Sunday, November 11, 2012

Putera Andalus 6


Selama dua tahun Abdul Rahman al-Ghafiqi membuat persiapan untuk melancarkan serangan besar-besaran. Beliau membentuk pasukan-pasukan tentera dan melatih para tentera. Beliau juga berusaha menaikkan semangat dan menghidupkan hati para tentera. Beliau turut memohon bantuan daripada gabenor di Afrika yang kemudiannya telah menghantar bantuan tentera yang terdiri daripada mereka yang cintakan jihad dan bercita-cita besar untuk mati syahid.

Setelah itu beliau menghantar utusan kepada Uthman bin Abu Nus’ah, pemerintah di barisan hadapan tentera Islam supaya melancarkan serangan secara berterusan ke atas musuh sementara menunggu kedatangannya bersama angkatan tenteranya.

Malangnya, Uthman bukanlah seorang yang berjiwa tinggi. Apabila dia melakuka suatu perkara yang hebat dia akan mencanangkannya ke seluruh manusia dan menyembunyikan jasa yang dimainkan oleh orang lain. Tambahan pula, dalam salah satu peperangan yang dimenanginya menentang Perancis, dia telah berjaya menawan anak perempuan Duke Aquitania yang bernama Minin. Seorang gadis yang jelita dan berasal daripada keluarga diraja yang dihormati. Kejelitaan gadis ini memikat hati Uthman hingga seluruh hatinya terpaut pada gadis ini. Gadis ini mendapat layanan istimewa lebih daripada seorang isteri.

Gadis ini berjaya mempengaruhi Uthman supaya berdamai dengan bapanya dan membuat perjanjian  yang menjamin bahawa wilayahnya yang terletak bersempadan dengan Andalus akan terselamat daripada sebarang serangan tentera Islam.

Apabila arahan Abdul Rahman al-Ghafiqi supaya dia melancarkan serangan ke atas wilayah bapa mertuanya, Duke Aquitania sampai ke tangannnya, dia terduduk. Gelisah tidak tahu apa yang patut dilakukannya.

Namun dengan segera dia mengutus surat kepada al-Ghafiqi meminta supaya beliau menarik semula arahannya. Katanya beliau tidak dapat melanggar perjanjian yang ditandantangani dengan Duke Aquitania sebelum tamat tempohnya. Alasan Uthman ini menimbulkan kemarahan Abdul Rahman al-Ghafiqi. Beliau membalas :

Sebarang perjanjian yang ditandatangani dengan Frank tanpa pengetahuan gabenor adalah tidak diterima pakai dan tidak terpakai pada tentera Islam. Engkau perlu laksanakan segera arahan saya tanpa berlengah-lengah atau bertangguh.

Setelah gagal memujuk gabenor membatalkan hasratnya Uthman bin Abu Nus’ah menghantar utusan kepada bapa mertuanya memberitahu perkara yang berlaku. Uthman meminta bapa mertuanya supaya bersiap sedia.

Walau bagaimanapun, pengintip Abdul Rahman al-Ghafiqi telah mengintip setiap gerakan Uthman bin Abu Mus’ah. Hubungan Uthman dengan musuh ini telah disampaikan kepada gabenar.

Al-Ghafiqi mengambil langkah segera dengan membentuk sebuah pasukan khas terdiri daripada tentera yang gagah perkasa. Pasukan ini diketuai oleh seorang yang berpengalaman lama dalam jihad. Al-Ghafiqi mengarahkan mereka supaya menangkap Uthman bin Abu Nus’ah, hidup atau mati.

Pasukan ini kemudiannya menyelinap masuk ke markas tentera Uthman bin Abu Nus’ah dan hampir berjaya menangkapnya. Walau bagaimanapun, Uthman menyedari serangan tersebut dan berjaya melarikan diri. Dia melarikan diri ke kawasan gunung dengan diiringi oleh para pengikutnya bersama-sama isteri jelitanya, Minin yang tidak pernah berpisah dengannya dan sentiasa di sampingnya.

Pasukan yang dihantar oleh al-Ghafiqi tadi terus mengejar dan akhirnya berjaya mengepung Uthman. Uthman berjuang bermati-matian mempertahankan dirinya dan isterinya hingga dia gugur ke bumi. Terbujur kaku dengan kecederaan yang tidak terhingga.

Pasukan tentera ini memenggal kepalanya dan kemudian menghantarnya berserta isterinya kepada Abdul Rahman al-Ghafiqi.Isteri Uthman dihadapkan ke hadapan Abdul Rahman. Sebaik sahaja melihat kejelitaan wanita ini, beliau memejamkan mata dan mengalihkan mukanya.

Kemudian beliau menghantar wanita ini sebagai hadiah kepada istana khalifah. Wanita Perancis ini terpaksa menghabiskan sisa hidupnya di istana khalifah Umayyah di Damsyik.

Wallahu a’alam.

 ( 37 Kisah kehidupan Tabi’in; Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha 2003)

No comments:

Post a Comment