Raja’ bin Haiwah dilahirkan di
Bisan, Palestin ketika akhir zaman pemerintahan Uthman bin Affan ra atau masa
berdekatan. Beliau berbangsa Arab dan daripada keturunan Kindah. Semenjak kecil
lagi, anak muda Bani Kindah ini membesar dalam suasana yang penuh dengan
ketaatan kepada Allah. Oleh kerana itu, Allah menyayanginya dan Allah
menjadikan seluruh manusia menyayanginya.
Raja’ telah memulakan
pengajiannya semenjak kecil lagi. Oleh kerana itu, jiwanya terbuka luas untuk
menerima segala ilmu dan kemudiannya menjadi mantap dan sebati dalam jiwanya.
Tumpuan utama anak kecil ini ialah untuk meneroka Kitab Allah dan memetik
hadis-hadis rasulullah saw.
Akhirnya seluruh hidup anak kecil
ini bergemerlapan dengan cahaya al-Quran dan pimpinan Nubuwwah. Jiwanya penuh
berisi dengan bimbingan dan hikmah. Manusia yang telah diberikan hikmah oleh
Allah adalah manusia yang telah menerima kurniaanNya yang melimpah ruah.
Anak kecil ini berpeluang memetik
nur ilmu daripada para sahabat yang terkemuka seperti Abu Sa’id al-Khudri, Abu
Darda’, Abdullah bin Amru bin al-As, al-Nuwas bin Sam’an dan ramai lagi.Mereka
ini ibarat pelita yang membimbingnya dan obor yang menerangi jalannya.
Anak muda yang bertuah ini telah
menyematkan dirinya dengan satu motto yang menjadi pegangan sepanjang hidupnya
seperti mana yang dinyatakannya sendiri :
Alangkah eloknya Islam apabila dihiasi iman
Alangkah eloknya iman apabila dihiasi dengan ketakwaan
Alangkah eloknya ketakwaan apabila dihiasi dengan ilmu
Alangkah eloknya ilmu apabila dihiasi dengan amalan
Wallaahu a’lam.
(
37 kisah kehidupan tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )
Wahai Allah, sesungguhnya
hari ini adalah hari yang baru. Maka bukakanlah hari ini ya Allah untuk kami dengan
ketaatan terhadapMu. Dan tutuplah hari ini untuk kami ya Allah dengan
keampunanMu dan keredaanMu.
Dan anugerahkanlah kepada kami dalam hari ini segala
kebaikan yang kami terima daripadaMu dan Engkau sucikan amalan-amalan kami dan
Engkau gandakan untuk amalan kami. Dan apa yang kami lakukan daripada
keburukan-keburukan maka ampunkanlah kami. Sesungguhnya Engkau ya Allah, Yang
Maha Pengampun, Yang Maha Penyayang Yang Maha Pencinta, Yang Maha Mulia. Aameen.
No comments:
Post a Comment