Sunday, August 12, 2012

Mas kahwin yang disaksikan Malaikat 3

Ketika nabi Muhammad menikahkan Fatimah dengan Ali bin Abi Talib, baginda mengundang Abu Bakar, Umar dan Usamah untuk membawakan persiapan Fatimah.

Mereka bertanya-tanya tentang persiapan yang dikatakan oleh Rasulullah untuk puteri kesayangannya itu. Kemudian, mereka mendapati bahawa persiapan tersebut hanyalah alat penggiling gandum, kulit binatang yang disamak, kendi dan sebuah piring.

Apabila Abu Bakar mengetahui hal itu, dia menangis. Wahai Rasulullah, apakah ini sahaja persiapan untuk Fatimah?, soalnya.

Nabi pun menenangkannya lalu menjawab dengan lembut: Wahai Abu Bakar, ini sudah cukup bagi orang yang berada di dunia.

Fatimah yang menjadi pengantin pada hari itu, kemudian keluar daripada rumahnya dengan memakai pakaian yang cukup bagus tetapi dengan 12 kesan tampalan pada pakaiannya. Tiada langsung solekan, apatah lagi perhiasan yang mahal..

Setelah Fatimah dan Ali dinikahkan, Fatimah sentiasa menggiling gandum dengan tangannya, membaca al-Quran dengan lidahnya, menafsirkan kitab suci dengan hatinya dan menangis dengan matanya.
 
Rasulullah telah menunjukkan model kesederhanaan dan sifat qanaah adalah kekayaan hakiki. Sabda baginda : Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman, yang tercermin dalam sifat qanaah.

Sesungguhnya qanaah adalah sebuah sikap yang menerima ketentuan Allah dengan sabar dan menarik diri daripada kecintaan dunia.

Sabda nabi lagi : Qanaah adalah harta yang tak akan hilang dan satu simpanan yang tak akan lenyap.

Wallahu a’alam.

 ( Rahsia kehebatan wali-wali Allah, Adil Akhyar 2012 ) 

No comments:

Post a Comment