Thursday, November 22, 2012

Berkumpul dengan kelompok rakan seusia


Pada kebiasaannya, pertemuan rakan sebaya dipenuhi dengan perdebatan, keinginan untuk menjadi yang paling menonjol, hasrat mempamerkan ilmu dan keahlian yang dimiliki serta keinginan untuk membantah dan menjatuhkan rakan yang lain.Ini kerana seseorang akan merasa iri hati dan tidak suka terhadap rakan sebayanya yang mampu mengungguli dan mempunyai kebolehan yang lebih berbanding dirinya. Perkara tersebut disebabkan hati telah dijangkiti oleh penyakit iri hati dan sombong.

Kamu jarang bertemu dengan seseorang yang mempunyai sikap tawaduk di hadapan rakan sebaya dan mahu belajar daripadanya. Ramai rakan sebaya kamu yang tidak suka jika kamu pandai, mampu bercakap dengan benar dan baik.

Bahkan di antara mereka ada yang merasa gembira jika kamu tersilap cakap tentang sesuatu perkara dengan mereka. Mereka akan sentiasa menyebut dan mengingat kesalahan kamu tersebut.  Mereka dengan cepat akan menyalahkan kamu dan terus mencuba untuk membenarkan kesilapan kamu tersebut. Di antara mereka juga ada yang wajahnya berubah menjadi tidak senang tatkala kamu mampu untuk menjelaskan suatu masalah dengan benar dan baik.

Oleh itu, barang siapa yang sedang berkumpul di dalam sebuah majlis bersama rakan-rakan sebaya, maka hendaklah ia memilih untuk banyak diam, tawaduk dan kerap senyum hingga pertemuan itu selesai. Tidak perlu dirinya memilih untuk banyak bercakap, kerana majlis ada tiga macam.

Pertama, majlis pertemuan bersama orang yang lebih pandai dari kamu. Pada saat kamu berada di dalam majlis ini, maka yang perlu kamu lakukan adalah belajar daripadanya. Kedua, majlis pertemuan bersama-sama orang-orang awam, di mana mereka patut belajar dan mengambil sesuatu yang bermanfaat daripada kamu.

Ketiga, majlis peremuan bersama-sama rakan-rakan sebaya. Apabila kamu berada di dalam majlis yang ketiga ini, maka kamu dituntut untuk tidak terlalu bersemangat dalam menyampaikan dan mempamerkan keilmuan yang kamu miliki kepada mereka, kerana apabila kamu berusaha untuk menyampaikan keilmuan kamu kepada mereka, maka perkara tersebut sama dengan kamu berusaha untuk membangunkan singa kedengkian dari tidurnya.

Tetapi kamu dikehendaki banyak diam dan tenang sehinggalah majlis tersebut selesai. Kamu tidak perlu untuk kerap berada dalam majlis ini, kerana majlis tersebut lazim dengan perasaan sombong, merasa lebih pandai, angkuh dan iri hati yang hinggap di dalam diri para penuntut ilmu. Hanya Allah swt Zat yang berhak untuk dipanjatkan pertolongan.

Wallaahu a’lam.

( Pengalaman adalah guru terbaik; Dr ’Aidh Abdullah Al-Qarni )

Ya Allah, sebagaimana Engkau memuliakan dahi-dahi kami dengan bersujud kepada-Mu, maka janganlah Engkau hinakan dahi-dahi kami tersebut dengan sikap tunduk kepada selain-Mu. Ya Allah, sebagaimana Engkau membahagiakan jiwa-jiwa kami dengan mencintai-Mu, maka janganlah Engkau buatkan jiwa-jiwa kami tersebut merana dengan mencintai selain-Mu.

Ya Allah, sebagaimana Engkau muliakan tangan-tangan kami dengan menadah dan meminta kepada-Mu, maka janganlah Engkau hinakan tangan-tangan kami tersebut dengan meminta kepada orang lain.

Sesungguhnya Engkau ya Allah adalah Zat Yang Maha Kuat, Maha Perkasa, Maha Mulia, Maha Kaya dan Maha Memberi. Ameen.

No comments:

Post a Comment