Wednesday, November 7, 2012

Thawus Al-Yamani dan khalifah


Suatu hari, Hisyam bin ‘Abdul Malik khalifah bani Umayyah telah memanggil Thawus Al-Yamani agar datang ke majlisnya. Assalamu ‘alaikum, ya Hisyam, kata Thawus seraya duduk di samping Hisyam dan  bertanya : Bagaimana keadaan engkau, hai Hisyam. Bangkitlah marah Hisyam melihat sikap Thawus ini, sampai dia berniat hendak membunuhnya.

Hisyam berkata : Hai Thawus!. Apakah yang mendorong engkau melakukan perbuatan serupa ini?. Thawus menjawab : Apakah yang saya perbuat?. Amarah Hisyam bertambah. Dia berkata : Engkau buka terompahmu di tepi tikarku, engkau tidak mencium tanganku, engkau tidak memberi salam kepadaku dengan panggilan Amirul Mu’minin, tidak engkau panggilkan aku dengan gelaranku, engkau duduk sahaja di sampingku dengan tidak izinku dan engkau mengucapkan: Bagaimana keadaan engkau, hai Hisyam?

Thawus menjawab : Adapun perbuatanku meletakkan terompahku di tepi tikar engkau, kerana saya biasa meletakkan keduanya di hadapan Tuhan Rabbul 'Izzati, lima kali setiap hari. Dan saya tidak mencium tangan engkau, kerana saya mendengar Ali bin Abi Talib berkata : Tidak halal bagi seorang lelaki mencium tangan siapapun, melainkan isterinya kerana cinta atau anaknya kerana sayang. Sebab itu saya tidak memberi salam dengan menyebut Amirul Mu’minin, kerana tidak semua orang merasa senang dengan jabatan (jawatan) engkau ini dan saya tidak suka berdusta. Sebabnya saya duduk di sebelah engkau sebelum dipersilakan, kerana saya mendengar Amirul Mu’minin Ali bin Abi Talib berkata : Apabila engkau hendak melihat seorang lelaki dari isi neraka, lihatlah seorang lelaki yang duduk dan dikelilingnya orang ramai berdiri.

Kemudian Hisyam berkata: Berilah aku pengajaran!. Thawus menjawab : Saya mendengar dari Amirul Mu’minin Ali Radiyallahu ’anha bahawa dalam neraka jahannam ada beberapa ular sebesar girbah (karung air) dan kala sebesar keldai, menyengat setiap pembesar yang tidak berlaku adil kepada rakyatnya.

Sesudah itu, Thawus pun berdiri dan pergi.

Wallahu a’alam.

( Iman dan kehidupan; Dr. Yusuf Al-Qaradawi )

 Ya Allah! Aku mengadukan kepada Engkau kelemahan, kekuatan dan kekurangan tipudayaku serta kelemahanku menghadapi orang ramai. Ya Tuhan, yang Maha Penyayang! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Ameen.

No comments:

Post a Comment