Saya percaya musibah yang berlaku
ada hikmahnya untuk pasangan suami isteri terutama mereka yang masih
muda.Kecekalan dan ketabahan menghadapi situasi berat ini sedikit sebanyak
mematangkan mereka untuk lebih menghargai erti perkahwinan.Begitulah yang
berlaku dalam rumah tangga anak dan menantu saya baru-baru ini - diuji dengan
pemergian mengejut bayi mereka Dalila Hayfa Mohd Dafrizal Shah yang baru
berusia 3 bulan disyaki tersedak susu di sebuah taska yang menjadi tempat
persinggahan sementaranya.
Semuanya adalah takdir Allah
untuk hambaNya yang Dia tahu mampu menggalas ujian tersebut dengan reda dan
sabar.Ketika catatan ini tersiar, genap 15 hari cucu saya Dalila Hayfa kembali
ke rahmatullah. Al-Fatihah!Sejak peristiwa tragis itu, rumah anak menantu saya
menjadi sepi... tidak ada yang bersuara kecuali perlu. Mood untuk
berbual langsung tidak ada.Anak sulung mereka, Delisha dan arwah Dalila adalah
penyeri hidup kami sekeluarga juga besan saya.
Sampai saat ini, kami sekeluarga
sedang sedih. Tidak tahu sampai bila, berkumpul beramai-ramai tidak semeriah
seperti sebelum ini, dan tidak ada ayat yang terkeluar untuk memulakan
bicara.Sekejap yang itu menangis, sekejap di situ teresak-esak, pendek kata
suasana masih suram dan sayu sebab di mana-mana, wajah Dalila Hayfa yang comel
sentiasa ada.
"Kita kemas apa yang patut pa, katil, barang adik dan pakaiannya. Ma
tak sanggup nak tengok semua itu,'' terdengar suara sebak menantu saya berbisik
kepada suaminya.Air mata saya menitis mendengar kata-kata itu, memang betul,
jika dilihat semua barang milik si comel itu, bukan sedih saja yang terasa,
malah sepertinya dia masih ada bersama kami.Jika saya boleh sedih yang teramat
sangat, apatah lagi ibu yang mengandung dan melahirkannya.Mana ada ibu bapa
yang sanggup melihat anak menantu dalam keadaan sedih begitu. Bayangkan
anak yang dipinjamkan 92 hari oleh Allah dijemput kembali ke pangkuanNya dalam
keadaan menyayat hati.
Anak saya Mohd Dafrizal Shah seorang yang kuat semangat, agresif dan tidak
pernah tunduk pada cabaran.Sejak zaman sekolah rendah, kemudian menengah hingga
ke IPTA dan setelah bekerja dia jarang meminta bantuan saya dalam apa juga
perkara kecuali pandangan dan nasihat. Semua dilakukan sendiri. Dia
seorang yang berdikari.Namun, perancangan Allah untuk anak saya itu tidak
pernah terduga. Dia kalah dengan tragedi 3 November 2012 yang memisahkan dia
dan isteri dengan bayi kedua mereka buat selama-lamanya.
Anak saya separuh pengsan di
bilik rawatan kecemasan setelah dimaklumkan bayinya Dalila sudah tidak bernyawa
lagi.Lalu teringat saya dalam panggilan telefonnya kepada saya beberapa jam
sebelum itu dia berkata, 'baliklah mak...Dalila koma ni, tak tau depa buat apa
kat taska.''
Ketika saya tiba di perkarangan
Hospital Tawakal dari Kuala Terengganu dia meluru ke arah saya dengan
terhoyong-hayang sambil mendepakan tangan dan merangkul tubuh saya dengan
kata-kata, 'Dalila dah tak dak mak! Dalila dah tak dak! Tak tau depa buat apa
kat dia!.''
Berulang kali dia mengulangi kata-kata
itu dengan esakan tanpa henti. Hingga saat ini raungan itu masih
terngiang-ngiang di telinga saya.Saya seperti tidak berpijak di bumi nyata.
Seluruh tubuh menggigil. Tapi saya tahu, saya perlu kuat untuk menangani
keadaan ini supaya anak dan menantu saya juga kuat.Lama saya memeluknya,
mencium pipinya dan berkata,"adik jangan menangis, adik perlu reda dengan
ketentuan Allah. Mak ada untuk adik. Sabar banyak-banyak.''
Air matanya saat itu bagaikan
empangan pecah... mengalir laju membasahi kedua-dua pipinya.Dia memegang tangan
saya dan membawa saya ke bilik kecemasan di mana jenazah Dalila diletakkan.Di
atas katil terbujur kaku tubuh cucu comel saya, Dalila Hayfa. Saya beristigfar
beberapa kali untuk mengumpul kekuatan sebelum mengucup wajah comel itu. Air
mata yang mengalir deras saya sapu. Kemudian memeluk menantu saya Haidah yang
sudah bengkak matanya kerana menangis.Haidah juga juga seorang yang kuat. Di
sebalik sifatnya yang pendiam, dia seorang wanita, isteri dan ibu yang baik dan
sempurna di mata saya sebagai mentua.
Alhamdulillah, saya tiba tepat
pada masanya doktor membenarkan arwah dibawa pulang. Bersaksikan kakak saya
Hayati dan ibu saudara yang saya panggil Mak Lang, saya mengendong Dalila ke
kereta yang dipandu adik saya Zahir lalu bergerak meninggalkan
hospital.Sepanjang perjalanan saya mendakap erat tubuh arwah yang saya lihat
seperti sedang tidur lena...Ya Allah, jika inilah ujian untuk kami, kami reda
Ya Allah...kami reda melepaskan arwah kepadaMu.
Dalam sekelip mata kebahagiaan
dan kegembiraan anak menantu saya diragut. Bayangkanlah, pagi Dalila dihantar
dalam keadaan sihat, segar bugar dan masih tersenyum kala diagah, petangnya
apabila diambil, tubuhnya sudah kebiru-biruan.
Kata doktor, Dalila sudah tidak
bernyawa dua jam sebelum dia dijemput oleh ibunya untuk dibawa pulang pada
pukul 5.20 petang. Apa yang sebenarnya terjadi? Hanya Allah yang tahu!
Kakak arwah, Delisha Hafiya,
setahun 9 bulan juga tidak sempat bermesra dengan adiknya. Cucu pertama saya
itu apabila balik ke rumah, tercari-cari adiknya di semua tempat yang pernah
dia dan adiknya bersenda.Selalunya Delisha yang paling sibuk mencium adiknya
yang terbaring di atas tilam atau car seat setiap kali papa dan mamanya
menghantar mereka ke taska. Kini semua itu sudah tiada lagi. Delisha sudah
kehilangan Dalila.
Saat dimandikan, Haidah dan anak
saya tidak dapat mengawal perasaan mereka. Tapi saya bangga mereka punya
kekuatan untuk memandikan sekujur tubuh kecil itu di ribaan Haidah dalam
suasana yang saya tidak mampu ungkapkan dengan kata-kata.Hanya Allah yang tahu
saat itu. "ini kali akhir mama mandikan adik....lepas ini dah tak ada
dah... ma reda adik.. baliklah! Tunggu ma datang ke sana !''
Ya Allah, sesak nafas saya
mendengar kata-kata itu - Saya tidak mampu lagi melihat muka menantu dan anak
saya dalam keadaan yang cukup sedih itu sebab saya juga sudah hampir hilang
kekuatan kerana terlampau sebak.Apa yang berlaku di depan mata tidak boleh
dilupakan dalam sesaat dua.. ia bakal mengambil masa yang lama. Sesiapa yang
pernah melalui kesedihan seperti ini pasti faham.
Alhamdulillah, syukur kepada
Allah kerana memudahkan segala urusan. Jenazah Dalila Hayfa sempurna dimandi,
dikafankan di Surau Al-Hidayah, AU3, Ampang Hulu Kelang dan disemadikan di
Tanah Perkuburan AU5, Lembah Keramat.Saya tahu anak dan menantu saya sedih.
Malah saudara mara yang datang dari jauh dan dekat juga amat sedih.Tapi saya
yakin mereka akan bangkit dan menerima semua ini sebagai ujian yang amat
berharga daripada Allah SWT.
Seperti yang saya katakan di awal
catatan ini, saya berdoa dan berharap agar tragedi menyayat hati ini akan
mengeratkan hubungan dan kasih sayang anak dan menantu saya.
Malah ia akan menjadikan mereka
lebih menghargai erti perkahwinan yang masih muda usianya.Setiap orang diuji
Allah, pemisahnya kecil atau besar, ringan atau berat, juga pahit atau manis.
Buat Dafrizal dan Haidah, mak tahu kalian berdua cukup kuat untuk menerima
ujian Allah ini.
Jangan sia-siakan hidup yang masih panjang. Ingatlah, Delisha
perlukan kalian berdua. Setiap pemberian yang Allah ambil balik, Dia akan
gantikan dengan yang lebih baik. Mak doakan semoga Allah menghadiahkan zuriat
yang terbaik untuk kalian berdua pada masa mendatang.Jangan lupa berdoa untuk
arwah - jangan pernah lupa yang dia pernah mengisi kebahagiaan kalian berdua
walaupun seketika cuma.
Mak, abah, abang, adik-adik dan
saudara mara juga terasa kehilangan. Lepaskan Dalila dengan tenang dan penuh
keimanan. Jangan berdendam. Walau kita tidak tahu sebab dan puncanya, Allah
melihat apa yang berlaku. Satu hari kebenaran tentang kecuaian manusia ini akan
dapat diatasi.
Anak-anakku, pesanan mak lagi,
sematkan di hati dengan keimanan dan takwa bahawa arwah sudah menjadi penghuni
syurga dan di sana
dia menanti kalian berdua!
Al-Fatihah. Salam
utusan.com.my
17 Nov 2012
No comments:
Post a Comment