Thursday, November 29, 2012

Kenderaan yang dapat menjadi pahala dan dosa


Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah saw berkata:  Kuda itu ada tiga macam; Kuda yang menjadi dosa bagi seseorang, kuda yang menjadi penghalang bagi seseorang (dari neraka) dan kuda yang menjadi pahala bagi seseorang.

Kuda yang merupakan dosa baginya ialah seseorang yang menunggang kerana riyak dan untuk membanggakan diri serta untuk memusuhi para pemeluk Islam. Maka ia merupakan dosa baginya. Adapun kuda yang menjadi penghalang baginya ialah seseorang yang mengikatnya di jalan Allah. Kemudian dia tidak melupakan hak Allah pada belakang dan leher kuda itu. Maka ia merupakan penghalang baginya daripada neraka.

Sementara, kuda yang menjadi pahala baginya ialah seseorang yang mengikatnya di jalan Allah bagi pemeluk Islam (untuk juhad) di tanah lapang yang banyak tanamannya mahu pun di kebun indah. Tidaklah ia makan sesuatu dari tanah lapang atau dari kebun itu, melainkan ditetapkan kebaikan sebanyak apa yang dimakan darinya dan ditetapkan pula kebaikan baginya sebanyak kotoran yang dikeluarkannya.Tali kekangnya tidak dipotong lalu dijadikan satu cambuk atau dua cambuk, melainkan Allah menetapkan kebaikan baginya sebanyak langkah kudanya atau kotoran yang dikeluarkannya.

Tidaklah pemiliknya melewati sebuah sungai bersama kudanya lalu kuda itu meminum airnya pada hal dia tidak bermaksud memberinya minum, melainkan Allah menetapkan kebaikan baginya sebanyak air yang diminumnya.

            Direkodkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Nasai dan at-Tirmizi

Inti sari khutbah

Kenderaan itu memberikan ganjaran berbeza kepada pemiliknya:
 
a) Kenderaan yang menyebabkan pemiliknya mendapat dosa. Iaitu orang yang menaiki kenderaannya dengan riyak dan berbangga diri. Dia juga memusuhi Islam.

b) Kenderaan yang menghalang pemiliknya daripada memasuki neraka. Iaitu orang yang menggunakan kenderaan tetapi tidak melupakan hak Allah yang memberikan kenderaan itu.

c) Kuda yang memberikan pahala kepada pemiliknya, iaitu kenderaan yang digunakan untuk perjuangan dalam menegakkan agama Allah.

Wallaahu a’lam

 ( Khutbah rasulullah; Rohidzir Rais )

No comments:

Post a Comment