Sebaik sahaja Amirul Mukminin dan
Khalifah al-Rashid yang kelima, Umar bin Abdul Aziz membersihkan tangannya
daripada debu pusara Sulaiman bin Abdul Malik, dia terus meneliti semula setiap
gabenor yang pernah dilantik, sama ada perlu dilantik semula atau dipecat.
Salah seorang yang dilantik ialah
al-Samah bin Malik al-Khaulaani, al-Samah dilantik untuk memerintah Andalus dan
wilayah-wilayah sekitarnya termasuk Perancis.
Gabenor yang baru dilantik ini
pun berangkat ke bumi Andalus. Apabila tiba di sana dia mula mencari pegawai-pegawai yang
berkeperibadian baik dan jujur untuk membantunya. Dia bertanya kepada mereka
yang berada di kelilingnya: Masih adakah
tabiin yang hidup di negeri ini?
Ya, wahai gabenor. Masih ada seorang tabiin agung bersama kami iaitu
Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi.( Dialah Putera Andalus yang
dimaksudkan dalam penulisan ini )
Mereka memberitahu al-Samah
tentang ilmu Abdul Rahman berkenaan Kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw,
tentang pengalamannya di medan
jihad dan kesungguhannya untuk mati syahid. Begitu juga tentang kezuhudannya
menolak kesenangan dunia. Salah seorang daripada mereka mencelah; Dia pernah
bertemu dengan sahabat agung, Abdullah bin Umar bin al-Khattab ra dan banyak
mempelajari ilmu daripadanya. Malahan dia begitu terpengaruh dengan Abdullah
bin Umar ra.
Al-Samah bin Malik al-Khaulaani
menjemput Abdul Rahman al-Ghafiqi menemuinya. Kedatangan Abdul Rahman disambut dengan penuh penghormatan. Dia
dipersilakan duduk berdekatan dengannya. Kemudian al-Samah mengajukan pelbagai
masalah yang dihadapinya. Al-Samah meminta nasihatnya dalam segala masalah. Di
samping itu al-Samah juga menguji Abdul Rahman untuk mengetahui sejauhmana
kemampuannya.
Al-Samah dapati Abdul Rahman al-Ghafiqi jauh lebih hebat daripada yang
diceritakan. Oleh itu dia
menawarkan Abdul Rahman jawatan penting di Andalus.
Namun Abdul Rahman dengan lembut berkata : Wahai Gabenor, saya ini rakyat biasa. Saya datang ke negeri ini
untuk berada di barisan hadapan tentera Islam. Saya telah mewakafkan diri saya
ini untuk mencari keredaan Allah. Saya hunuskan pedang saya ini untuk
menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Dengan izin Allah, engkau akan dapati
saya akan sentiasa bersamamu selagi engkau berada di atas kebenaran. Saya
adalah orang yang paling mentaatimu selagi engkau mentaati Allah dan rasulNya,
kecuali dalam soal yang membabitkan kuasa dan kedudukan.
Wallahu a’alam.
( 37 Kisah kehidupan Tabi’in; Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha 2003)
No comments:
Post a Comment