Monday, November 26, 2012

Kongsi kejayaan di UiTM


Manfaat waktu makan tengah hari

Shah Alam : Saya gunakan waktu makan tengah hari untuk mengulangkaji pelajaran, membaca jurnal  dan mencari maklumat di internet kata Penerima Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Salina Muhamad,32.

Berbeza dengan mereka yang sering menghabiskan waktu makan tengah hari di cafeteria, graduan ijazah doktor falsafah bidang Kejuruteraan Elektrik yang juga pensyarah Universiti Selangor (UNISEL) itu, berkata waktu terluang akan digunakan sebaik mungkin kerana menganggapnya saat paling berharga.

Waktu belajar bagi saya ialah bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Dalam tempoh ini, masa yang terluang akan digunakan sebaik mungkin. Betul kata orang jika ingin berjaya, hargailah masa dan itulah yang menjadi pegangan saya.

Jika saya pulang ke rumah, status saya bukan lagi seorang pelajar, tetapi sebagai isteri dan ibu kepada tiga orang anak berumur enam, empat dan tiga tahun. Jadi, saya akan menyediakan makan malam dan menyediakan kelengkapan untuk anak dan suami. Hanya dengan solat taubat dan solat hajat saja yang dapat mengurangkan tekanan di hadapi demi mengejar cita-cita ini, katanya.

Berkongsi kejayaan ialah penerima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor, graduan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan , Dr Muhammad Nur Azmi Baharudin, 24, yang bercita-cita menjadi pakar bedah kardiotorasik.

Beliau berkata, walaupun ditakdirkan selepas ini akan melanjutkan pelajaran ke luar negara, impiannya tidak berubah, iaitu mahu menyumbang kepakarannya untuk manfaat masyarakat, sekali gus memajukan bidang perubatan negara.
 
Buat masa ini, saya bertugas sebagai Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Perancangan saya dalam masa terdekat adalah untuk melanjutkan pengajian sama ada dalam atau luar negara.

Walau setinggi mana pun kejayaan dikecapi, saya percaya ia tidak akan bermakna jika kita tidak dapat berbakti. Sebab itu, nasihat saya, walau apapun kerja  yang kita lakukan, biarlah ia dibuat dengan ikhlas selain jangan lupa kepada Allah yang memberikan kita nikmati kejayaan ini, katanya.

( BH, 25 Nov 2012 )

No comments:

Post a Comment