Ibarat awan yang berarak menyingkap cahaya bulan di tengah malam yang gelap
gelita. Sinaran bulan ini menjadi penyuluh buat yang tersesat dan menjadi
cahaya yang menerangi orang yang kebingungan. Demikianlah ibaratnya bagaimana
peperangan di Toulouse menyingkap kepahlawanan tokoh Islam yang ulung, Abdul
Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi.
Ibarat orang-orang yang hampir mati kehausan di tengah padang pasir dan
melihat air. Masing-masing akan menghulurkan tangan menangguk seteguk air untuk
kembali bernyawa. Demikianlah ibaratnya bagaimana tentera-tentera Islam yang
menghulurkan tangan mereka kepada panglima agung ini. Mereka mengharapkan agar
beliau dapat menyelamatkan mereka. Malah mereka bersedia memberi taat setia.
Semua ini tidak menghairankan kerana peperangan di Toulouse merupakan
kekalahan besar yang pertama mereka alami semenjak umat Islam menjejakkan kaki
mereka di Eropah. Abdul Rahman al-Ghafiqi ibarat penawar bagi luka ini. Ibarat
tangan yang menghulurkan bantuan dan lindungan. Ibarat hati yang mencurahkan
belaian kasih sayang.
Berita kekalahan besar yang dialami oleh umat Islam di Perancis begitu
menggores hati khalifah di Damsyik. Berita kematian pahlawan yang gagah
perkasa, al-Samah bin Malik al-Khaulaani ibarat api yang membakar semangatnya
untuk menuntut bela. Atas dasar itu khalifah mengeluarkan arahan yang meminta
semua tentera agar memberi sumpah setia kepada Abdul Rahman al-Ghafiqi.
Khalifah melantik Abdul Rahman mentadbir seluruh bumi Andalus termasuk
kawasan-kawasan Perancis yang berjaya ditakluk. Khalifah kemudiannya memberi
kebenaran kepada Abdul Rahman untuk bertindak menurut kehendaknya. Kebenaran
sebegini tidak memeranjatkan kerana al-Ghafiqi adalah seorang yang tegas,
bertakwa dan bijak.
Semenjak dilantik mentadbir bumi Andalus Abdul Rahman berusaha keras untuk
mengembalikan keyakinan diri para tentera Islam dan menyemai jiwa mereka supaya
sentiasa merasa bangga, berkemampuan dan yakin. Di samping itu beliau juga
berusaha untuk mencapai matlamat agung yang dicita-citakan oleh para panglima
agung Islam di zaman Musa bin Nusair hinggalah
ke zaman al-Samah bin Malik al-Khaulaani. Kesemua para pahlawan agung ini
bercita-cita besar untuk mara ke Perancis kemudian ke Itali dan Jerman sebagai
langkah awal untuk menakluk bumi Konstantinopal. Seterusnya menjadikan Laut
Mediteranean ibarat sebuat tasik dalam sebuah negara Islam dan diberi nama Laut
Sham bagi mengantikan nama lamanya Laut Rom.
Wallahu a’alam.
( 37 Kisah kehidupan Tabi’in;
Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha 2003)
No comments:
Post a Comment