Wednesday, February 27, 2013

Aku bisa hanya memohon


Tuhanku
aku bisa hanya memohon
dalam doa dan harap
sekiranya aku menyembahMu kerana mahukan syurgaMu
sekiranya aku menyembahMu kerana takutkan nerakaMu
aku bukanlah lagi aku
aku tidak pun punya milik apa satu
buangkanlah aku bakarkan daku
kerana syurgaMu nerakaMu adalah hakMu.

Tuhanku
aku bisa hanya memohon
dalam ilmu dan iman
asalkan Kau reda terhadapku
asalkan Kau reda denganku
jangan biarkan aku tergelincir jatuh
melukakan kalbu dan tak mungkin sembuh
 jangan biarkan aku tenggelam di lautan syahwat
melemaskan iman dan aku kian parah.

Tuhanku
aku bisa hanya memohon dalam tauhid dan cinta
jadikanlah aku menyembahMu kerana cintaku
jadikanlah kecintaanku padaMU Cuma
tiada apa pun di alam maya
sehingga aku dapat melihatMu saja
taubatlah aku dari kelupaan
yang meluruhkan cintaku yang ada
janganlah haramkan aku dari kenikmatanMu
janganlah haramkan aku dari keindahanMu
janganlah haramkan aku dari kebaikanMu!.

A Aziz Deraman
1 Feb 1986
( Kau dan Aku, DBP )

No comments:

Post a Comment