Thursday, November 15, 2012

Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar ( 2 )


Pada suatu hari, beliau menyarungkan kami pakaian berwarna putih dan saya didudukkan di pehanya manakala adik saya didudukkan dipehanya yang satu lagi. Rupa-rupanya beliau telah memanggil bapa saudara saya Abdul Rahman. Apabila Abdul Rahman sampai, beliau menyambutnya dan bercakap sambil memuji-muji Allah Azza wa Jalla dengan segala sifat yang terpuji. Saya tidak pernah melihat seorang lelaki mahupun perempuan sebelum atau selepas tu yang bercakap dengan begitu petah dan indah sepertinya.

Beliau berkata dengan lembut: Saudaraku, saya melihat engkau selalu menjauhkan diri dari saya semenjak saya mengambil dan membela kedua-dua budak ini. Demi Allah, apa yang saya lakukanini bukan kerana membelakangkan hakmu atau kerana wasangka denganmu atau kerana merasakan engkau akan mengabaikan mereka. Cuma engkau mempunyai isteri yang ramai sedangkan budak-budak ini belum lagi pandai menjaga diri sendiri. Jadi, saya takut isteri-isterimu tidak sanggup melihat kecomotan mereka sehingga menyebabkan mereka tidak senang hati. Oleh itu, dalam usia ini saya merasakan saya sepatutnya membela mereka ini.

Namun sekarang mereka sudah besar dan sudah pandai menjaga diri. Ambil dan belalah mereka. Lalu bapa saudara kami mengambil kami dan membela kami di rumahnya.

Walau bagaimanapun, anak kecil keturunan Abu Bakar ini lebih suka dengan rumah ibu saudaranya, Aisyah Ummu Mukminin ra. Rumah ini lebih selesa baginya kerana rumah ini segar dengan suasana nubuwwah. Di rumah ini juga beliau membesar dan dididik dengan belaian isteri baginda. Dengan belaiannya juga beliau memperolehi segala-galanya.

Oleh kerana itu, beliau sering berulang-alik antara rumah ibu saudaranya dengan rumah bapa saudaranya.

Kenangan selama membesar di rumah ibu saudaranya yang sungguh indah menjadi ingatan sepanjang hayatnya. Cuba dengarkan ceritanya mengenai kenangan manis yang dilaluinya itu. Dia bercerita :

Pada suatu hari saya bercakap dengan ibu saudara saya, Aisyah ra. Wahai ibuku, tolonglah tunjukkan kepada saya makam nabi saw dan makam-makam sahabat baginda. Saya teringin melihatnya.

Pada masa itu, makam ketiga-tiga mereka masih berada di dalam rumahnya. Beliau telah menutup kubur-kubur itu supaya tidak kelihatan. Atas permintaan saya, beliau menunjukkan saya ketiga-tiga makam tersebut. Ketiga-tiga makam tersebut tidaklah tinggi dan tidaklah rendah. Pada bahagian atasnya dilitupi batu-batu kecil berwarna merah yang diambil dari laman masjid. 
 
Dengan berdebar-debar saya bertanya : Di manakah makam rasulullah saw?. Ini dia, jawab beliau perlahan sambil menunjukkan kedudukan makam tersebut dengan tangannya. Kelihatan airmatanya mula mengalir tetapi segera disapunya. Makam nabi saw terletak di hadapan makam dua orang sahabatnya.

Saya bertanya lagi; Yang mana satukah kubur datuk Abu Bakar? Itu dia, jawab beliau lagi. Abu Bakar dikebumikan di sebelah bahagian kepala rasulullah saw.

Inikah makam Umar? Saya bertanya inginkan kepastian. Beliau mengiyakan dan menjawab : Ya. Bahagian kepala makam Umar terletak di bahagian pinggang datuk saya dan berhampiran dengan bahagian kaki nabi saw.

Wallahu a’alam.

( 37 Kisah Kehidupan Tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

No comments:

Post a Comment