Saturday, February 23, 2013

Nasihat kepada kaum wanita ( 3 )


Taat dan hormat kepada ibu bapa

Ini selesai nasihat diberi
Dengarlah tuan-tuan muda bestari
Kepada ibu bapa sendiri
Hendaklah tuan takut dan ngeri

Perkataannya jangan siti bantahkan
Hatinya jangan siti sakitkan
Alim ulama sudah mengatakan
Dosanya itu tidak Allah ampunkan

Dengan takdir Khalik’ul-bahri
Kita melihat bulan matahari
Dengan sebab ibu sendiri
Menanggung susah sehari-hari

Penatnya tuan ibu mengandung
Perutnya besar  sebagai dilendung
Tuan pun lahir lalu dibedung
Dinyanyikan pula lagu senandung

Apabila tangisan tuan berbunyi
Ibu pun bangkit lalu menyanyi
Rumah itu tidak kalanya sunyi
Berak kencing sedikit tak genyi
 
Sampai besar kita dipelihara
Sedikit tidak diberi cedera
Berapa susah dengan sengsara
Hingga sampai anaknya dara

Hingga besar dipeliharakan
Satu tidak adinda balaskan
Membuat durhaka sahaja dikerjakan
Api neraka kelak memakan

Tetapi hemat fikiran kekanda
Antara dengan ayahanda dan bonda
Akan membalas tentu tiada
Jangan menderhaka pun memada

Harun Mat Piah
Puisi Melayu Tradisional, DBP 2004

No comments:

Post a Comment