Wednesday, August 22, 2012

Suara hati anak 3

Persekitaran penuh dosa dan noda

Ayahandaku yang tercinta…

Pernahkah ayahanda melihat sampan kecil dihempas ombak yang menggulung.
Pernahkah ayahanda menyaksikan burung kecil yang patah sayapnya dikejar dan dibaham oleh binatang buas dengan penuh kerakusan?

Sesungguhnya anakandamu ini lebih lemah daripada itu semua dalam menghadapi suasana yang penuh pancaroba, nafsu serakah dan kekeliruan-kekeliruan siang dan malam.

Mata ini melihat benda yang tidak dapat memejamkannya….
Telinga ini mendengar perkara yang menghambur kedukaannya…
Tubuh ini hidup bersama perkara yang penuh dengan cumbu-rayu….
Hati ini hanya merasai perkara yang bakal menjadi fitnah untuknya…..
Akal ini hanya mengetahui maklumat yang menyesatkannya….

Sesiapa menternak kambing di tempat binatang buas lalu dia tidur tidak memperdulikannya, maka singalah yang menjaganya.

                                    (Abu Muslim al-Khurasani)

Sedarkah ayahanda bahawa ayahanda telah menyediakan satu persekitaran untuk anakmu yang penuh dengan kemaksiatan dan dosa? Dek kerananya, anakmu ini menghidu bauan nafsu syahwat yang menghasilkan pendurhakaan terhadap Allah. Sesungguhnya apa yang saya temui tidak lain daripada perkara yang menjebak ke arah kerosakan bercampur aduk dengan kesalahan, dosa dan mala petaka.

Sesiapa yang dipandu arah oleh sigagak, tentulah ia akan melalui di atas bangkai-bangkai anjing.
                                    (Ziyad al-A’ajim)

Ayahanda campakkan saya dalam lautan nafsu tanpa memakaikannya dengan kalung kejayaan. Setelah itu, ayahanda inginkan agar daku menjadi seperti malaikat yang maksum.

Jauh sekali….jauh sekali.

Ia mencampakkannya ke laut dengan tubuh yang terkilas, sambil berkata : Awasilah, awasilah, jangan sampai kamu kebasahan.

    (Al-Husain bin Mansur al-Hallaj- seorang bermazhab Qadariah yang kontreversi)

Duhai ayahandaku!

Sekali-kali anakmu ini tidak ingin menjadi seterumu pada hari kiamat, sehingga memaksaku meruntunmu pada hari yang penuh kerugian dan penyesalan itu sambil berkata : wahai Tuhanku, tebuslah kezalimanku daripada bapaku….

Wahai Tuhanku, dia pernah melihatku melakukan maksiat tetapi tidak melarangnya….
Wahai Tuhanku, dia pernah menyaksikan aku tidak melakukan kebajikan lalu dia tidak pun menyuruhnya…..
Wahai Tuhanku, dia menyediakan untukku jalan-jalan kemaksiatan. Dia hiaskan pandanganku dan mencampakkan aku dalam api nafsu syahwat. Lalu terbakarlah keimananku dan hancur luluhlah kebajikanku.

Apakah itu yang bakal terjadi kepada kita? Bukankah rasulullah saw pernah bersabda:

Bandingan orang yang membantu kaumnya di atas jalan yang salah samalah seperti unta yang dilaga tetapi ekornya ditarik.

                                    (Riwayat daripada Ibn Ms’ud dengan sanad sohih)

Ayahandaku yang tercinta, sesungguhnya anakmu ini adalah amanah yang terpikul ke atasmu. Ayahanda akan ditanya tentangku di hadapan Tuhanku dan Tuhanmu. Justeru itu wahai ayahandaku, didiklah saya supaya sibuk melakukan ketaatan kepada Allah, bukannya sibuk melakukan kemaksiatan. Pergunakanlah diriku ini untuk mencapai keredhaan Allah agar aku tidak terjebak dalam perkara yang menimbulkan kemurkaan Allah. Permudahkanlah bagiku menghampirkan diri kepada Allah agar aku tidak melakukan perkara yang memurkakan Allah.

Duhai ayahandaku:
 
Berbuat baiklah kepadaku semasa aku kecil agar apabila besar nanti aku berbuat baik kepadamu…
Jangan menderhakaiku semasa aku kecik agar aku tidak menderhakaimu semasa aku besar nanti….
Sebagaimana kamu melakukan maka begitulah kamu diperlakukan. Apa yang kamu semai pada hari ini akan kamu tuai besok hari.Orang yang hendak mendapatkan kejayaan akan berusaha mencari jalannya.

Kamu mengharapkan kejayaan tanpa mengikut jalannya. Sesungguhnya kapal tidak dapat belayar di atas daratan.

                                                (Abu al-‘Atahiyah)
 Wallahu a’alam.

 (Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment