Abdul Rahman al-Ghafiqi biasanya akan membuat
perjumpaan dengan semua panglima tentera dan pemimpin masyarakat di setiap
kawasan yang dikunjunginya. Beliau memberi sepenuh tumpuan kepada setiap apa
yang mereka katakan. Beliau menulis setiap cadangan dan mencatatkan setiap
nasihat. Dalam perjumpaan tersebut beliau mengambil sikap lebih banyak
mendengar daripada bercakap. Selain bertemu dengan tokoh-tokoh umat Islam
beliau turut membuat pertemuan dengan tokoh-tokoh ahli zimmi. Kebanyakkan
soalannya berkisar tentang keadaan negeri yang di luar pengetahuannya. Termasuklah
berkenaan pemerintah dan ketua tentera yang sentiasa menjadi tumpuannya.
Suatu hari beliau menjemput seorang tokoh ahli
zimmi yang merupakan penduduk asal Peranchis. Perbualan mereka menyentuh banyak
aspek. Beliau kemudiannya menimbulkan satu persoalan: Mengapa raja kamu, Charles Martel tidak cuba menyerang kami atau tidak
cuba membantu pemerintah-pemerintah wilayah untuk menyerang kami?
Dengan tenang ahli zimmi itu menjawab : Wahai Gabenor, oleh kerana engkau telah
tunaikan segala janjimu kepada kami, kini menjadi tanggongjawab saya pula untuk
memberikan jawapan yang jujur kepada soalan engkau itu. Pemimpin kamu, Musa bin
Nusair telah mengukuhkan cengkamannya di Sepanyol, kemudian dia mula mengalih
tumpuan untuk menakluk Pergunungan Pyrennes yang memisahkan antara Andalus dan
negeri kami yang indah.
Ahli zimmi menyambung: Apabila mengetahui hasrat tersebut, pemerintah
wilayah dan paderi mengadu kepada raja
kami. Tuanku, telah sekian lama kami dan anak cucu kami
menanggung kesedihan?! Semenjak sekian lama kami dengar mengenai umat Islam.
Kami bimbang mereka akan menyerang kami dari arah timur tetapi kini mereka mara
ke arah kami dari arah barat. Mereka telah menakluk seluruh Sepanyol dan
memiliki seluruh kelengkapan yang ada di sana. Selepas itu mereka berjaya pula
menakluk gunung yang memisahkan kami dengan mereka. Sedangkan bilangan mereka
kecil dan senjata mereka sedikit. Kebanyakan mereka tidak mempunyai perisai
untuk mempertahankan diri daripada hayunan pedang. Mereka
juga tidak mempunyai kuda untuk digunakan di medan perang.
Raja mereka melepaskan pandangannya jauh-jauh lalu berkata : saya telah teliti sedalam-dalamnya masalah
yang kamu fikirkan itu dan saya telah berfikir panjang. Saya berpendapat kita
tidak boleh menyekat serangan mereka kali ini. Mereka
kini ibarat air bah yang menelan apa sahaja yang menghalang arusnya. Malah arus
ini akan menghayutkan segala-galanya.
Saya melihat mereka ini
adalah manusia yang mempunyai pegangan dan keikhlasan. Dengan dua perkara ini mereka tidak memerlukan
jumlah yang ramai atau senjata yang cukup. Mereka mempunyai keyakinan dan
kejujuran yang sudah cukup untuk menggantikan perisai dan kuda.
Kita akan tunggu hingga mereka mula mengaut kekayaan. Apabila mereka mula memiliki rumah dan istana. Apabila mereka mula bersaing memiliki amah dan khadam. Apabila mereka mula berlumba untuk berebut kuasa. Ketika itu kita akan berjaya kalahkan mereka dengan cara yang sangat mudah tanpa perlu bersusah payah.
Abdul Rahman al-Ghafiqi tertunduk hiba bila mendengar kata-kata itu. Dia
mengeluh panjang lalu bangun : Marilah
kita sembahyang kerana waktu sudah hampir tiba.
Wallahu a’alam.
No comments:
Post a Comment