Jangan mengelar-gelar sesama kamu
Ayahandaku yang tercinta…!
Saya pernah membaca firman Allah swt :
Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka: dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.
(al-Hujurat : 11)
Oleh itu, mengapakah saya pernah mendengar daripada rekahan bibir ayahanda kata-kata yang jelek dan ungkapan yang sungguh buruk serta sifat-sifat tercela yang ayahanda lemparkan kepadaku?
Mengapa ayahanda mengejek-ejek dan merendah-rendahkan saya? Mengapa ayahanda mengelar saya dengan berbagai-bagai gelaran? Disebabkan perkara yang kecil, tergamak ayahanda mengejek-ejek saya serta merendah-rendahkan saya. Apabila saya mengambil sebatang pen daripada kocek ayahanda tanpa pengetahuan ayahanda maka degan cepat ayahanda melenting sambil melemparkan perkataan : hai pencuri….!
Apabila saya bermain dengan adik dan saya mengambil sesuatu daripada tangannya, sekalipun kerana tersilap, lalu terkeluarlah hamburan daripada mulut ayahanda : hai penipu….!
Apabila saya terlewat pada suatu hari untuk melaksanakan arahan ayahanda kerana sesuatu sebab, lalu ayah mengherdik dan berkata : hai pemalas…!
Apabila pada suatu hari saya memukul adik sekali sahaja, lalu ayah berkata kepada saya : hai budak jahat…..!
Apabila saya berbohong, sekali sahaja walaupun kerana bergurau, lalu ayahanda berkata : hai pembohong…!
Setiapkali saya mendengar kata-kata celaan ayahanda, maka saya merasakan bahawa diri saya dan air muka saya berubah. Terbakar rasanya jantung hati saya. Tekak ini rasanya terlalu pahit sebagaimana pahitnya kata-katamu yang nista itu. Ayahanda lontarkan kata-kata itu bagaikan batu-batu besar daripada gunung berapi yang sedang meledak…!
Ayahandaku tercinta….! Bukankah rasulullah saw bersabda:
Orang mukmin bukannya orang yang suka menghendik, bukannya yang suka memaki hamun, bukannya orang bercakap kotor dan bukannya orang yang suka mencarut.
( Riwayat daripada Ibn Mas’ud dengan sanad sohih )
Lebih memilukan lagi perasaan ini hai ayahandaku, apabila ayahanda melontarkan kata-kata nista, kutukan dan celaan itu di hadapan orang. Lantas saya menjadi orang yang tidak tahu menilai perasaan lagi. Justeru, nasihat bagi saya telah menjadi sesuatu yang kotor dan pengajaran menjadi sesuatu yang buruk.
Utarakan nasihatmu itu padaku secara bersendirian. Jauhkan memberi nasihat dalam perkumpulan ramai. Kerana menasihatkan aku di khalayak manusia adalah satu bentuk pencelaan yang tidak sudi untuk aku mendengarnya. Jika kau sanggahi aku dan tidak mendengar kataku ini , janganlah kecewa apabila engkau tidak dipatuhi.
(al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafii)
Wallahu a’alam.
(Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)
No comments:
Post a Comment