Tuesday, November 13, 2012

Putera Andalus 7


Berita yang menyayat hati tentang menantunya, Uthman bin Abu Nu’ah akhirnya sampai ke pengentahuan Duke Aquitania. Lebih menyayatkan hatinya ialah berita tentang nasib anaknya, Minin. Dia memahami kini gendang perang telahpun dipalu. Dia turut yakin Singa Islam, Abdul Rahman al-Ghafiqi akan menyerang negerinya pada bila-bila masa.

Oleh itu, dia membuat persiapan  untuk mempertahankan habis-habisan setiap inci buminya. Dia bersedia untuk mengorbankan jiwa dan segala harta yang dimilikinya. Dia tidak mahu diheret ke istana Khalifah seperti yang berlaku kepada anaknya. Dia tidak mahu kepalanya menjadi tontonan di seluruh Damsyik seperti yang berlaku kepada Luzarique, raja Sepanyol sebelum ini.

Ternyata sangkaan Duke tidak dihampakan oleh Abdul Rahman al-Ghafiqi. Bersama-sama angkatan tenteranya, Abdul Rahman al-Ghafiqi mara dari arah Utara Andalus ibarat angin taufan yang melanda. Ibarat bah yang besar melanda Selatan Perancis melalui puncak Pyrennes.

Angkatan tenteranya berjumlah 100 ribu orang mujahid. Semuanya mara dengan berbekalkan semangat waja dan tekad yang tinggi menggunung. Matlamat mereka kini ialah Kota Arles yang terletak di tebing Sungai Rhone. Kota ini ada perhitungan tersendiri dengan tentera Islam. Kota Arles suatu ketika dahulu pernah memeterai perjanjian dengan umat Islam apabila mereka bersetuju untuk membayar jizyah.

Ketika al-Samah bin Malik al-Khaulaani gugur syahid di medan Toulouse hingga menyebabkan tentera Islam tersungkur kalah, penduduk Arles mengkhianati perjanjian dan enggan membayar jizyah.

Ketika Abdul Rahman al-Ghafiqi tiba di pinggir kota, beliau mendapati Eudes, Duke Aquitania telahpun membuat persiapan rapi untuk mempertahankan kota ini. Eudes telah mengumpulkan tentera-tenteranya di sekeliling kota dan bersiap sedia untuk menyekat kemaraan tentera Islam.

Tidak berapa lama kemudian, pertembungan dua pihak pun bermula. Berlakulah pertempuran yang hebat. Abdul Raham al-Ghafiqi melancarkan serangan daripada pasukan-pasukan tentera yang berani mati, malah kecintaan mereka kepada mati lebih daripada kecintaan musuh kepada hidup. Akhirnya mereka berjaya memporak-perandakan kekuatan musuh dan menggugatkan pertahanan mereka. Seluruh kota kini terlibat dalam pertempuran ini. Musuh berjaya ditundukkan dan ramai yang terkorban. Harta perang yang diperolehi tidak terhitung banyaknya.

Duke Eudes pula berjaya melarikan diri bersama tentera-tenteranya yang masih hidup. Mereka segera mengumpulkan semula kekuatan untuk bertemu semula dengan tentera Islam. Bagi Eudes, peperangan di Arles adalah suatu permulaan bukan suatu kesudahan.

Wallahu a’alam.

 ( 37 Kisah kehidupan Tabi’in; Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha 2003)

No comments:

Post a Comment