Pelbagai kisah yang menarik berlaku antara Raja’ bin Haiwah dengan para
khalifah Bani Umayyah yang sehingga kini masih terukir dalam lipatan sejarah.
Kisah-kisah ini telah menjadi sebutan generasi ke generasi.
Suatu hari, ketika berada dalam majlis Abdul Malik bin Marwan, khalifah
diberitahu tentang seseorang yang mempunyai niat yang jahat terhadap kerajaan
Bani Umayyah. Baginda diberitahu bahawa orang ini adalah pengikut dan penyokong
Ibnu al-Zubair. Penasihat khalifah kemudiannya menyebut perbuatan dan kata-kata
orang ini hingga membangkitkan kemarahan khalifah.
Demi Allah, dengan izin
Allah jika saya berjaya menangkapnya, nescaya saya akan hukum dia. Saya akan
hukum dia dan saya akan hayunkan pedang ke lehernya, kata khalifah dengan marahnya.
Tidak berapa lama kemudian, dengan izin Allah, lelaki tersebut berjaya
ditangkap dan dihadapkan ke hadapan khalifah. Sebaik sahaja khalifah melihat
lelaki ini, kemarahannya meluap-luap dan baginda menjadi begitu bersedia untuk
melaksanakan apa yang dikatakan dahulu.
Walau bagaimanapun, tiba-tiba Raja’ bin Haiwah bangun dan berkata : Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah
Azza wa Jalla telah memberikan engkau kuasa seperti mana yang engkau inginkan
sekarang. Balaslah pemberian Allah itu dengan memberikan kemaafan seperti mana
yang Allah mahukan.
Khalifah pun terdiam mendengar kata-kata Raja’ dan kemarahannya pun reda.
Baginda kemudiannya memaafkan lelaki tadi dan membebaskannya serta
memberikannya layanan yang baik.
Wallaahu a’lam.
( 37 kisah kehidupan tabi’in; Dr
Abdul Rahman Ra’fat al-Basha )
No comments:
Post a Comment