Tuesday, November 27, 2012

Raja’ bin Haiwah ( 6 )


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Surat ini adalah daripada hamba Allah, Sulaiman bin Abdul Malik, Amirul Mukminin kepada Umar bin Abdul Aziz bahawa saya telah melantiknya sebagai khalifah selepas saya dan selepas beliau pula saya melantik Yazid bin Abdul Malik. Hendaklah kamu mentaatinya dan takutilah Allah. Janganlah kamu berselisih hingga membuka ruang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan.

Sulaiman pun meletakkan cop mohornya dan menyerahkannya kepada saya. Selepas itu saya memanggil Kaab bin Hamiz, ketua polis. Baginda kemudiannya memberikan  arahan: Panggil semua ahli keluarga saya supaya berkumpul dan beritahu mereka bahawa surat yang berada di tangan Raja’ bin Haiwah adalah surat saya. Perintahkan mereka supaya memberi sumpah setia mereka kepada orang yang tercatat di dalam surat itu.

Apabila mereka semua berkumpul, saya pun berkata kepada mereka: Ini adalah surat Amirul Mukminin. Di dalam surat ini, baginda telah menyatakan orang yang bakal dilantik menjadi khalifah selepasnya. Baginda telah memerintahkan saya supaya mengambil sumpah setia daripada kamu untuk orang yang dilantiknya ini, beritahu Raja’.

Kami menerima perintah Amirul Mukminin. Kami akan taat khalifah selepasnya. Mereka memohon untuk menemui Amirul Mukminin untuk mengucapkan salam kepadanya. Balas mereka. Saya pun berkata: Boleh.

Apabila mereka masuk, Sulaiman pun berkata kepada mereka : Surat yang berada di tangan Raja’ bin Haiwah adalah surat saya. Di dalam surat itu ada dinyatakan orang yang saya lantik sebagai khalifah selepas saya. Dengar dan taatlah kepadanya. Berikanlah sumpah setia kamu kepada orang yang saya nyatakan dalam surat itu.

Mereka yang ada di situ pun memberikan sumpah setia seorang demi seorang. Setelah itu, saya pun membawa keluar surat yang bercop mohor itu. Tiada seorang pun tahu siapakah yang dinyatakan dalam surat itu selain saya dan Amirul Mukminin.

Setelah semua orang bersurai, Umar bin Abdul Aziz datang menemui saya. Beliau berkata: Wahai Abu al-Miqdam, Amirul Mukminin seorang yang terlalu baik dengan saya. Dengan kemurahan hati dan kemesraannya, baginda telah mengurniakan saya segala-galanya. Saya bimbang jika baginda ada menyerahkan apa-apa yang berkaitan dengan perkara ini kepada saya. Jadi dengan nama Allah, saya berharap kepadamu dan saya memohon dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang saya kepadamu agar engkau memberitahu saya jika kandungan surat Amiril Mukminin itu ada apa-apa yang membabitkan saya supaya saya dapat memohon untuk menarik diri sebelum masa terlambat.

Saya menjawab : Demi Allah, saya tidak akan memberitahu walau satu perkataan sekalipun mengenai apa yang ingin engkau ketahui. Umar pun pergi dalam keadaan marah.

Tidak berapa lama kemudian, datang pula Hisham  bin Abdul Malik. Hisyam berkata : Wahai Abu al-Miqdam, semenjak sekian lama saya amat menghormati dan menyayangimu. Saya juga amat berterima kasih dengan mu. Apakah boleh jika engkau beritahu saya kandungan surat Amirul Mukminin. Jika perkara ini diserahkan kepada saya, saya akan diam tetapi jika perkara ini diserahkan kepada orang lain saya akan membantah. Orang seperti saya tidak sepatutnya dihalang daripada perkara ini. Saya berjanji demi Allah saya tidak akan menyebut namamu selepas ini.

Saya berkata kepadanya: Demi Allah, saya tidak akan beritahu walau satu huruf pun kerana amirul Mukminin telah meminta saya merahsiakannya. Hisham pun pergi kemarahan sambil menumbuk-numbuk tangannya.

Hisham berkata lagi: Jika saya tidak dilantik siapa pula?. Apakah kedudukan khalifah ini akan terkeluar daripada keluarga Abdul Malik? Demi Allah, saya adalah anak Adul Malik yang paling utama.

Selepas itu saya masuk menemui Sulaiman bin Abdul Malik. Saya dapati baginda sedang menenangkan jiwanya. Apabila kelihatan baginda sedang berhadapan dengan sakaratul maut, saya mengiringkan badannya ke arah kiblat. Namun baginda berkata kepada saya dalam suara yang tersekat-sekat: Belum lagi sampai masanya, wahai Raja.

Setelah itu saya mengulangi sekali lagi perbuatan saya dan pada kali ketiga baginda berkata kepada saya : Sudah sampai masanya wahai Raja’. Jika engkau mahu lakukan sesuatu, lakukan sekarang. Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah.

Saya pun mengiringkannya ke arah kiblat. Tidak lama kemudian, Sulaiman pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Wallaahu a’lam.

 (  37 kisah kehidupan tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

No comments:

Post a Comment