeru orang yang beriman pada setiap malam bulan Ramadan untuk meminta kepada Allah. Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Allah berfirman :

Wahai orang yang mencari kebaikan, bersegeralah!. Adakah orang yang meminta, akan aku kabulkan permintaannya.

Berdoalah kerana doa itu ertinya meminta, memohon, merayu dan merintih. Berdoa hanya kepada Allah. Jangan lepaskan tawaran yang hebat ini, tawaran daripada Allah, tuhan semesta alam yang amat luas khazanah simpanannya.
 
Selain memohon sesuatu hajat, gunakanlah peluang ini untuk memohon keampunan dan keredhaan daripada Allah SWT. Ibnu Umar juga meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, Allah berfirman :

Adakah terdapat sesiapa yang memohon ampun untuk diampuni dosanya? Adakah terdapat sesiapa yang bertaubat untuk diterima taubatnya?

Oleh itu, berdoalah dengan bersungguh-sungguh pada bulan yang telah dijanjikan ini dan yakinlah dengan doa yang diminta. Berdoalah setiap hari, setiap malam, berulang kali. Insya Allah doa kita akan didengari oleh Allah. Amin.

Wallahu a’alam.

 ( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment