Walaupun ketika itu, tentera Islam berada di kemuncak kemenangan yang amat
membanggakan. Namun bebanan yang ditanggung kini semakin berat akibat harta
perolehan perang yang mencurah-curah ibarat hujan, bertimbun di tangan tentera
Islam.
Abdul Rahman al-Ghafiri melihat segala kekayaan yang melimpah ruah ini
dengan penuh kebimbangan dan takut. Abdul Rahman bimbang harta ini bakal
menggugat kekuatan umat Islam. Beliau bimbang harta ini akan menganggu hati
mereka ketika bertemu musuh. Hati mereka mungkin berbelah bahagi jika sesuatu
keburukan menimpa mereka. Mereka mungkin melihat musuh dengan sebelah mata
sementara mata satu lagi sibuk melihat harta milik mereka.
Oleh itu, beliau berhasrat untuk mengarahkan tenteranya membuang sahaja
segala harta yang bertimbun ini tetapi beliau takut tindakan itu tidak dapat
diterima oleh mereka. Mereka mungkin tidak bersedia untuk menyerahkan segala
kekayaan ini. Jadi hanya satu sahaja pilihan yang terbaik iaitu mengumpulkan
segala harta in dalam satu khemah khas. Khemah ini ditempatkan di bahagian
belakang markas sebelum sesuatu peperangan meletus.
Selama beberapa hari, kedua-dua belah pihak angkatan tentera ini saling
berhadapan dengan penuh tenang. Dalam diam-diam, masing-masing memerhati antara
satu sama lain ibarat dua banjaran gunung yang saling berhadapan. Masing-masing
merasa bimbang dengan kekuatan lawan dan mengambil pelbagai perhitungan sebelum
memulakan serangan.
Keadaan ini berlangsung beberapa lama. Akhirnya melihat kepada semangat
tenteranya yang berkobar-kobar untuk mara, Abdul Rahman al-Ghafiqi mengambil
keputusan untuk memulakan dahulu serangan dengan bergantung sepenuhnya kepada
kelebihan yang dimiliki oleh tenteranya dan keyakinannya bahawa kemenangan akan
memihaknya.
Abdul Rahman al-Ghafiqi bersama tentera berkuda melancarkan serangan ke
barisan musuh ibarat singa yang mengganas. Tentera Perancis pula membalas
serangan ini dengan semangat yang tinggi ibarat gunung.
Hari pertama dalam peperangan ini tidak memihak kepada mana-mana pihak.
Hanya kegelapan malam sahaja yang mampu menghentikan peperangan hari itu. Hari
berikutnya, peperangan kembali meletus. Umat Islam melancarkan serangan hebat ke
atas tentera Eropah. Namun mereka masih gagal untuk mencapai matlamat mereka.
Peperangan kini berlanjutan selama tujuh hari dan masa terasa bergerak
terlalu lambat. Pada hari kelapan, umat Islam melancarkan serangan
besar-besaran ke arah musuh. Mereka berjaya membuka ruang yang besar di pihak
musuh, seoalah-olah mereka dapat melihat kemenangan melalui ruang ini ibarat
cahaya mentari yang memancar kegelapan subuh.
Namun dalam masa yang sama, sekumpulan pasukan musuh telah melancarkan
serangan hendap ke arah khemah harta perolehan perang milik tentera Islam.
Apabila melihat harta mereka diserang dan hampir jatuh ke tangan musuh,
kebanyakan tentera Islam mula berundur ke belakang untuk menyelamatkan harta
masing-masing. Tindakan ini menyebabkan barisan serangan mereka porak peranda
dan kekuatan mereka mulai goyah.
Panglima agung tentera ini, kini terpaksa bertindak pantas untuk
mengerahkan kembali tentera yang berundur ini sambil terpaksa menahan serangan
musuh dan menutup ruang yang terbuka. Dalam keadaan ini, pahlawan Islam yang
agung, Abdul Rahman al-Ghafiri terpaksa memacu kudanya ke hadapan dan belakang.
Ketika itulah beliau terkena panahan musuh yang menyebabkannya rebah ke bumi
ibarat helang yang gugur dari puncak gunung. Rebah syahid di medan peperangan.
Apabila melihat malapetaka ini, umat Islam mula diserang rasa takut dan
goyah. Ditambah pula dengan serangan hebat oleh musuh. Kegelapan malam sahaja
yang mampu menyelamatkan mereka.
Menjelang pagi, Charles Martel mendapati seluruh tentera Islam telahpun
berundur daripada Poitiers. Walau bagaimanapun, Charles tidak berani untuk
mengejar mereka. Sedangkan, jika dia mengejar, dia boleh memusnahkan mereka.
Charles sebenarnya takut pengunduran ini hanyalah sebahagian daripada taktik
perang yang terancang. Jadi, Charles mengambil keputusan untuk kekal sahaja dan
berpuas hati dengan kemenangan besar yang telah diperolehinya.
Peperangan Balat al-Shuhada’ ini merupakan hari penting dalam sejarah. Pada
hari tersebut, umat Islam gagal mencapai impian besar yang dicitakan selama
ini. Malah mereka kehilangan seorang pahlawan agung. Tragedi Uhud berulang
kembali. Inilah sunnah Allah di alam semesta ini dan sunnah ini tidak mungkin
dapat diubah.
Berita kekalahan di Balat al-Shuhada’ ini amat menyayat hati umat Islam di
setiap tempat. Tragedi yang menimpa mereka ini amat menggemparkan mereka.
Seluruh kota, kampung dan setiap rumah berkabung kesedihan menerima berita ini.
Malah luka yang amat pedih ini masih terasa hingga kini. Luka ini tidak akan
sembuh selamanya.
Sebenarnya, luka yang begitu mendalam ini bukan sahaja menggores hati umat
Islam. Malah luka ini turut dikongsi bersama oleh para cendikiawan Eropah. Bagi
mereka, kemenangan datuk nenek mereka mengalahkan umat Islam di Poitiers
merupakan satu bencana besar yang merugikan seluruh bangsa manusia. Suatu
kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Eropah. Suatu bencana yang memalapkan
suatu tamadun sebagaimana yang telah diperkatakan oleh Henry De Shamboone,
pengarah majalah Rivi Barlmintier berbahasa Perancis.
Wallahu a’alam.
No comments:
Post a Comment