Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda : Janganlah bercita-cita oleh seseorang dari kamu untuk mati, sama ada ia baik semoga bertambah kebaikannya dan sama ada ia seorang yang jahat semoga ia mencari keredhaan.
(Sepakat riwayat dan ini adalah lafaz Bukhari)
Keterangan :
Rasulullah saw melarang seseorang itu bercita-cita untuk mati, kerana ia pasti datang. Namun kita disuruh untuk mengingati mati agar timbul keinsafan di hati.Sekiranya ia seorang yang baik, usia yang bertambah panjang nescaya bertambahlah kebaikan yang dilakukannya. Jika sebaliknya, diharapkan ia akan insaf dan berfikir kemudian mencari jalan yang diredhai Allah. Jadi kedua-duanya adalah baik.
Hakikatnya, kehidupan ketentuan dan tertakluk dalam urusan Allah swt. Walaupun berkaitan kita sendiri, kita tidak harus campur tangan. Kita hanya patut menerima sahaja di samping berdoa dan berusaha untuk keselamatan dunia dan akhirat. Allah menentukan kadar kematian seseorang, segera atau lambat. Maka kita tidak perlu bercita-cita untuk mati. Seseorang akan lemah menghadapi kehidupan. Ia malas bekerja dan membiarkan apa sahaja berlaku dan begitulah seterusnya.
Apa yang mustahak, seseorang perlu berusaha menambahkan kebaikan untuk dirinya sekiranya ia baik dan mengubah sikap jika sebaliknya. Orang baik tidak harus berpuas hati dengan kebaikan yang telah dilakukan. Kebaikan perlu ditambah dan dibaiki. Orang yang jahat pula tidak harus membiarkan dirinya terus-terusan dengan kejahatan sebaliknya berusaha mencari keredhaan Allah Dengan izin Allah, seseorang itu akan mendapat hidayahNya dan boleh menjadi baik.
Bercita-cita untuk mati hanya mendatangkan penyakit jiwa. Seseorang akan merasakan hidup ini tidak berguna lagi. Allah swt mencela sikap orang yang kecewa ini. Sabar dalam sebarang keadaan dan berdoa untuk mendapat kebaikan.
Di sudut lain, orang yang begitu baik sering segera mati. Ada pula orang yang jahat lambat mati. Begitulah sebaliknya. Semua ini kehendak Allah. Sebagai makhluk kita perlu menerima. Gunakan peluang yang diberikan untuk melakukan kebaikan sebanyak mungkin.
Alangkah baiknya orang yang lama hidupnya penuh dengan kebaikan. Dan kita mengharapkan orang yang jahat dan panjang umurnya agar insaf dan bertaubat serta memohon keredhaan Allah. Sebenarnya buruk dan baik itu telah dijelaskan Allah swt, kita hanya memilih sama ada hendak menjadi jahat atau baik menurut ukuranNya.
Kesimpulan :
1. Bercita-cita untuk mati adalah dilarang sama ada seorang itu baik ataupun jahat.
2.Orang yang baik akan bertambah kebaikannya apabila umurnya panjang dan orang yang jahat mungkin akan timbul keinsafannya dan mendapat keredhaan Allah.
3. Orang yang paling baik ialah panjang umurnya dengan kebaikan dan orang yang paling jahat ialah orang yang panjang umurnya dengan kejahatan.
4. Bercita-cita untuk mati akan menimbulkan penyakit jiwa dan kecewa.
5. Kita mesti ingat kepada mati kerana semua yang hidup akan mati, supaya timbul keinsafan di dalam diri kita dan ingin membuat sebanyak-banyak kebaikan.
6. Hidup dan mati adalah ketentuan Allah, manusia hanya menerima dan berusaha untuk menggunakan peluang hidupnya bagi kebaikan.
Wallahu a’alam.
( Mengenal Islam )
No comments:
Post a Comment