Friday, November 16, 2012

Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar ( 4 )


Al-Qasim bin Muhammad memiliki sifat-sifat yang tidak jauh berbeza daripada datuknya Abu Bakar al-Siddiq ra. Malah ada yang berkata : Tiada seorangpun anak-anak Abu Bakar yang menyerupai Abu Bakar seperti anak muda ini.

Al-Qasim  memiliki sifat-sifat ketinggian akhlak dan keperibadian Abu Bakar. Beliau juga memiliki keteguhan iman, kewarakan, mudah bertolak ansur dan pemurah. Terdapat banyak riwayat yang menceritakan kata-kata dan tindakannya yang menunjukkan sifat-sifat ini. Antaranya suatu ketika, seorang Arab dari pendalaman datang ke mesjid dan bertanya kepsdanya : Siapakah yang lebih berilmu, engkau atau Salim bin Abdullah?

Al-Qasim tidak menghiraukan soalan itu. Lalu lelaki tadi bertanya lagi. Dia menjawab : Maha Suci Allah... Lelaki tadi mengulangi soalannya lagi. Dia pun membalas : Di sana itu Salim bin Abdullah, wahai anakku...

Orang yang hadir di situ berkata : Alangkah hebatnya, beliau tidak mahu berkata : Saya lebih berilmu daripadanya, kerana itu bermakna dia memuji dirinya sendiri dan beliau tidak mahu berkata, dia lebih berilmu daripada saya, kerana itu bermakna beliau menipu. Beliau sebenarnya lebih berilmu daripada Salim.

Suatu ketika, beliau berada di Mina. Ketika itu, para jemaah haji dari seluruh wilayah sedang mengerumuninya untuk bertanya soalan. Beliau menjawab setiap soalan yang diketahui jawapan dan bagi soalan yang tidak diketahui jawapannya, beliau berkata : Saya tidak tahu...Saya tidak tahu...Saya tidak tahu....

Jawapannya ini memeranjatkan mereka. Namun beliau berkata : Tidak semua yang kamu tanya itu saya tahu. Jika saya tahu, sudah tentu saya tdak akan menyembunyikannya. Malah tidak seharusnya saya menyembunyikannya. Hidup dalam keadaan jahil adalah lebih baik bagi seseorang (setelah mengenali hak Allah) daripada dia bercakap apa yang tidak diketahuinya.

Pada suatu ketika, beliau diamanahkan mengagihkan zakat kepada mereka yang berkelayakan. Jadi beliau memberikan setiap yang berhak mengikut ijtihadnya. Cuma ada seorang di kalangan mereka tidakk berpuas hati dengan bahagian yang diterimanya. Lalu orang ini datang ke mesjid ketika al-Qasim sedang mendirikan sembahyang. Orang ini terus mempertikaikan bahagian zakatnya.

Ketika itu, anak al-Qasim membalas : Demi Allah, kamu mempertikaikan seorang yang tidak menyentuh sedikitpun zakat kamu walau sedirham malah walau seperenam dirham. Malah sebiji tamar pun tidak usik.

Mendengar suara lelaki tadi, al-Qasim mempercepat sembahyangnya dan kemudian berpesan kepada anaknya : Wahai anakku, lain kali jangan engkau berkata perkara yang tidak engkau ketahui.

Walau bagaimanapun orang ramai berkata : Apa yag dikatakan oleh anaknya itu benar. Namun beliau mahu mendidik anaknya supaya menjaga mulutnya agar tidak terlalu banyak bercakap.

Al-Qasim bin Muhammad hidup sehingga berusia melebihi 72 tahun. Ketika usianya semakin lanjut matanya mula kabur. Pada tahun-tahun akhir hayatnya, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji. Ketika dalam perjalanan ini, beliau menemui ajalnya.

Sebelum menemui ajalnya, beliau berpesan kepada anakandanya : Apabila ayah mati, kafankan ayah dengan pakaian yang selalu ayah pakai untuk sembahyang. Baju ayah, kain ayah dan selubung ayah. Itulah kain kafan datukmu, Abu Bakar. Selepas itu, masukkan ayah dalam liang lahad dan teruslah pulang ke keluargamu. Jangan sekali-kali kamu berdiri di kubur ayah dan kamu katakan. Dahulu ayah saya....Dahulu ayah saya...sedangkan ayah tidak memiliki apa-apapun.....

Wallahu a’alam.

( 37 Kisah Kehidupan Tabi’in; Dr Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )

No comments:

Post a Comment