Monday, November 26, 2012

Raja’ bin Haiwah ( 5 )


Apabila takhta khalifah diserahkan kepada Sulaiman bin Abdul Malik, Raja’ bin Haiwah mendapat tempat yang lebih hampir berbanding khalifah-khalifah sebelum ini. Sulaiman bin Abdul Malik amat menaruh keyakinan kepadanya. Baginda juga sentiasa bergantung kepadanya dan selalu meminta pandangannya dalam apa jua masalah.

Terdapat banyak lagi kisah-kisah menarik Raja’ bin Haiwah bersama Sulaiman bin Abdul
Malik. Walau bagaimanapun, peranan yang paling besar dan paling penting dilakukannya untuk kesejahteraan Islam ialah ketika perlantikan Umar bin Abdul Aziz. Raja’ berjaya mempengaruhi Sulaiman supaya melantik Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah.

Raja menceritakan, katanya : Pada hari Jumaat pertama dalam bulan Safar tahun 99 Hijrah, saya berada bersama Amirul Mukminin, Sulaiman bin Abdul Malik di Dabiq ( sebuah kampung berdekatan Halab, Syria ). Baginda telah menghantar satu angkatan tentera yang lengkap ke Konstantinopal yang diketuai oleh adiknya sendiri, Maslamah bin Abdul Malik, anaknya Daud dan beberapa orang kenamaan dalam keluarganya. Baginda bersumpah tidak meninggalkan Kota Dabiq kecuali setelah Allah memgizinkannya untuk menakluk Konstantinopal ataupun baginda yang mati.

Apabila hampir masuk waktu sembahyang Jumaat, khalifh pun mengambil wuduk. Kemudian baginda memakai pakaian dan serban berwarna hijau. Baginda melihat cermin dan terasa kehebatan dirinya dengan usianya yang masih muda. Baginda ketika itu berusia 40 tahun.

Baginda kemudiannya keluar untuk bersama-sama orang ramai menunaikan sembahyang Jumaat. Malangnya setelah pulang dari masjid, baginda jatuh sakit akibat diserang demam. Sakitnya semakin teruk dari sehari ke sehari. Ketika itu baginda meminta saya supaya sentiasa berada di sisinya. Suatu ketika saya masuk menemuinya. Saya lihat baginda sedang menulis sesuatu.Saya pun bertanya: Apakah yang engkau lakukan, wahai Amirul Mukminin?

Saya sedang menulis wasiat perlantikan khalifah untuk anak saya Ayub, jawab baginda. Saya pun memberanikan diri dan bertanya : Wahai Amirul Mukminin, suatu perkara yang akan memelihara seorang khalifah di pusaranya nanti dan akan membersihkan dirinya di hadapan Allah nanti ialah apabila dia melantik seorang lelaki yang soleh sebagai khalifah menggantikannya. Anakmu, Ayub masih kecil belum pun bermimpi lagi. Engkau sendiri pun tidak pasti apakah dia sesuai ataupun tidak.

Sulaiman pun terhenti seketika dan berkata : Saya sekadar menulis. Saya sebenarnya masih meminta petunjuk Allah dan saya belum lagi membuat keputusan. Lalu baginda mengoyakkan wasiatnya tadi. Selepas sehari atau dua, Sulaiman memanggil saya dan berkata : Apakah pandanganmu tentang anak saya Daud, wahai Abu al-Miqdam?

Saya pun menjawab: Dia sedang bersama tentera Islam di Konstantinopal. Engkau pun tidak pasti apakah dia masih hidup ataupun sudah mati.

Jadi siapakah yang layak pada pandanganmu, wahai Raja?, tanyanya lagi. Semuanya terserah pada pandangan Amirul Mukiminin, jawab saya pula. Saya sebenarnya mahu menunggu orang-orang yang Sulaiman sebutkan supaya saya dapat ketepikan mereka satu persatu hinggalah saya dapat menaikkan Umar bin Abdul Aziz.

Sulaiman bertanya lagi: Apakah pandanganmu tentang Umar bin Abdul Aziz?. Saya yang memang menunggu-nunggu soalan itu pun terus menjawab : Demi Allah, sepanjang pengetahuan saya beliau adalah seorang yang baik, sempurna, bijak dan berpegang kepada agama.
 
Sulaiman mengiyakan kata-kata saya, Benar, demi Allah itulah sifatnya. Cuma jika saya melantiknya dan saya ketepikan anak-anak Abdul Malik, sudah tentu akan membawa musibah. Mereka tidak akan sama sekali membenarkan Umar memimpin mereka.
Jika demikian, pilihlah salah seorang di antara mereka dan lantiklah dia selepas Umar bin Abdul Aziz, cadang saya. Nampaknya Sulaiman bersetuju dengan cadangan saya dan berkata : Betul pandangamu itu kerana itu akan meredakan perasaan mereka dan mereka akan bersetuju. Baginda kemudiannya mengambil sehelai ketas dan menulis sendiri.

Wallaahu a’lam.

(  37 kisah kehidupan tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

No comments:

Post a Comment