Friday, February 15, 2013

Adab merawat, melawat dan pengurusan pesakit nazak ( 3 )


Kelebihan menziarahi orang sakit

Terdapat banyak kelebihan menziarahi orang yang sedang sakit sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith-hadith Nabi saw  antaranya:

1.Sesiapa yang menziarahi orang yang sedang sakit dia memperolehi kelebihan seperti mengutip buahan yang berada di dalam syurga. Ini berdasarkan hadith Nabi saw : Sesungguhnya seorang muslim apabila dia menziarahi saudara muslimnya (yang sakit), sentiasalah dia berada dalam keadaan sedang mengutip buahan di dalam kebun syurga sehinggalah dia pulang.

2.Malaikat berselawat ke atas orang yang menziarahi saudara semuslimnya yang sedang sakit. Perkara ini berdasarkan hadith Nabi saw yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada ‘Ali rhu: Tiada seorang muslim yang menziarahi seorang muslim lain (yang sedang sakit) pada waktu pagi, melainkan 70 ribu malaikat berselawat ke atasnya sehingga ke petang, jika dia menziarahi saudaranya itu pada waktu petang, 70 ribu malaikat akan berselawat ke atasnya sehingga ke subuh, dan untuk dia sebuah kebun di dalam syurga.

3.Memperolehi rahmat daripada Allah swt berdasarkan hadith: Sesiapa yang menziarahi saudaranya yang sedang sakit, dia sentiasa sedang menuju ke dalam rahmat (Allah) sehinggalah dia duduk, apabila dia duduk, dia berada di dalam rahmat tersebut.

4. Malaikat mendoakan kebaikan untuknya berdasarkan hadith: Sesiapa yang menziarahi orang yang sedang sakit atau saudara semuslimnya kerana mengharapkan balasan daripada Allah, ada malaikat yang akan menyeru: semoga kamu memperoleh dan berada dalam kebaikan di dunia dan akhirat, dan kamu telah menempah satu tempat di dalam syurga.

Ini semua berupa sebahagian galakan daripada Nabi saw kepada umat baginda agar kita teruja untuk menghidupkan sunnah menziarahi saudara semuslim kita yang sedang sakit. Sunnah ini bukanlah terhad dalam menziarahi orang sakit yang kita kenali sahaja, bahkan yang disyariatkan juga ialah kita menziarahi orang yang kita kenal mahupun tidak.

Sebahagian ulama mengatakan orang sakit yang wajib diziarahi itu ialah orang yang sakitnya itu menyebabkan dia tidak dapat berjumpa dengan orang lain. Adapun orang sakit yang masih boleh keluar dari rumahnya dan boleh berjumpa dengan orang lain, maka hukum menziarahinya bukanlah suatu kewajipan. Ini menunjukkan samaada orang sakit itu kita kenali ataupun tidak, kita disyariatkan untuk menziarahinya.

Sama halnya jika pesakit itu tidak ada hubungan mahram (ajnabi atau yang boleh berkahwin) dengan kita. Kita tetap dibenarkan untuk menziarahinya dengan kita menjaga tiga syarat di bawah ini:
i. Menutup aurat
ii. Tidak mungkin menimbulkan fitnah
iii. Tidak berduaan dengan pesakit

al-Imam al-Bukhari meletakkan satu bab di dalam sahihnya iaitulah “Bab orang perempuan menziarahi orang lelaki, dan Ummu Darda’ pernah menziarahi seorang lelaki ahli masjid dari golongan Ansar”. Di bawah bab ini al-Imam al-Bukhari meletakkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Urwah, di mana ‘Aisyah ra. berkata: Ketika Rasulullah saw baru sampai di Madinah (dalam peristiwa hijrah), Abu Bakr dan Bilal ra ditimpa sakit. Lalu ‘Aisyah berkata: Aku menziarahi mereka berdua, lalu aku berkata, wahai bapa (Abu Bakr) bagaimana keadaanmu, dan wahai Bilal bagaimana keadaanmu…?”

Hadith ini menunjukkan ‘Aisyah ra menziarahi bapanya dan Bilal yang sedang sakit, sedangkan Bilal bukan mahram kepada ‘Aisyah ra, Namun pada ketika itu Abu Bakar (Bapa ‘Aisyah) ada bersama Bilal.

Imam Muslim pula di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan daripada Anas bin Malik ra. yang menceritakan: Abu Bakr pernah berkata kepada ‘Umar ra. setelah kewafatan Nabi saw.: Mari kita pergi menziarahi Ummu Aiman, sebagaimana baginda dahulunya menziarahi beliau, lalu mereka berdua pergi menziarahi Ummu Aiman.

Hadith ini juga menunjukkan Abu Bakr tidak bersendirian pergi menziarahi Ummu Aiman sebaliknya beliau ditemani oleh Umar ra.

Ibn al-Jauzi berkata: Dan yang utama adalah memahami perkara ini (lelaki menziarahi perempuan ajnabi) bagi sesiapa yang tidak memungkinkan berlakunya fitnah, seperti menziarahi orang yang sudah tua.

Di dalam Sunan Ibn Majah, Anas menyambung ceritanya dengan berkata: Apabila kami sampai kepada Ummu Aiman, tiba-tiba beliau menangis, lalu Abu Bakr dan Umar bertanya kepadanya: Apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Ummu Aiman?, sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu adalah kebaikan untuk RasulNya. Lalu Ummu Aiman menjawab: Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui apa yang ada di sisi Allah itu adalah kebaikan untuk RasulNya, akan tetapi aku menangis kerana wahyu telah berhenti dari diturunkan. Anas berkata: Perkara itu menyebabkan Abu Bakr dan Umar juga menangis bersamanya.

Wallaahu a’lam.

( mufti.perlis.gov.my )

Ya Allah jadikan kami mencintai KalamMu (al-Quran) sama sepertimana cintanya Abu Bakr, Umar dan Ummu Aiman kepada KalamMu.

No comments:

Post a Comment