Setelah itu saya pun menutup matanya dan menyelimutkan tubuhnya dengan kain
hijau. Setelah saya tutup pintu biliknya saya pun keluar.
Ketika itu, isteri Sulaiman menghantar seorang utusan kepada saya untuk
bertanya khabar Sulaiman dan meminta izin untuk melihatnya. Saya pun membukakan
sedikit pintu bilik Sulaiman dan saya katakan kepada utusan itu: Lihatlah,
Sulaiman sedang tidur setelah lama berjaga. Biarkanlah dia berehat.
Utusan itupun balik dan memberitahu isteri isteri Sulaiman. Isterinya yang
mendapat berita tersebut tidak tahu bahawa sebenarnya suaminya sudahpun
meninggal dunia. Disangkanya Sulaiman sedang tidur.
Setelah itu, saya pun menutup pintu bilik itu dengan rapat. Saya
menempatkan seorang pengawal yang saya percaya untuk menjaga pintu itu. Saya
memesan supaya dia tidak bergerak daripada pintu itu sehinggalah saya kembali.
Saya perintahkan dia supaya tidak membenarkan walau siapapun untuk masuk
menemui khalifah.
Seterusnya saya pun pergi dan apabila orang ramai bertanyakan : Apakah khabar
Amirul Mukminin? Saya akan berkata : Semenjak sakitnya, baginda tidak pernah
kelihatan sebegini tenang. Mereka berkata: Segala puji untuk Allah.
Setelah memanggil ketua polis dan saya kumpulkan semua ahli keluarga Amirul
Mukminin di Masjid Dabiq, saya berkata kepada mereka : Berilah sumpah setia
kamu kepada orang yang dinyatakan dalam surat Amirul Mukiminin ini.
Mereka berkata kehairanan : Kami telahpun berikan sumpah setia kami. Apakah
kami perlu berikan lagi?. Saya pun menjelaskan : Ini adalah perintah Amirul
Mukminin. Berilah sumpah setia kamu seperti mana yang diperintahkan oleh Amirul
Mukiminin kepada orang yang dinyatakan dalam surat yang telah dicop mohor ini.
Lalu mereka pun memberikan sumpah setia mereka seorang demi seorang.
Apabila saya rasakan saya telah berjaya mengawal keadaan, saya pun
menceritakan hal yang sebenarnya. Dengan tenang dan jelas saya berkata :
Sebenarnya saudara kamu telahpun meninggal dunia. Kita adalah milik Allah dan
kepadaNya kita akan kembali. Saya pun membacakan surat tersebut kepada mereka.
Apabila saya membacakan nama Umar bin Abdul Aziz, Hisham bin Abdul Malik
menjerit: Saya tidak akan memberikan sumpah setia saya kepadanya
selama-lamanya.
Saya pun berkata dengan tegas: Jika demikian, demi Allah saya akan
memenggal lehermu. Bangun dan berikan sumpah setia kamu. Dia pun bangun
mengheret kakinya. Apabila berada di hadapan Umar dia berkata : Kita adalah
milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali. ( Dia bersedih kerana khalifah
beralih kepada Umar bukan kepadanya atau kepada anak-anak Abdul Malik ).
Umar pun menjawab: Kita adalah milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali.
(Dia juga bersedih kerana jawatan khalifah beralih kepadanya sedangkan dia
tidak menyukainya). Dengan sempurnanya sumpah setia ini, bermakna Allah telah
memberikan nafas baru untuk Islam. Allah telah mengangkat semula cahaya Islam.
Bertuahlah khalifah Sulaiman bin Abdul Malik kerana baginda telah
membersihkan dirinya di hadapan Allah apabila melantik seorang lelaki yang
soleh. Tahniah buat penasihat khalifah yang jujur, Raja’ bin Haiwah. Beliau
telah memberikan nasihatnya hanya kerana Allah, RasulNya dan untuk kepentingan
umat Islam. Semoga Allah
memberikan ganjaran yang besar kepada golongan yang baik-baik ini. Pandangan
mereka inilah yang mampu membimbing pemerintah-pemerintah yang baik.
Wallaahu a’lam.
No comments:
Post a Comment