Pada tahun 91 Hijrah, al-Walid bin Abdul Malik menunaikan haji dengan
diiringi oleh Raja’ bin Haiwah. Apabila sampai di Madinah, mereka menziarahi
Masjid Nabawi al-Sharif dengan ditemani Umar bin Abdul Aziz.
Khalifah seterusnya berhasrat untuk melihat Masjid al-Nabawi dengan lebih
dekat kerana baginda berazam untuk meluaskan kawasan masjid tersebut sehingga
200 hasta luasnya. Untuk tujuan itu, orang ramai diminta keluar bagi
membolehkan khalifah meninjau dengan lebih teliti.
Orang ramai pun diarah keluar daripada masjid kecuali Sa’id bin al-Musayyab
kerana para pengawal tidak berani mengarahkannya keluar. Lalu Umar bin Abdul
Aziz yang ketika itu menjadi gabenor di Madinah menghantar wakilnya kepada
Sa’id al-Musayyab.
Wakil itu dengan sopan berkata : Alangkah baik jika tuan keluar seperti
mana orang lain. Said bin al-Musayyab walau bagaimanapun menjawab : Saya tidak akan keluar dari masjid ini
kecuali pada waktu yang biasa saya keluar setiap hari. Seseorang kemudiannya
berkata kepada Sa’id : Alangkah baik jika
tuan bangun dan memberi salam kepada Amirul Mukminin. Saya datang ke sini untuk
berdiri di hadapan Tuhan sekalian alam, jawab Sa’id.
Apabila Umar mengetahui apa yang berlaku antara Sa’id bin al-Musayyab
dengan wakilnya, beliau membawa khalifah jauh daripada tempat Sa’id. Sementara
itu, Raja’ bin Haiwah pula mengajak khalifah berbual kerana mereka berdua
mengenali sifat bengis khalifah.
Siapakah orang tua itu, tanya khalifah kepada mereka. Bukankah itu Sa’id bin al-Musayyab. Ya,
wahai Amirul Mukminin, jawab mereka sambil menceritakan kehebatan pegangan
agama dan ilmunya serta kelebihan dan ketakwaannya.
Jika sheikh itu tahu di mana
Amirul Mukminin sudah tentu dia akan bangun dan memberi salam tetapi penglihatannya
sudah kabur, tambah
mereka lagi, mencari helah supaya khalifah
tidak menjadi marah kepada Sa’id.
Al-Walid yang dari tadi mendengar celoteh mereka berdua berkata : Saya sudah pun kenal sheikh ini. Kita
sebenarnya yang patut menemui dan memberi salam kepadanya.
Khalifah kemudiannya berjalan di sekitar masjid hingga sampai ke tempat
Sa’id bin al-Musayyab. Baginda berdiri di hadapan Sa’id dan mengucapkan salam
seraya berkata: Apa khabar, wahai sheikh?
Sa’id bin al-Musayyab yang sedang sibuk beribadah tidak berganjak dari
tempat duduknya. Beliau membalas : Saya
sihat dengan nikmat Allah dan segala pujian dan anugerah itu adalah milikNya.
Bagaimana pula khabar Amirul Mukminin, semoga Allah memberi taufik untuk melaksanakan
apa yang disukai dan diredaiNya.
Al-Walid pun berlalu pergi sambil berkata : Tidak ramai seperti orang ini. Inilah generasi salafussoleh yang masih
tinggal.
Wallaahu a’lam.
No comments:
Post a Comment