Tidak berapa lama kemudian. Al-Samah bin Malik al-Khaulaani berhasrat untuk
melancarkan serangan ke atas seluruh Perancis dan mahu meletakkan Perancis di
bawah naungan negara besar Islam.
Dia berhasrat menjadikan Perancis sebagai laluan untuk menakluk
negeri-negeri Balkan. Penaklukan Balkan akan membuka jalan kepada
Konstantinopal dan seterusnya merealisasikan janji Rasulullah saw. Langkah
pertama untuk memenuhi cita-cita agung ini bergantung kepada kejayaan menakluk
Kota Narbonne. Ia adalah kota terbesar di Perancis yang paling hampir dengan
Andalus. Setiap kali tentera-tentera Islam turun dari Gunung Pyrenees, mereka
terpaksa berhadapan dengan halangan besar ini. Selain itu, kota ini juga merupakan pintu masuk ke
Perancis. Ia menjadi tumpuan sesiapa sahaja yang ingin menakluk Perancis.
Al-Samah bin Malik al-Khaulaani mula mengepung kota Narbonne. Dia
kemudiannya menawarkan kepada penduduk Narbonne supaya memeluk Islam atau
membayar jizyah. Namun mereka enggan menerima kedua-dua tawaran tersebut.
Maka, berlakulah serangan demi serangan ke atas kota tersebut. Tentera
Islam menggunakan manjanik (sejenis senjata yang melontarkan batu) hinggalah kota yang kukuh ini jatuh ke tangan Islam.
Selepas empat minggu jihad dilancarkan, kota ini akhirnya jatuh ke tangan
tentera Islam. Jihad yag dilancarkan ke atas kota ini adalah jihad yang paling
hebat pernah disaksikan oleh Eropah.
Selepas memperoleh kemenangan ini, panglima agung ini mara bersama
tenteranya yang besar ke arah kota Toulouse, ibu kota Aquitania. Dia
melancarkan manjanik ke arah kota ini dari segenap penjuru. Dalam serangan ini
dia menggunakan senjata yang tidak pernah dilihat oleh masyarakat Eropah.
Serangan yang hebat ini hampir menyebakan kota yang kukuh ini runtuh.
Walau bagaimanapun, berlaku suatu peristiwa di luar jangkaan. Biarlah kita
ambil kata-kata seorang orientalis Perancis Renault untuk menceritakan kisah
peperangan ini :
Ketika kemenangan hampir-hampir memihak kepada tentera Islam, Duke
Aquitania memerintahkan seluruh rakyat
dan hamba negerinya untuk turut sama berperang. Dia juga menghantar utusan ke
segenap penjuru Eropah memberitahu seluruh raja dan pemerintah di Eropah akan
ancaman yang mereka hadapi. Negeri mereka hampir jatuh ke tangan musuh dan anak
isteri mereka bakal menjadi tawanan umat Islam.
Akhirnya seluruh Eropah menyahut seruan ini dan turut sama menghantar
barisan tentera mereka yang terkuat dan teramai dalam sejarah Eropah. Jumlah
tentera yang begitu besar ini belum pernah disaksikan oleh dunia. Malah gerakan
tentera ini menyebabkan debu yang berterbangan ke udara menutup cahaya matahari
di kota Rhone.
Apabila kedua-dua pihak berhadapan antara satu sama lain mereka kelihatan
ibarat gunung bertemu gunung. Akhirnya berlakulah satu peperangan sengit yang
tiada tandingannya dalam sejarah manusia.
Al-Samah yang digelar sebagai Zaama, sentiasa berada di setiap tempat di
hadapan tenteranya. Dia memacu kudanya di hadapan angkatan tenteranya di semua
arah. Ketika inilah secara tiba-tiba al-Samah terkena panah lalu rebah dari
kudanya. Melihat panglima mereka terbujur kaku di bumi, umat Islam mula patah
semangat dan barisan serangan mereka mula goyah.
Keadaan kelam-kabut ini sepatutnya memberi kesempatan kepada angkatan
tentera kami untuk memusnahkan mereka sama sekali. Namun perlindungan Tuhan memelihara mereka melalui penampilan
seorang panglima yang bijaksana. Orang yang bakal dikenali oleh Eropah selepas
ini iaitu Abdul Rahman al-Ghafiqi ( Putera Andalus atau Pahlawan Medan Balat al-Shuhada' ).
Abdul Rahman mengetuai misi pengunduran tentera dengan meminimumkan
kerugian di pihak mereka hingga mereka berjaya kembali ke Sepanyol. Walau
bagaimanapun, dia berazam untuk melancarkan serangan sekali lagi terhadap
kita.
Wallahu a’alam.
( 37 Kisah kehidupan Tabi’in; Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha 2003)
No comments:
Post a Comment