Tuesday, February 5, 2013

Penentangan Quraisy terhadap nabi Muhammad saw


Sebab-sebab :

1. Ingin mengekalkan kuasa dan pengaruh. Sebelum ini kepimpinan kota Makkah terletak di tangan Hasyim, moyang nabi Muhammad saw dan Abd al-Muttalib. Setelah itu berpindah ke tangan Abu Talib, bapa saudara baginda. Besar kemungkinan kepimpinan itu akan diwarisi oleh nabi Muhammad saw kerana keupayaannya yang luar biasa itu. Jika mereka memeluk Islam dan mengikut baginda bermakna kepimpinan itu akan terus berada di tangan bani Hasyim.

2. Oleh sebab persamaan taraf, agama Islam yang disampaikan nabi Muhammad saw ialah agama tauhid yang menyeru kepada keadilan sosial dan persamaan taraf sesama manusia. Hal ini sangat bertentangan dengan sistem sosial Jahiliyah yang masih dikuasai oleh kaum bangsawan, kaum Quraisy. Mereka ini masih berpegang dengan taraf dan kedudukan sosial yang berbeza. Dengan terlaksananya ajaran Islam, maka bermakna tidak ada lagi perbezaan antara ketua dengan pengikut, antara yang kaya dengan miskin dan antara tuan dengan hamba; semua manusia pada pandangan Islam adalah sama sahaja kecuali bagi orang yang bertakwa.

3. Oleh  sebab mahu mempertahankan pusaka nenek moyang. Hal ini banyak persamaannya dengan sebab pertama dan kedua. Namun, unsur pusaka ini mempunyai implikasi yang luas dan mendalam, bukan sahaja melibatkan taraf sosial dan politif, tetapi juga yang berkaitan dengan taraf ekonomi kerana orang Quraisy mengamalkan penjualan patung atau berhala. Andainya mereka memeluk Islam, maka sudah tentulah punca  rezeki daripada menjual berhala dan patung akan hilang kerana Islam tidak membenarkan pembuatan patung berhala dan menjualnya. Amalan membuat dan menjual patung pula merupakan warisan nenek moyang mereka. Dengan sebab itu mereka begitu sensitif apabila nabi Muhammad saw mencela agama berhala mereka.

4. Oleh sebab takut akan hari pembalasan. Islam mengajar manusia tentang hari pembalasan atau hari kiamat dan wajib percaya kepadanya dan ia merupakan satu daripada Rukun Iman. Segala amalan di dunia sama ada baik atau jahat akan dikira pada hari pembalasan dengan saksama. Berita hari kiamat telah menakutkan kaum Quraisy Makkah  kerana mereka sedar bahawa mereka terlalu banyak melakukan perkara keji yang ditegah oleh agama Islam seperti mencuri, merompak, berzina, minum arak dan mengamalkan riba. Perbuatan-perbuatan ini akan dibalas dengan seksaan api neraka. Akan tetapi mengikut agama berhala segala dosa itu dapat dihapuskan menerusi pengorbanan terhadap berhala. Cara seperti ini sudah tentu lebih mudah bagi mereka melakukan kejahatan kerana ia dapat dihapuskan di dunia juga tanpa menerima apa-apa balasan di hari akhirat kelak.

5. Oleh sebab perasaan iri hati. Mereka menentang nabi Muhammad saw dan Islam kerana perasaan iri hati kedudukan nabi Muhammad saw sebagai seorang nabi dan rasul. Seorang daripada mereka bernama Umayyah b Abi al-Salt pernah mengatakan keinginannya menjadi nabi. Begitu juga al-Walid bin al-Mughirah berasa kecewa apabila mendengar nabi Muhammad saw menerima wahyu lalu berkata : Aku tidak mengerti kenapa wahyu diturunkan kepada nabi Muhammad dan tidak kepada aku walhal aku seorang pembesar dan ketua kaum Quraisy.

Wallaahu a’lam.

Tamadun Islam
Mahayudin b Hj Yahaya

No comments:

Post a Comment