Urwah bin Zubair, seorang ahli
fiqh yang terbesar, dapat menjadi contoh yang baik tentang orang beriman yang
cukup sabar, menghargai nikmat dan teguh hati. Menurut riwayat, sebelah kakinya
berpenyakit yang menyebabkan para doktor berpendapat supaya dipotong, sehingga
tidak menular sampai ke betisnya, kemudian ke pahanya dan mungkin kepada
keseluruhan tubuhnya.
Dia bersedia dipotong kakinya
untuk kepentingan perubatan. Lalu disuruh meminum suatu minuman yang boleh
menghilangkan ‘aqalnya, sehingga dia tidak merasa sakit dan lebih memungkinkan
para doktor untuk memotong kakinya. Tetapi dia menjawab : Aku tidak mengira, bahawa seseorang yang beriman kepada Allah tidak
akan meminum sesuatu yang dapat menghilangkan kewarasannya, sehingga dia tidak
mengenal dan ingat lagi akan Tuhannya. Biarlah kakiku ini kamu potong sahaja.
Lalu dipotong lututnya. Dia diam
sahaja, tidak berkata apa-apa dan dia tidak mengeluh atau merintih walau
sedikitpun.
Selanjutnya qadar Tuhan berlaku
pada diri Urwah, untuk menguji keimanannya, di malam hari kakinya dipotong itu
terjatuh pula seorang putera kesayangannya dari tingkat atas rumahnya lalu
meninggal dunia ketika itu jua. Kawan-kawannya datang menyampaikan takziah.
Beliau mengucapkan : Ya
Allah! Pujian untuk Engkau. Anakku tujuh orang, lalu Engkau ambil satu, dan
tinggal enam orang. Kaki-tanganku ada empat, lalu Engkau ambil satu dan masih tinggal tiga.
Kalau Engkau yang mengambil, maka Engkau juga yang memberikan. Kalau Engkau
yang memberikan cubaan, sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan
(menyihatkan).
Demikanlah bimbingan iman
meneguhkan hati, dikala mengalami penderitaan dan cubaan.
Wallahu a’alam.
No comments:
Post a Comment