Selepas beroleh kemenangan di Arles, Abdul Rahman al-Ghafiqi bersama
angkatan tenteranya menyeberangi Sungai Garonnes dan mara menjelajah ke seluruh
kawasan Aquitania. Seluruh perkampungan dan kota yang dilalui jatuh satu
persatu ke tangan mereka ibarat daun kering yang gugur ke bumi ditiup angin di
musim luruh. Harta perolehan perang yang diperolehi oleh tentera Islam semakin
bertimbun. Mereka sendiri tidak pernah melihat atau mendengar harta yang
sebanyak ini.
Duke Eudes bertekad untuk menyekat kemaraan tentera ini sekali lagi. Jadi
berlakulah pertempuran yang amat sengit antara kedua-dua belah pihak. Namun
akhirnya tentera Islam berjaya memberikan kekalahan perit kepada musuh. Tentera
Islam berjaya memusnahkan dan memporak-perandakan kekuatan musuh. Akhirnya
ramai musuh yang berjaya dibunuh atau ditawan atau melarikan diri.
Tentera Islam kemudiannya mara ke Kota Bordeaux, bandar terbesar di
Perancis ketika itu dan ibu kota bafi Aquitania. Berlaku pertempuran yang tidak
kurang sengitnya dengan peperangan sebelum ini. Pihak yang menyerang dan
bertahan masing-masing menunjukkan kehebatan masing-masing yang sungguh
mengkagumkan. Namun akhirnya nasib kota besar ini sama seperti kota-kota lain,
jatuh juga ke tangan tentera Islam dan pemerintahnya turut terkorban
bersama-sama tenteranya.
Umat Islam sekali lagi memperolehi harta perolehan perang. Kali ini
jumlahnya jauh lebih besar berbanding sebelum ini. Kejatuhan Kota Bordeaux ke
tangan umat Islam menjadi petanda kepada kejatuhan kota-kota lain yang sama
besar dan sama penting. Terutama kota Lyon, Besancon dan Sens. Kota Sens ini
tidak sampai 100 batu dari kota Paris.
Seluruh Eropah gempar dengan kejatuhan separuh daripada Perancis ke tangan
Abdul Rahman al-Ghafiqi dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Rakyat Perancis
mula membuka mata melihat bahaya yang bakal dihadapi. Seruan bergema di seluruh
Perancis mengarah seluruh rakyatnya baik yang kuat mahupun yang lemah supaya
menyekat bahaya yang sedang mara dari timur ini. Seluruh rakyat Perancis
dikerah supaya menyekat kemaraan ini biarpun dengan dada mereka sekalipun.
Mereka dikerah supaya mengggunakan tubuh mereka drbagai benteng jika mereka
tidak memiliki sebarang senjata. Akhirnya seluruh Eropah menyahut seruan ini.
Seluruh rakyat bersatu di bawah Charles Martel dengan bersenjatakan kayu, batu,
duri atau senjata.
Di ketika yang sama, tentera Islam telah sampai ke Kota Tours iaitu Kota
Perancis yang paling padat penduduknya, paling kukuh dan paling bersejarah. Apa
yang lebih menarik ialah kota ini dianggap penting berbanding kota-kota lain
kerana kota ini memiliki gereja yang indah, besar dan memiliki bahan bersejarah
sera suci.
Umat Islam melancarkan serangan bertalu-talu ke atas musuh dengan semangat
yang tinggi dan rela mengorbankan segala nyawa dan tenaga mereka untuk
memperoleh kemenangan. Akhirnya kota ini jatuh ke tangan umat Islam dan berita
kekalahan ini sampai ke pengetahuan Charles Martel yang tidak mampu melakukan
apa-apa.
Pada akhir bulan Sha’ban tahun ke-104H, Abdul Rahman al-Ghafiqi bersama
tenteranya yang gagah perkasa mara menuju ke Kota Poitiers. Di sinilah mereka
bertemu dengan angkatan tentera Eropah yang dipimpin oleh Charles Martel.
Berlakulah pertempuran sengit yang membuka lembaran baru bukan sahaja dalam
sejarah umat Islam atau Eropah malah sejarah manusia seluruhnya. Peperangan ini
dikenali sebagai peperangan Balat al-Shuhada.
Wallahu a’alam.
No comments:
Post a Comment