Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Monday, November 16, 2015

Aurad Imam Ghazali


Imam Ghazali dalam sehari-harinya tidak pernah melupakan kewajibanya di dalam membaca aurad. Setiap satunya sebanyak 1000 kali sebagaimana berikut:

Jumaat : Yaa Allaah
Sabtu : Laa ilaaha illallaah
Ahad : Yaa Hayyu Yaa Qayyuum ( Dzat yang hidup kekal dan berdiri sendiri )
Isnin : Laa haula wa laa quwwata illaa billaahil ‘aliyyil ‘azhiim ( Tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang luhur lagi agung )
Selasa : Selawat nabi ( mana-mana yang disenangi/dikuasai) Contoh: Shallallaahu ‘alaa Muhammad.
Rabu : Astaghfirullaahal ‘azhiim ( Aku minta ampun kepada Allah yang Agung )
Khamis : Subhaanallaahil ‘azhiimi wa bi hamdihi ( Maha Suci Allah yang Agung dan segala puji bagiNya)

Wallahu alam.

Ilmu rahsia jaga diri
Pustaka Muda 2000

Tuesday, September 3, 2013

Belajar mengagihkan kerja



Lebih banyak kita mengagihkan tugas, lebih banyak masa yang kita ada bagi mengurus individu dan memperbaiki proses. Pastikan individu yang diagihkan itu mempunyai empat perkara berikut; STAR!.

S : Skill (kemahiran). Ia perlu mempunyai kemahiran dan keupayaan melakukan tugas. Mereka boleh jadi bukanlah betul-betul mahir. Apapun kita mungkin perlu memberikan lebih banyak masa berbanding kita sendiri melakukannya.

T : Time (tempoh). Individu itu perlu mempunyai masa yang mencukupi bagi menyiapkan tugasan pada kepatasan yang sesuai dengan kemahiran mereka. Pastikan tugasan ini perlu dilakukan seiring dengan kerja-kerja lain yang perlu mereka lakukan. Mereka mungkin tidak mahu mengaku mereka tidak mempunyai masa.Tanyakan soalan tebuka seperti bila kamu dapat melakukannya berbanding soalan tertutup iaitu kita mempunyai masa yang cukup bagi melakukannya, bukan?. Soalan ini bertujuan bagi memastikan tahap bebanan kerja mereka.

A : Authority (kuasa) : Pastikan orang lain tahu individu yang dilantik, diberi kuasa menyiapkan tugasan itu. Kita mungkin boleh memberitahu orang lain yang mereka perlu memberi individu itu maklumat dan sokongan ataupun kita mungkin perlu memberi individu itu kuasa untuk bertindak. Tanpa [engesahan kuasa, mungkin tugasan individu yang dilantik sukar disiapkan.

R : Responsibility (tanggungjawab). Selalunya inilah bahagian yang paling sukar. Kita mengagihkan kerja yang menjadi tanggungjawab kita, oleh itu kita perlu memastikan individu yang dilantik faham bahawa mereka bertanggungjawab bagi melaksanakan tugasan itu. Antara cara terbaik bagi memberi tanggungjawab adalah menyatakan dengan jelas kita juga mendapat nama atas kejayaan tugasan itu.

Sesungguhnya lebih banyak kerja yang kita dapat agihkan dengan betul, lebih banyak yang kita dapat siapkan. Oleh itu, belajarlah mencintai pengagihan kerja.

Wallahu a’lam.

Rus Slater
Teknik terhebat meledakkan potensi tersembunyi
2012

Friday, March 8, 2013

Tipu muslihat Iblis


a) Pertemuan bersama-sama nabi Yahya as

Dari Tsabit al-Bannari ra, dia berkata; Iblis pernah muncul di hadapan Yahya bin Zakaria as. Beliau melihat banyak barang-barang yang menggantung pada diri Iblis. Yahya bertanya: Wahai Iblis, apakah barang-barang yang menggantung pada dirimu itu?

Iblis menjawab: Ini adalah nafsu-nafsu yang kupergunakan untuk mengail anak Adam. Yahya bertanya; Apakah ada pula yang ditujukan untukku?

Iblis menjawab: Boleh jadi perutmu kenyang, lalu aku membuatmu merasa berat melaksanakan solat dan berzikir.

Adakah selain itu? tanya Yahya.

Iblis menjawab: Tidak ada, demi Allah.

Yahya berkata; Demi Allah, aku tidak akan membuat perutku kenyang kerana makanan untuk selama-lamanya.

Iblis berkata; Demi Allah, aku tidak akan memberikan nasihat kepada orang Muslim selama-lamanya.

b) Tawakal
 
Ada seseorang berkata kepada al-Imam Ahmad bin Hambali; Aku hendak pergi ke Mekah atas dasar tawakal tanpa membawa bekal.

Al-Imam Ahmad berkata: Kalau begitu pergilah sendirian tanpa ikut rombongan.

Tidak boleh. Aku ikut bersama mereka, jawab orang itu.

Apakah dengan bergantung kepada bekal orang lain itu engkau juga menyebut tawakal?

Wallaahu a’lam.

Talbis Iblis
Ibnul Qayyim Al-Jauzi

Wednesday, February 6, 2013

Erti kebaikan


Yusuf bin Al-Husain Al-Razy menulis surat kepada imam Al-junaidi : Aku berharap Allah tidak memberikan kepada kamu, iaitu sesuatu yang kamu bisa berasakan manisnya rasa dari dirimu sendiri, sebab jikalau kamu telah berasakan kemanisannya, maka selamanya engkau tidak akan pernah mengenali erti sebuah kebaikan.

Wallaahu a’lam

Mencari erti keredhaan Ilahi
Muhammad Khalid Thabit.

Ya Allah! Yang Maha Pencipta langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui alam ghaib dan alam nyata, Tuhan dan Pemilik bagi segala sesuatu. Aku  bersaksi tiada Tuhan terkecuali Engkau. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan jiwaku dan dari syikrik dan keburukan syaitan. Aameen Ya Rabb.

Tuesday, February 5, 2013

Penentangan Quraisy terhadap nabi Muhammad saw


Sebab-sebab :

1. Ingin mengekalkan kuasa dan pengaruh. Sebelum ini kepimpinan kota Makkah terletak di tangan Hasyim, moyang nabi Muhammad saw dan Abd al-Muttalib. Setelah itu berpindah ke tangan Abu Talib, bapa saudara baginda. Besar kemungkinan kepimpinan itu akan diwarisi oleh nabi Muhammad saw kerana keupayaannya yang luar biasa itu. Jika mereka memeluk Islam dan mengikut baginda bermakna kepimpinan itu akan terus berada di tangan bani Hasyim.

2. Oleh sebab persamaan taraf, agama Islam yang disampaikan nabi Muhammad saw ialah agama tauhid yang menyeru kepada keadilan sosial dan persamaan taraf sesama manusia. Hal ini sangat bertentangan dengan sistem sosial Jahiliyah yang masih dikuasai oleh kaum bangsawan, kaum Quraisy. Mereka ini masih berpegang dengan taraf dan kedudukan sosial yang berbeza. Dengan terlaksananya ajaran Islam, maka bermakna tidak ada lagi perbezaan antara ketua dengan pengikut, antara yang kaya dengan miskin dan antara tuan dengan hamba; semua manusia pada pandangan Islam adalah sama sahaja kecuali bagi orang yang bertakwa.

3. Oleh  sebab mahu mempertahankan pusaka nenek moyang. Hal ini banyak persamaannya dengan sebab pertama dan kedua. Namun, unsur pusaka ini mempunyai implikasi yang luas dan mendalam, bukan sahaja melibatkan taraf sosial dan politif, tetapi juga yang berkaitan dengan taraf ekonomi kerana orang Quraisy mengamalkan penjualan patung atau berhala. Andainya mereka memeluk Islam, maka sudah tentulah punca  rezeki daripada menjual berhala dan patung akan hilang kerana Islam tidak membenarkan pembuatan patung berhala dan menjualnya. Amalan membuat dan menjual patung pula merupakan warisan nenek moyang mereka. Dengan sebab itu mereka begitu sensitif apabila nabi Muhammad saw mencela agama berhala mereka.

4. Oleh sebab takut akan hari pembalasan. Islam mengajar manusia tentang hari pembalasan atau hari kiamat dan wajib percaya kepadanya dan ia merupakan satu daripada Rukun Iman. Segala amalan di dunia sama ada baik atau jahat akan dikira pada hari pembalasan dengan saksama. Berita hari kiamat telah menakutkan kaum Quraisy Makkah  kerana mereka sedar bahawa mereka terlalu banyak melakukan perkara keji yang ditegah oleh agama Islam seperti mencuri, merompak, berzina, minum arak dan mengamalkan riba. Perbuatan-perbuatan ini akan dibalas dengan seksaan api neraka. Akan tetapi mengikut agama berhala segala dosa itu dapat dihapuskan menerusi pengorbanan terhadap berhala. Cara seperti ini sudah tentu lebih mudah bagi mereka melakukan kejahatan kerana ia dapat dihapuskan di dunia juga tanpa menerima apa-apa balasan di hari akhirat kelak.

5. Oleh sebab perasaan iri hati. Mereka menentang nabi Muhammad saw dan Islam kerana perasaan iri hati kedudukan nabi Muhammad saw sebagai seorang nabi dan rasul. Seorang daripada mereka bernama Umayyah b Abi al-Salt pernah mengatakan keinginannya menjadi nabi. Begitu juga al-Walid bin al-Mughirah berasa kecewa apabila mendengar nabi Muhammad saw menerima wahyu lalu berkata : Aku tidak mengerti kenapa wahyu diturunkan kepada nabi Muhammad dan tidak kepada aku walhal aku seorang pembesar dan ketua kaum Quraisy.

Wallaahu a’lam.

Tamadun Islam
Mahayudin b Hj Yahaya

Tuesday, December 25, 2012

Dr. Robiah K. Hamzah


Tinta Penulis

Menyingkap kembali sejarah lama saya, kejayaan yang dikecapi kini adalah hasil usaha perit jerih serta doa yang tidak henti-henti daripada arwah ibu, Mariam Mat Maarif.

Berlatar belakangkan keluarga miskin selepas kematian ayah tersayang, saya dan dua lagi beradik membesar di bawah asuhan ibu. Disebabkan  tidak mahu terus hidup dalam kepompong kemiskinan, saya bertekad untuk berubah nasib keluarga.

Hingga kini masih tergiang-giang pesanan arwah ibu, kita orang miskin mesti rajin, jangan sombong dan jangan kedekut. Itulah sebaris ayat yang menjadi pendorong dan iltizam saya untuk mengeluarkan keluarga dari kepompong kesusahan.

Ibu selalu menasihati saya agar menjadi anak yang baik, ibu tidak pernah memukul kerana menurutnya, berdosa memukul anak yatim. Tapi jika saya jadi jahat, ibu turut mendapat dosa. Kata-kata itulah yang saya pegang hingga kini.

Walaupun hidup dalam serba kekurangan, namun kami tidak pernah menagih simpati untuk mendapatkan rezeki. Apa yang ada akan dikongsi bersama.Jika tiada makanan, berlaparlah. Apa yang membuatkan saya amat menyanjungi ibu ialah keaktifannya dalam berpersatuan dengan memegang pelbagai jawatan penting. Melihat ketokohan ibu berkomunikasi telah mendedahkan minat saya untuk menjadi sepertinya. Dan, sejak itulah saya menanam azam untuk menjadi seorang motivator.

Kejayaan awal saya bermula apabila memperoleh ijazah Pertama (B.A,Hons), Sarjana (M.Ed) dan seterusnya Dr. Falsafah. Ini membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang! Pengalaman sebagai pendidik dan pensyarah pula semakin mematangkan saya. Terpilih sebagai Jurulatih Belia Negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pembimbing rakan sekerja Kementerian Pendidikan dan Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa (cawangan Malaysia) semakin memberi ruang untuk saya menerokai pengalaman dalam dunia motivasi ini.

Saya terus melangkah....mengendalikan ratusan kursus, bengkel dan ceramah Komunikasi Berkesan, Ketrampilan Diri dan Kekeluargaan. Setiap kali diundang oleh media elektronik dan media cetak, saya akan memberi yang terbaik. Saya cuba pastikan agar setiap patah kata tidak menyinggung si penerima. Kini, diam tidak diam, sudah suku abad saya berkecimpung dalam bidang yang saya minati ini. Alhamdulillah...saya amat bersyukur di atas segala limpah rezekiNya. Mudah-mudahan sedikit ilmu kurniaanNya ini dapat saya manfaatkan demi kebaikan semua.

Wallaahu a’lam.

Pujuklah rasa

Thursday, December 20, 2012

Kata Mutiara Ibnul Qayyim 2


Hati yang sehat

Iaitu hati yang tidak akan selamat pada Hari Kiamat kecuali mereka yang datang menghadap Allah dengannya, sebagaimana firman Allah :

Hari di mana tidak akan bermanfaat harta dan anak kecuali mereka yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat
                                                                                                                               (Asy-Syu’araa:88-89)

As-Saliim ertinya selamat. Kerana keselamatan telah menjadi sifat bagi hati ini.  Penafsiran lain tentang hati yang sehat adalah; hati yang terhindar (selamat) dari seluruh bentuk syahwat yang bertentangan dengan ketentuan Allah dan dari seluruh syubhat yang menentang informasinya.

Jadi hati yang selamat adalah hati yang terhindar dari kemusyrikan kepada selain Allah dalam bentuk apapun, bahkan telah murni penghambaanya kepada Allah baik berupa azam, cinta, tawakal, kembali kepada Allah, takut, pengharapan juga mengikhlaskan segala perbuatannya hanya untuk Allah, jika ia mencintai ia mencintai kerana Allah, jika ia membenci maka ia membenci kerana Allah. Jika ia memberi, ia pun memberi kerana Allah dan semua ini tidak cukup baginya sehingga ia benar-benar terbebas dari ketertundukan dan pengakuan kepada selain Rasulullah. Lalu ia mengikat hatinya dengan sebuah akad yang kuat untuk terus memihak dan hanya mengikutnya.

Hati yang mati

Iaitu hati yang tidak memiliki kehidupan di dalamnya, tidak mengetahui Tuhannya, tidak menyembah sesuai apa yang diperintahkanNya atau sesuai dengan apa yang diinginkan dan diredhaiNya. Namun ia tetap berkubang dengan syahwat dan kelazatannya walaupun di dalamnya mengandungi kemurkaan Tuhan dan amarahNya. Jika memang akan menguntungkan syahwat dan ia tidak pernah peduli apakah Tuhannya redha atau murka, ia tetap menyembah selain Allah dengan cinta, takut, pengharapan, marah, pengagungan, perendahan diri. Jika ia mencintai ia mencintai kerana nafsunya, jika ia menolak iapun menolak kerana nafsunya. Ia selalu mendahulukan nafsunya dan lebih ia sukai daripada redha Tuhannya.

Hawa nafsu merupakan imam baginya sementara syahwat pemimpinnya sementara kelalaian menjadi kenderaannya. Maka dengan pemikiran untuk mencapai maksud-maksud duniawi ia terbuai, sementara dengan kemabukan hawa nafsu dan  cinta dunia ia dilanda mabuk kepayang.

Ia dipanggil ke jalan Allah dan hari akhir dari tempat yang jauh namun tidak memenuhi panggilan penasihat. Mengikuti setiap panggilan syaitan terlaknat, dunialah yang telah menjadikan ia marah dan redha dan nafsulah yang telah membutakan dari semua hal selain kebatilan.

Maka mempergauli pemilik hati sakit ini adalah sakit dan berdekatan dengan mereka adalah racun serta menemani mereka merupakan kehancuran.

Wallaahu a’lam.

(Mendekati peribadi imam-imam pewaris para nabi, Muhammad Aizat Farhan)

Wednesday, December 19, 2012

Mentaati rasul


Suatu hari Ibnu Rawahah pernah datang untuk bertemu Nabi dan Rasulullah saw sedang berceramah di atas mimbar. Rasulullah saw mengatakan kepada para hadirin, duduklah kamu semua!. Ibnu Rawahah pun duduk di luar masjid sehingga ceramah Rasulullah saw selesai. Tidak lama kemudian khabar ini sampai ke telinga Nabi, lalu Rasulullah saw mengatakan kepada Ibnu Rawahah, semoga Allah menambah kesungguhanmu untuk mentaati Allah dan mentaati RasulNya.

Wallaahu a’lam.

( Tokoh-tokoh besar Islam sepanjang Zaman, Syeikh Muhammad Sa’id Mursi)

Saturday, December 15, 2012

Mentor yang sempurna


Sekiranya anda mencari mentor untuk program mentoring, berikut inilah mereka yang perlu disenaraikan :
 
1. Bercakap sambil berjalan
Anak didik melihat mentor sebagai model contoh bagi tingkah laku yang berjaya. Mereka belajar sebanyak mungkin daripada pemerhatian berbanding mendengar kata-kata mentor itu sendiri. Konsisten antara kata-kata dan tindakan akan mengekalkan kewibawaan.

2. Memberi nasihat yang ada tindakan dan maklum balas
Pembangunan kerjaya adalah perniagaan yang praktikal. Tujuannya untuk mengeluarkan produk yang baik. Dengan itu nasihat dan maklum balas perlu dalam keupayaan coachee. Jika tidak ia sekadar membazirkan masa kedua-dua pihak.

3. Elak menyelesaikan masalah coachee
Tugas mentor ialah membantu coachee membantu dirinya sendiri bukan sebaliknya. Mereka tidak akan belajar membantu menyelesaikan sendiri sekiranya mentor datang untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi oleh coachee.

4. Mengkritik tingkah laku, bukan orang
Apabila coachee terkeluar dari laluan, mentor bertanggungjawab mengembalikannya ke laluan yang betul. Mentor hendaklah mengemukakan fakta untuk pemerhatiannya, bukan dalam bentuk arahan seperti, berhenti buat begitu! Sebaliknya , saya perhatikan yang anda dipaksa buat projek X, anda mungkin kehilangan peluang. Adakah anda suka bercakap mengenainya?.

Perbincangan ini adalah secara tertutup agar perbincangan lebih mudah dan lebih objektif.

5. Cabaran coachee untuk membangunkan satu pelan kejayaan
Coachee bertanggungjawab ke atas kejayaan dirinya sendiri. Mentor sekadar memberi sokongan dan nasihat serta membuka laluan untuknya dari masa ke semasa. Satu pelan peningkatan dari kedudukan asal perlu disediakan oleh coachee. Perbincangan dengan cara objektif dan pengalaman hebat bersama mentor akan membantu penyediaannya.

6. Mencipta satu asas sokongan
Kerjaya yang kukuh dibangunkan atas asas yang kuat – pengetahuan, cita-cita dan sokongan daripada orang lain. Mentor adalah seorang daripada orang lain itu. Mentor perlu mewujudkan asas sokongan itu.

7. Jangan biarkan coachee terlalu bergantung kepada mentor
Mentor yang baik meletakkan diri mereka di luar proses mentoring, coachee dibantu meningkatkan diri sendiri. Antara cara-caranya:
a) Mendesak coachee mengambil tanggungjawab untuk membangun dan mengikut pelan pembelajarannya sendiri. Peranan mentor adalah menyemak pelan tersebut dan mencadangkan penambahbaikan.
b) Jangan beri jawapan, sebaliknya tanya soalan-soalan:
- Apakah yang anda fikirkan tentang apa yang akan berlaku jika anda mencubanya?
- Apakah strategi alternatif yang anda pertimbangkan?
- Bagaimana anda fikir reaksi ketua anda jika anda melakukan perkara tersebut?

Ingat, jangan selesaikan masalah-masalah coachee. Sebaliknya, bincangkanlah masalah itu dan berdialoglah dengannya bagi membantunya menyelesaikan masalah tersebut.

8. Bergerak ke arah permulaan yang baik
Mentor yang hebat akan bergerak dengan permulaaan yang baik bagi setiap coachee baru. Ianya merupakan perbualan secara terbuka di mana mentor dan coachee saling berkenalan, membina hubungan erat, memahami kehendak satu sama lain dan mengenal pasti perjanjian matlamat bersama. Perbezaan kehendak dapat diatasi, mengelakkan perhubungan kedua-duanya menjadi buruk dari mula.

9. Tahu masa untuk mengucapkan selamat tinggal
Sumbangan mentor yang paling baik adalah dengan mengucapkan selamat tinggal. Mentor hendaklah kekal sebagai penasihat yang dipercayai juga sebagai pakar rujuk bagi pandangan kedua oleh coachee. Coachee memerlukan restu mentor lebih daripada kebijaksanaan dan amaran seorang mentor.

Wallaahu a’lam.

( Mudahnya coaching & mentoring; Dr Shaker Mustafa )

Thursday, December 13, 2012

Qadak dan Qadar



Dialah yang telah memberi kita kekuatan untuk berjalan,
selangkah demi selangkah.
Dan siapa pun yang ditetapkan langkah demi langkahnya,
tentunya ia akan menapakinya.
Dan bagi siapapun yang telah ditetapkan tempat kembalinya
maka tentunya ia tidak akan mati di tempat manapun,
terkecuali di tempatnya itu.

’Atha berkata : Jagalah oleh kalian dariku tentang : Qadar; baiknya mahupun buruknya, manis dan pahitnya datang dari Allah, yang tidak ada sedikitpun bagi seorang hamba untuk berkehendak dan menawar-nawar lagi.

Mutharraf berkata: Bahawa perumpamaan Bani Adam seperti batu ini, jika ia digerakan oleh sesuatu, maka iapun bergerak. Dan jika tidak, maka ia adalah sebuah batu yang dilemparkan ke muka bumi. Kemudian ia membaca firman Allah :

(dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun. ( An-Nur: 40)

Abu Sulaiman Ad-darany pernah berkata: Bukanlah amalan-amalan manusia itu bergantung kepada apa yang ia sukai dan apa yang ia benci. Bahawasanya Ia hanya redha terhadap suatu kaum yang beramal dengan amalan-amalan redha. Dan benci terhadap suatu kaum yang beramal dengan amalan-amalan yang penuh dengan kebencian.

Kemudian ia berkata: Sungguh Allah telah menempatkan mereka di suatu ruang sebelum mereka taat kepadaNya. Dan berhak memasukan mereka ke dalam neraka sebelum mereka sendiri bermaksiat terhadapNya. Kerana Umar bin Khattab pernah membawa makanan ke hadapan berhala-berhala, namun Allah mencintainya. Dengan begitu sungguh hal itu tidak sedikitpun memudaratkan Allah barang secuitpun.

Pernah suatu hari ditanyakan kepada ’Aisyah : Kalimah apa yang paling banyak Rasulullah ucapkan di rumah ketika menyendiri? Ia menjawab: Beliau sering mengatakan: Tidaklah ditetapkan suatu perkara terkecuali akan terjadi.

Wallaahu a’lam.

(Mencari erti keredhaan Ilahi; Muhammad Khalid Thabit)

Sunday, December 9, 2012

Ciri-ciri mentor yang baik bagi mentoring


Mentoring disediakan untuk menguruskan pekerja yang mempunyai prestasi melebihi purata. Ungkapan coaching adalah disemai dan motivasi manakala mentoring adalah arahan dan panduan.

Ciri-ciri mentor yang efektif menurut Prof Linda Hill dari Harvard pada akhir 1980-an ialah :

a) Mereka meletakkan stardard yang tinggi
b) Mereka menjadikan diri mereka sentiasa ada pada protege mereka. Dalam erti kata lain, mereka sanggup menggunakan masa dan usaha yang diperlukan untuk mentoring yang baik.
c) Mereka menurunkan pengalaman dengan mengemudi protege ke arah projek-projek yang penting secara berkumpulan dengan tugas-tugas yang mencabar.

Selain itu ciri-ciri mentor yang efektif ialah :

a) Orang yang berjaya dan disegani dalam organisasi
b) Memiliki kemahiran membangunkan orang lain – iaitu mereka adalah pendengar yang baik, tahu bagaimana hendak bertegas dengan orang lain dan mempunyai peribadi yang memuaskan.
c) Faham dengan baik cara protege mereka berlatih. Contohnya  melalui perbincangan, pengalaman terus dan cara-cara lain
c) Mempunyai akses kepada maklumat dan orang yang dapat membantu dalam kerjaya masing-masing
d) Tulus dan berterus terang semasa berurusan
e) Mempunyai chemistry bersama protege mereka
f) Mempunyai  hubungan kukuh dengan organisasi iaitu mereka berpuas hati dan selesa dengan posisi mereka.

Banyak lagi ciri-ciri mentor yang efektif yang boleh disenaraikan. Namun tidak mungkin anda dapat mencari mentor yang memiliki kesemua ciri-ciri ini. Ahli psikologi, Timothy Butler dan James Waldroop menerangkan bahawa orang yang memiliki ciri-ciri ini adalah orang yang dapat menanam semangat hidup kepada orang lain melalui coaching dan mentoring.

Bagi sesetengah orang, tiada perkara lain yang lebih menyeronokkan daripada memberi latihan, yang diterjemahkan kepada coaching atau mentoring. Individu-individu ini menanamkan keinginan hidup, memberi tunjuk ajar kepada pekerja-pekerja, rakan-rakan dan pelanggan ke arah pelaksanaan yang lebih baik.

Wallaahu a’lam.

( Mudahnya coaching & mentoring; Dr Shaker Mustafa )

Friday, December 7, 2012

Hamba Allah


Abdul Aziz bin Abu Ruwwad berkata : Telah disampaikan  khabar kepadaku bahawa seorang ahli ibadah di kalangan bani Israil terlihat gembira kerana bermimpi di dalam tidurnya bahawa si Fulanah akan menikahinya di surga. Iapun mendatangi perempuan itu dan berkata : Sesungguhnya aku sangat ingin bertamu kepadamu selama tiga hari, tiga malam.
                            
Perempuan itu menjawab : Dengan sangat senang hati.

Ia berkata : Kemudian ia pun menjadi tetamunya di tempat yang biasa menjadi tempat ibadahnya selama tiga hari. Ia tidur terjaga namun perempuan itu tidur dengan pulas, ia masuk pagi dalam keadaan saum, namun perempuan itu tidak.

Tatkala selesai, ia bertanya kepada perempuan itu: Adakah amalanmu selain ini? Aku tidak mempercayai amalanmu yang aku saksikan.

Ia menjawab: Wahai saudaraku! Tidak ada yang lain terkecuali apa yang telah kamu saksikan, kecuali ada satu bagian yang tidak kamu lihat!

Ia bertanya: Apa itu?

Ia menjawab : Iaitu jika aku berada dalam kesulitan, sama sekali aku tidak pernah berasa ingin berada dalam keluasan. Jika aku berada dalam kelaparan, sekalipun aku tidak pernah ingin berada dalam keadaan kenyang. Jika aku berada dalam di bawah panasnya terik matahari, sekalipun aku tidak pernah ingin berada dalam keadaan teduh. Jika aku dalam keadaan sakit, sekalipun aku tidak pernah ingin berada dalam keadaan sihat. Kemudian ia berkata : Bahagian yang manakah ini, di mana aku bisa mengerti?

Ia menjawab : Ini adalah bagian di mana semua orang akan sangat payah untuk melakukannya terkecuali hanya benar-benar yang disebut dengan hamba Allah.

 Wallaahu a’lam.

( Mencari erti keredhaan Ilahi; Muhammad Khalid Thabit )

Ya Allah, ampuni dosaku, luaskan agamaku, baguskan usahaku, qanaahkan diriku terhadap apa yang telah Engkau rezekikan kepadaku dan janganlah Engkau palingkan hatiku kepada sesuatu yang bisa memalingkanku dariMu, wahai yang membolak-balikkan hati.Ameen.

Thursday, December 6, 2012

Tangisan Yazid bin Aban Al-Riqasyi


Orang-orang bertanya kepada Yazid bin Aban Al-Riqasyi : Apakah kamu tidak bosan terus-menerus menangis?. Menerima pertanyaan seperti itu, lalu terus menangis dan kembali bertanya : Apakah seorang wanita yang sedang menyusui tidak merasa bosan menyusui anaknya? Demi Allah, setelah aku menangis dengan mencucurkan air mata, ingin sekali rasanya aku menangis dengan mencucurkan darah, lalu setelah itu menangis dengan mencucurkan nanah yang bercampur darah selama masih hidup di dunia.

Sungguh telah sampai kepada kita khabar berita yang menerangkan bahawa penghuni neraka itu menangis dengan mencucurkan darah, jika air mata telah kering sehingga seandainya perahu itu dijalankan di atasnya nescaya ia akan bergerak dan seakan-akan perahu itu berjalan di atas lautan.

Oleh kerana itu, adalah sangat menghairankan seandainya seseorang tidak boleh menangis dan meratapi dirinya selama hidup di dunia.

Salamah bin Said Berkata : Bahawa seterusnya Yazid bin Aban Al-Riqasyi berkata : Menangislah untuk dirimu, sebelum dipaksa menangis. Dinamakan Nabi Nuh as dengan nama Nuh yang bererti tangisan kerana baginda selalu menangisi dirinya. Wahai Yazid, siapakah orang yang akan mengerjakan solat atau siapakah orang yang akan berpuasa setelah kamu tiada. Wahai Yazid, siapakah orang yang akan menundukkan dirimu kepada Tuhanmu dan siapakah orang yang akan berdoa? Salamah berkata : Bahawa dia mengucapkan kata-kata tersebut dan yang lainnya berulang kali sambil menangis, lalu dia berkata : Wahai saudara-saudaraku, menangislah kamu. Menangislah kamu untuk diri kamu dan seandainya kamu tidak boleh menangis, kasihanilah setiap orang yang menangis.

Wallaahu a’lam.

( Pelembut hati; Ibnu Qudamah al-Maqsi )

Thursday, November 29, 2012

Kenderaan yang dapat menjadi pahala dan dosa


Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah saw berkata:  Kuda itu ada tiga macam; Kuda yang menjadi dosa bagi seseorang, kuda yang menjadi penghalang bagi seseorang (dari neraka) dan kuda yang menjadi pahala bagi seseorang.

Kuda yang merupakan dosa baginya ialah seseorang yang menunggang kerana riyak dan untuk membanggakan diri serta untuk memusuhi para pemeluk Islam. Maka ia merupakan dosa baginya. Adapun kuda yang menjadi penghalang baginya ialah seseorang yang mengikatnya di jalan Allah. Kemudian dia tidak melupakan hak Allah pada belakang dan leher kuda itu. Maka ia merupakan penghalang baginya daripada neraka.

Sementara, kuda yang menjadi pahala baginya ialah seseorang yang mengikatnya di jalan Allah bagi pemeluk Islam (untuk juhad) di tanah lapang yang banyak tanamannya mahu pun di kebun indah. Tidaklah ia makan sesuatu dari tanah lapang atau dari kebun itu, melainkan ditetapkan kebaikan sebanyak apa yang dimakan darinya dan ditetapkan pula kebaikan baginya sebanyak kotoran yang dikeluarkannya.Tali kekangnya tidak dipotong lalu dijadikan satu cambuk atau dua cambuk, melainkan Allah menetapkan kebaikan baginya sebanyak langkah kudanya atau kotoran yang dikeluarkannya.

Tidaklah pemiliknya melewati sebuah sungai bersama kudanya lalu kuda itu meminum airnya pada hal dia tidak bermaksud memberinya minum, melainkan Allah menetapkan kebaikan baginya sebanyak air yang diminumnya.

            Direkodkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Nasai dan at-Tirmizi

Inti sari khutbah

Kenderaan itu memberikan ganjaran berbeza kepada pemiliknya:
 
a) Kenderaan yang menyebabkan pemiliknya mendapat dosa. Iaitu orang yang menaiki kenderaannya dengan riyak dan berbangga diri. Dia juga memusuhi Islam.

b) Kenderaan yang menghalang pemiliknya daripada memasuki neraka. Iaitu orang yang menggunakan kenderaan tetapi tidak melupakan hak Allah yang memberikan kenderaan itu.

c) Kuda yang memberikan pahala kepada pemiliknya, iaitu kenderaan yang digunakan untuk perjuangan dalam menegakkan agama Allah.

Wallaahu a’lam

 ( Khutbah rasulullah; Rohidzir Rais )

Thursday, November 22, 2012

Berkumpul dengan kelompok rakan seusia


Pada kebiasaannya, pertemuan rakan sebaya dipenuhi dengan perdebatan, keinginan untuk menjadi yang paling menonjol, hasrat mempamerkan ilmu dan keahlian yang dimiliki serta keinginan untuk membantah dan menjatuhkan rakan yang lain.Ini kerana seseorang akan merasa iri hati dan tidak suka terhadap rakan sebayanya yang mampu mengungguli dan mempunyai kebolehan yang lebih berbanding dirinya. Perkara tersebut disebabkan hati telah dijangkiti oleh penyakit iri hati dan sombong.

Kamu jarang bertemu dengan seseorang yang mempunyai sikap tawaduk di hadapan rakan sebaya dan mahu belajar daripadanya. Ramai rakan sebaya kamu yang tidak suka jika kamu pandai, mampu bercakap dengan benar dan baik.

Bahkan di antara mereka ada yang merasa gembira jika kamu tersilap cakap tentang sesuatu perkara dengan mereka. Mereka akan sentiasa menyebut dan mengingat kesalahan kamu tersebut.  Mereka dengan cepat akan menyalahkan kamu dan terus mencuba untuk membenarkan kesilapan kamu tersebut. Di antara mereka juga ada yang wajahnya berubah menjadi tidak senang tatkala kamu mampu untuk menjelaskan suatu masalah dengan benar dan baik.

Oleh itu, barang siapa yang sedang berkumpul di dalam sebuah majlis bersama rakan-rakan sebaya, maka hendaklah ia memilih untuk banyak diam, tawaduk dan kerap senyum hingga pertemuan itu selesai. Tidak perlu dirinya memilih untuk banyak bercakap, kerana majlis ada tiga macam.

Pertama, majlis pertemuan bersama orang yang lebih pandai dari kamu. Pada saat kamu berada di dalam majlis ini, maka yang perlu kamu lakukan adalah belajar daripadanya. Kedua, majlis pertemuan bersama-sama orang-orang awam, di mana mereka patut belajar dan mengambil sesuatu yang bermanfaat daripada kamu.

Ketiga, majlis peremuan bersama-sama rakan-rakan sebaya. Apabila kamu berada di dalam majlis yang ketiga ini, maka kamu dituntut untuk tidak terlalu bersemangat dalam menyampaikan dan mempamerkan keilmuan yang kamu miliki kepada mereka, kerana apabila kamu berusaha untuk menyampaikan keilmuan kamu kepada mereka, maka perkara tersebut sama dengan kamu berusaha untuk membangunkan singa kedengkian dari tidurnya.

Tetapi kamu dikehendaki banyak diam dan tenang sehinggalah majlis tersebut selesai. Kamu tidak perlu untuk kerap berada dalam majlis ini, kerana majlis tersebut lazim dengan perasaan sombong, merasa lebih pandai, angkuh dan iri hati yang hinggap di dalam diri para penuntut ilmu. Hanya Allah swt Zat yang berhak untuk dipanjatkan pertolongan.

Wallaahu a’lam.

( Pengalaman adalah guru terbaik; Dr ’Aidh Abdullah Al-Qarni )

Ya Allah, sebagaimana Engkau memuliakan dahi-dahi kami dengan bersujud kepada-Mu, maka janganlah Engkau hinakan dahi-dahi kami tersebut dengan sikap tunduk kepada selain-Mu. Ya Allah, sebagaimana Engkau membahagiakan jiwa-jiwa kami dengan mencintai-Mu, maka janganlah Engkau buatkan jiwa-jiwa kami tersebut merana dengan mencintai selain-Mu.

Ya Allah, sebagaimana Engkau muliakan tangan-tangan kami dengan menadah dan meminta kepada-Mu, maka janganlah Engkau hinakan tangan-tangan kami tersebut dengan meminta kepada orang lain.

Sesungguhnya Engkau ya Allah adalah Zat Yang Maha Kuat, Maha Perkasa, Maha Mulia, Maha Kaya dan Maha Memberi. Ameen.

Monday, November 19, 2012

Bekalan perjalanan Hatim al-Asam


Abu Mu’thi al-Bakhi bertanya kepada Hatim al-Asam : Saya dengar anda mengharungi padang Sahara yang sukar itu tanpa membawa sebarang bekalan. Jawab Hatim : Mungkin orang mengatakan begitu, tetapi saya membawa empat jenis bekalan:

a. Keyakinan bahawa dunia berserta isinya dan akhirat di bawah kekuasaan Allah.
b. Keyakinan bahawa seluruh makhluk adalah hamba Allah
c. Percaya bahawa segala urusan rezeki dan persoalannya di bawah kekuasaan Allah.
d. Percaya bahawa segala yang dikehendaki Allah pasti akan terjadi kerana Allah adalah penguasa dan pemilik alam ini.

 Wallahu a’alam.

( Minhajul Abidin Wasiat Imam Al-Ghazali; Ir Zakaria Adham )

Wahai Tuhanku, inilah hambaMu yang mengembara kembali menghadap rahmatMu, segala maksiat kembali kepada kebenaran, hamba-Mu berdosa menghadap dengan memohon keampunan. Ampunilah aku dengan kemurahanMu, terimalah aku dengan kurniaMu dan pandanglah aku dengan rahmatMu. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan peliharalah sisa-sisa hidupku. Sungguh, segala kebaikan itu seluruhnya berada padaMu dan Engkau adalah yang paling penyayang dan Maha Mengasihi kami.

Ya Allah yang menampakkan berbagai permasalahan yang besar, yang akhirnya dituju oleh kaum yang bingung. Ya Allah, yang sangat berkuasa, jika mengkehendaki sesuatu maka sudah cukup dengan berFirman: Yakni kamu, bererti ia ada. Kami telah bergelumang dengan dosa-dosa dan kepadaMulah kami pohon keampunan baginya. Ya Allah, yang tidak diragui segala urusan yang banyak dan dengan pendengaran yang sempurna.

Wahai Allah yang tidak pernah salah dengan permintaan yang banyak. Ya Allah yang tidak pernah merasa bosan menerima permintaan yang terus-menerus, curahkanlah kepada kami perasaan tenang kerana ampunanMu nikmatnya rahmatMu. Ya Allah yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi. Engkau adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu. 

Ameen.

Monday, November 12, 2012

Al-Quran


Jangan jauhi Al-Quran walaupun pemerintah menjauhinya

Muaz bin Jabal memberitahu bahawa dia pernah mendengar Rasulullah saw berkata : Terima pemberian sekiranya ia adalah hadiah. Tetapi sekiranya ia adalah sogokan bagi melepaskan hutang, jangan kamu menerimanya. Menolak rasuah seperti ini tidak akan menyebabkan kamu miskin atau papa. Ingatlah, roda kehidupan Islam itu sentiasa bergerak. Oleh itu, bergeraklah bersama al-Quran di mana sahaja dunia ini berputar. Ingatlah, al-Quran dan pemerintah sering berpisah, tetapi jangan kamu berpisah daripada al-Quran.

Ingat, akan muncul di kalangan kamu pemimpin-pemimpin yang membuat keputusan yang hanya menguntungkan mereka dan tidak menguntungkan kamu. Sekiranya kamu menderhakai mereka, pasti mereka membunuh kamu, dan sekiranya kamu mentaati mereka, kamu akan mereka sesatkan.

Mereka bertanya, Wahai rasulullah, apa yang harus kamu lakukan ketika itu?

Rasulullah saw menjawab; Lakukan apa yang pernah dilakukan oleh pengikut Nabi Isa, Putera Mariam. Mereka dibelah dengan gergaji dan disalib pada kayu. Kematian mereka adalah lebih baik daripada hidup dalam keadaan menderhakai Allah.

( Direkodkan oleh at-Tobari )

Wallahu a’alam.

 (Khutbah Rasulullah; Rohidzir Rais 2011)

Saturday, November 10, 2012

Apabila mati lebih baik atau hidup lebih baik


Abu Hurairah menceritakan, rasulullah saw berkata:  Apabila pemimpin kamu adalah mereka  yang paling baik daripada kalangan kamu, orang kaya yang ada pada ketika itu pula bersikap dermawan, dan apabila urusan kamu dibincangkan sesama kalian, ketika itu hidup adalah lebih baik daripada mati. Tetapi sekiranya, pemimpin kamu adalah golongan paling jahat, orang kaya pula terlalu kedekut dan urusan masyarakat Islam ditentukan  oleh orang perempuan. Ketika itu, kematian adalah lebih baik daripada hidup.

Wallahu a’alam.

(Khutbah Rasulullah; Rohidzir Rais 2011)

Pemimpin terpuji & terkeji


Uqbah bin Amir menceritakan bahawa Rasulullah saw pernah berkata : Apakah kalian mahu saya ceritakan ciri-ciri pemimpin yang baik dan pemimpin yang buruk. Mereka menjawab : Kami mahu mendengarnya, wahai rasulullah.

Rasulullah saw menyambung : Pemimpin paling baik adalah pemimpin yang paling baik bagi kalian. Dia adalah pemimpin yang paling kalian sayangi dan dia juga sangat mengasihi kalian. Kamu berdoa kepada Allah bagi pemimpin ini dan dia juga mendoakan kamu. Pemimpin paling jahat adalah pemimpin yang paling buruk bagi kamu. Pemimpin ini sangat dibenci dan dia juga membenci kalian. Kamu berdoa kepada Allah agar dia mendapat balasan, dan dia juga mendoakan kecelakaan kalian.

Para sahabat bertanya, Apakah kami boleh memerangi pemimpin-pemimpin yang keji ini, wahai rasulullah?

Rasulullah saw menjawab, Tidak. Biarkan mereka selagi mereka masih berpuasa dan bersolat.

                                    ( Direkodkan oleh at-Tobrani )

Wallahu a’alam.

(Khutbah Rasulullah; Rohidzir Rais 2011)

Pengharaman rasuah dan hadiah kepada hakim


Abu Humaid melaporkan, Rasulullah saw pernah melantik seorang dari golongan Asad yang digelar al-Latibiyah bagi  mengutip zakat. Setelah menyelesaikan tugasnya, dia kembali dan berkata kepada Rasulullah saw : Ini adalah bahagian zakat dan ini pula hadiah yang diberikan kepada saya.

Apabila mendengar kata-kata lelaki tersebut, rasulullah saw segera berdiri di atas mimbar. Setelah menyampaikan puji-pujian kepada Allah, dia berkata :

Kenapa ada orang yang diberikan tugas kemudian dia berkata; Ini adalah bahagian zakat dan ini pula hadiah yang diberikan kepada saya? Sekiranya dia menunggu di rumah bapa atau ibunya, apakah ada sesiapa yang akan memberikannya hadiah atau pun tidak? Demi diriku yang berada di dalam kekuasaan Allah, siapa sahaja yang menerima  sogokan, dia bangkit pada hari kiamat dalam keadaan tengkuknya dibebani dengan seekor unta yang sedang mengeluarkan bunyinya, atau seekor lembu yang sedang mengemboh, atau seekor kambing yang mengembek.

Menurut Abu Humaid lagi, setelah itu rasulullah saw menadahkan kedua-dua tangannya sehingga kami dapat melihat ketiaknya yang berwarna putih. Dia berkata ; Ya Allah, apakah saya sudah menyampaikannya?

Rasulullah  mengucapkannya sebanyak dua kali.

( Direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim dan Abu Daud )

Wallahu a’alam.

(Khutbah Rasulullah; Rohidzir Rais 2011)