Friday, February 22, 2013

Bahtera


Kehidupanku seumpama bahtera
yang berlabuh di pangkalan hati
yang bertolak sesudah mengangkat budi
dalam nekad hayat akan belayar
membelah lautan dibawa debar
panduannya mentari, bulan dan bintang bersinar
dalam doa kekal menaruh harap
sejahtera pelayaran beroleh rahmat
selamat tiba ke pelabuhan bumi hasrat
akan bersyukur setiap mengecapai nikmat.

Bahteraku pernah kematian angin
layar temayarnya tidak dapat kukembang
bahteramu pernah tersadai di beting air tenang
gagal mencari ruang arah pedoman
sehingga tanah tanjung pun sukar kelihatan

Bahteraku pernah kehabisan bekalan
sudahlah hilang cahaya di muka haluan
hampir karam diserang gelombang
sekeras suatu ketika dipukul ribut taufan
kilat petir yang menggugah perasaan.

Bahteraku pernah sengit diburu musuh
mengancam azam warga agar lemah lusuh
bahkan sesekali usikan taulan sendiri merusuh
memaksa arah kembara bertukar hala
nyaris aku terpedaya

Sudah semakin jauh belayar
aku bertambah yakin
tetap teguh mengekalkan arah bahtera bersaing
tiada kemenangan cita-cita tanpa ujian
bukan sekelip mata tercapai maksud tujuan
dan tidak semua harapan menjadi kenyataan
aku benamkan tidak ada yang tidak berjaya
apabila iman dan tawakal terpancang di dada
asalkan ikhtiarnya sejak mula

A. Aziz Deraman
Kuala Lumpur, 1 Ogos 1994

Bahtera Madani, DBP

No comments:

Post a Comment