Friday, November 16, 2012

Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar ( 3 )


Apabila anak kecl keturunan Abu Bakar ini meningkat dewasa, beliau telahpun menghafaz kitab Allah Allah Azza wa Jalla. Beliau juga banyak menerima hadis rasulullah saw melalui ibu saudaranya, Aisyah ra. Beliau kemudiannya beralih ke Masjid Nabawi dan mengikuti kelas-kelas ilmu yang bertaburan di segenap penjuru masjid ibarat bintang yang bergemerlapan memenuhi ruang angkasa.

Di sini beliau menerima hadis daripada Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Abdullah bin al-Zubair, Abdullah bin Jaafar, Abdullah bin Khabbab, Rafi’ bin Khadij, Aslam hamba Umar bin al-Khattab dan ramai lagi.

Setelah sekian lama mendalami ilmu, akhirnya beliau menjadi seorang imam dan mujtahid. Malah beliau merupakan orang yang paling mahir dengan sunnah di zamannya. Pada zaman itu, seorang lelaki tidak dianggap sebagai lelaki sejati kecuali dia benar-benar mahir tentang sunnah.

Apabila anak mudah ini memiliki segala ilmu, orang ramai mula berlumba-lumba menimba ilmunya. Beliau pula dengan murah hati mencurahkannya kepada orangramai. Beliau akan datang ke masjid rasulullah saw setiap pagi pada waktu yang sama. Perkara pertama yang dilakukannya ialah mendirikan sembahyang tahiyyatul masjid dua rakaat, kemudian mengambil tempatnya di hadapan khaukhah Umar yang terletak di dalam kawasan Raudhah yang mulia antara kubur rasulullah saw dengan mimbar baginda.

Seketika kemudian, tempat ini dipenuhi oleh penuntut ilmu dari segenap tempat. Mereka begitu dahaga untuk menikmati segala limpahan ilmunya. Akhirnya, al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar dan sepupunya, Salim bin Abdullah bin Umar terkenal sebagai imam Madinah yang dihormati, pemimpin yang ditaati dan tokoh yang disegani walaupun mereka tidak memiliki sebarang kuasa. Mereka dilantik sebagai pemimpin oleh masyarakat Madinah kerana ketakwaan da kewarakan mereka, kerana ilmu ilmu pengetahuan yang memenuhi dada mereka, kerana sikap mereka yang zuhud dengan apa yang ada di tangan manusia dan hanya mengharapkan kurniaan Allah azza wa Jalla.

Kedudukan yang mereka kecapi dalam masyarakat ini menyebabkan para khalifah dan pemerintah bani Umayyah sentiasa mengambil kira pandangan mereka sebelum membuat sessuatu keputusan yang membanitkan Madinah.

Ini dapat dilihat apabila suatu ketika, al-Walid bin Abdul Malik bercadang untuk membesarkan Masjid Nabawi al-Sharif. Namun pembesaran ini tidak dapat dilakukan kecuali memecahkan keempat-empat dinding masjid dan merobohkan rumah-rumah para isteri rasulullah saw kerana kawasan rumah-rumah ini ingin dimasukkan ke dalam kawasan yang dibesarkan. Sudah tentulah cadangan ini berat untuk diterima dan tidak disenangi oleh masyarakat Madinah.

Oleh itu, al-Walid menulis sepucuk surat kepada Umar bin Abdul Aziz, gabenornya di Madinah ketika itu. Surat itu menyebut :

Saya bercadang untuk membesarkan masjid rasulullah saw seluas 200 hasta kali 200 hasta. Pecahkanlah keempat-empat dindingnya dan masukkan bilik-bilik para isteri rasulullah saw ke dalam kawasan yang baru ini. Belilah ruah-rumah yang termasuk dalam pembesaran ini. Jika boleh hendaklah ia menghadap kiblat.

Engkau akan berjaya melakukannyadengan bantuan saudara-saudaramu keluarga al-Khattab yang disegani di kalangan penduduk Madinah. Jika penduduk Madinah enggan berkerjasama, mintalah bantuan al-Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdullah bin Umar. Bawalah mereka bersama dalam perkara ini. Berilah bayaran yang tinggi sebagai ganti rugi kepada pemilik rumah-rumah yang dirobohkan. Engkau boleh lihat contoh yang pernah dilakukan oleh Umar bin al-Khattab dan Uthman bin Affan.

Sebaik sahaja menerima surat al-Walid, Umar bin Abdul Aziz terus memanggil al-Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdullah dan beberapa orang tokoh lain di Madinah. Beliau membacakan kepada mereka surat Amirul Mukminin. Mereka gembira mendengar cadangan khalifah ini dan mereka bersedia melaksanakannya.

Apabila orangramai melihat dua orang ulama dan imam besar Madinah sendiri memecahkan dinding dinding masjid, mereka pun turut serta bersama-sama memecahkannya dan melaksanakan cadangan yang termaktub dalam surat Amirul Mukminin.

Dalam masa yang sama, tentera-tentera Islam yang gagah sedang mara menghadapi kota-kota yang berada di sepanjang jalan menuju Kota Konstantinopal. Satu demi satu kota ini berjaya ditawan oleh tentera-tentera yang dipimpin oleh panglima agung Maslamah bin Abdul Malik bin Marwan yang akhirnya membuka jalan penaklukan Kota Konstantinopal.

Apabila Maharaja Rom mengetahui cadangan Amirul Mukminin untuk memperbesar Masjid Nabawi al-Sharif, baginda berhasrat melakukan sesuatu yang disenangi oleh Amirul Mukminin dengan tujuan mengambil hatinya. Untuk tujuan itu dia menghantar 100 000 karat emas. Sebagai tambahan dihantar pula 100 orang pekerja mahir  yang bertanggungjawab membina bangunan di Rom dan setiap pekerja dibekalkan 40 kotak Fusaifisa.

Semua hadiah ini dihantar kepada Umar bin Abdul Aziz untuk digunakan dalam pembinaan masjid. Lalu Umar menggunakan barang-barang ini menurut pandangan al-Qasim bin Muhammad dan Salim bin Abdullah.

Wallahu a’alam.

 ( 37 Kisah Kehidupan Tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

No comments:

Post a Comment