Saturday, February 23, 2013

Nasihat kepada kaum wanita ( 2 )


Memelihara tubuh  badan dan kesihatan

Syahadan lagi hamba perikan
Di dalam demikian badan belakan
Cuci bersih baik gemarkan
Janganlah malas janganlah segan

Kerana membela dirinya kita
Dengan pertengahan juga semata
Masaka pula orang mengata
Sunah kitab pula yang mengata

Setengah muda dikecualinya
Badannya tidak dpedulikannya
Badan berkerak hangit ketiaknya
Hijau kuning tahi giginya

Jangan difikirkan kiranya adinda
Dikata orang tak dapat tiada
Sayang sekali orang muda-muda
Bahunya pedas seperti lada

Janganlah segan membela diri
Bau-bauan tuan gemari
Jikalau sampai empat lima hari
Buanglah kuku segala jari

Hamba lihat setengah muda-mudi
Kukunya panjang ganda berganda
Pisau dan gunting jika tiada
Pinjamlah tuan usul yang syahda

Di dalam demikian hamba berperi
Melampaui adat hamba tak beri
Salin pakaian empat kali sehari
Dibubuh bedak dua tiga jari

Hamba katakan pertengahan juga
Jangan melampau adat dan jangka
Kening diandam habiskan luka
Sumbing dialih kepada muka

Jika demikian af’al kelakuan
Tiadalah gemar fakir yang rawan
Berbedak rajin sangatnya tuan
Muka pucat jadi cendawan.

Harun Mat Piah
Puisi Melayu Tradisional, DBP 2004

No comments:

Post a Comment