Raja’ bin Haiwah pernah menjawat
jawatan penasihat kepada beberapa orang khalifah Bani Umayyah. Bermula daripada
Abdul Malik bin Marwan hinggalah ke zaman Umar bin Abdul Aziz. Walau
bagaimanapun, hubungan rapatnya dengan Sulaiman bin Abdul Malik dan Umar bin Abdul
Aziz berbeza sama sekali dengan hubungannya dengan khalifah-khalifah yang lain.
Faktor yang menyebabkan para
khalifah Bani Umayyah tertarik dengan Raja’ ialah pandangannya yang bernas,
nasihatnya yang tulus, niatnya yang ikhlas dan kebijaksanaannya dalam
menyelesaikan semua perkara. Apa yang paling utama ialah sikapnya yang tidak
mengharapkan habuan daripada para khalifah. Berbeza sama sekali dengan
orang-orang lain yang sentiasa mencari kesempatan.
Hubungan yang wujud antara Raja’
dengan para khalifah Bani Umayyah merupakan suatu anugerah Allah kepada mereka.
Malah ia adalah suatu limpah kurniaNya untuk mereka. Raja’ memainkan peranan
dalam mengajak para khalifah ini melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
Beliau membimbing mereka supya melalui jalan yang betul.
Beliau juga berperanan menyekat
mereka daripada terjerumus dalam segala unsur yang tidak baik dan menunjuk
mereka jalan yang benar dan memberi mereka galakan supaya mereka
memanfaatkannya. Beliau juga menunjuk ajar mereka jalan yang tidak betul dan
membimbing mereka supaya tidak melaluinya. Segala nasihat yang diberikan
hanyalah kerana Allah dan rasulullah saw serta demi kepentingan umat Islam.
Suatu ketika, saya berada bersama
-sama Sulaiman bin Abdul Malik di tengah-tengah orang ramai. Ketika itu, saya terlihat
seorang lelaki sedang berjalan menuju ke arah kami dari tengah-tengah kesesakan
itu. Rupa parasnya kelihatan baik dan mulia. Orang ini berjalan di celah-celah
orang ramai. Saya sangka dia mahu menemui khalifah. Namun sangkaan saya meleset
apabila dia mula merapati saya. Dia berdiri di sebelah saya dan mengucapkan
salam kepada saya.
Orang itu kemudiannya berkata : Wahai Raja’, engkau sebenarnya sedang diduga
untuk berada bersama lelaki ini. Sambil tangannya menunjuk ke arah
khalifah.
Berdampingan dengan orang ini akan membawa engkau kepada keuntungan
atau bencana yang besar. Jadikanlah kesempatan untuk mendampingi mereka ini
sebagai suatu keuntungan untuk kamu dan untuk seluruh manusia. Sedarlah wahai
Raja’, bagi orang yang berkuasa, jika ada seseorang yang tidak berkemampuan datang
kepadanya untuk meminta bantuan tetapi dia tidak membantunya, sesungguhnya pada
hari dia menemui Allah kelak, dia pasti akan dipertanggungjawabkan.
Ingatlah wahai Raja’, sesiapa yang membantu saudara muslimnya
sesungguhnya Allah akan membantunya. Sedarlah wahai Raja’, antara amalan yang
paling disukai oleh Allah ialah apabila seseorang itu menggembirakan hati
saudara muslimnya.
Ketika saya sedang mendengar
dengan penuh perhatian setiap kata-kata lelaki itu dan berharap agar dia
memanjangkannya, tiba-tiba khalifah memanggil saya. Di mana Raja’ bin Haiwah?.
Saya di sini wahai khalifah. Saya cepat-cepat menjawab sambil
berpaling ke arah khalifah.
Khalifah bertanya suatu masalah dan sebaik sahaja saya selesai menjawabnya,
saya pun menoleh ke arah lelaki tadi tetapi saya tidak menemuinya. Saya pun
mencari-cari di sekeliling tempat itu, tetapi saya tidak temui.
Wallaahu a’lam.
No comments:
Post a Comment