Monday, November 5, 2012

Panduan kekeluargaan


 
1. Amanah: Pasangan sebagai amanah Allah SWT. Bermulanya amanah pada perhubungan setelah melafaz ijab kabul. Niatkan dalam hati untuk memikul tanggungjawab menjaga pasangan dan anak-anak sebaik mungkin, Apabila terasa amanah itu wajib ditunaikan, maka cinta akan terbentuk bersendikan kejujuran.

2. Tanggungjawab : Tanggungjawab utama adalah terhadap Allah SWT kerana kita mengahwini pasangan kita juga keranaNya. Jika tanggungjawab terhadapNya tertunai dengan sempurna sudah pasti tanggungjawab dengan pasangan dan ahli keluarga dapat dipenuhi dengan sebaiknya.

3. Disiplin : Disiplinkan diri dan ahli keluarga untuk mewujudkan keluarga ceria lagi harmoni serta berada dalam landasan yang diredaiNya.

4. Dekat di hati : Sesetengah pihak berasakan keluarga sentiasa dekat di hati. Sudah pasti golongan ini tidak akan mensia-siakan kehidupan setiap insan di sisinya. Walaupun berjauhan di mata tetapi sayangnya tetap di hati.

5. Sakinah : Sakinah bermaksud aman, damai dan tenang. Golongan yang mempunyai sakinah dalam rumah tangga tenang mengharungi kehidupan mencari keredaan Ilahi.

6. Mawaddah : Mawaddah iaitu kemanisan berhubungan dengan pasangan. Misalnya bergurau senda, puji-memuji, menghargai kehadirannya dan berkasih sayang.

7. Rahmah : Kasih sayang antara hubungan suami isteri adalah satu rahmah dalam rumah tangga. Kedua-duanya mestilah sanggup berkorban apa sahaja asalkan pasangan berbahagia.

Tip kesetiaan  :

1. Niat untuk kekal bahagia : Niatlah dalam hati agar perhubungan yang sah di sisi syarak akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Kebiasaannya, apabila seseorang itu telah berniat, maka dia akan berusaha ke arah itu untuk melaksanakan dengan sempurna. Berdoalah agar sentiasa dilindungi daripada fitnah.

2. Terima seadanya : Belajarlah menerima pasangan seadanya dengan sentiasa mencari kebaikan dan tidak tertumpu pada keburukannya sahaja. Ingatlah, kita juga mempunyai kelemahan.

3. Jaga pandangan mata : Sebaik muslim, kita wajib menjaga pandangan mata agar tidak tersasar ke landasan kemungkaran. Usah sesekali memberikan pandangan yang didorongkan hawa nafsu syaitan.

4. Jaga pergaulan : Saling menasihati antara pasangan agar tidak tersasar. Bijak memilih teman yang dapat membimbing ke arah lebih baik dan harmoni bukannya semakin derita.

5. Utamakan keluarga : Kebanyakan suami isteri yang dapat mempertahankan cinta selalu mengutamakan keluarga daripada urusan lain. Oleh itu, persoalan untuk cinta beralih arah dapat dipadamkan kerana tidak sanggup untuk meluka dan dilukai.

Carilah hikmah bagi setiap dugaan yang ditempuhi bersama agar kesetiaan terus subur. Jadilah sang pencinta yang setia kerana cinta sebenarnya untuk dinikmati bukan ditangisi.

Wallahu a’alam.

(Sinar Harian; 5 Nov 2012)

No comments:

Post a Comment