Adab menziarahi pesakit
1. Mengharapkan ganjaran daripada Allah swt.
2. Niat mencontohi Nabi saw.
3. Berniat berbuat baik kepada saudara semuslim dengan
menziarahinya.
4. Memenuhkan masa menziarahi pesakit dengan perkara-perkara
yang dapat memberi manfaat kepadanya seperti dengan memberi nasihat,
mengingatkannya kepada keperluan bertaubat, beristighfar dan melunaskan hak-hak
orang lain.
5. Membantu menyelesaikan kemusykilan agama yang menjadi
tanda-tanya kepadanya.
6. Mengulangi ziarah: Sebahagian ulama berpandangan tidak
perlu menziarahi seorang yang sedang sakit setiap hari, kerana perbuatan itu
boleh mengganggunya atau memberatkan sipesakit dengan kehadiran kita.
Sebahagian yang lain pula berpandangan perkara ini bergantung kepada seseorang
individu, ini kerana ada sebahagian orang, dengan kehadirannya dapat menggembirakan
pesakit dan pesakit akan berasa terkilan jika dia tidak datang menziarah. Orang
sebegini disunatkan kepadanya untuk mengulangi ziarah selagi kehadirannya
diterima oleh pesakit.
7. Tidak memanjangkan masa ketika menziarahi pesakit: Tidak
sepatutnya berada lama di rumah pesakit, kerana perbuatan ini boleh memberatkan
pesakit dan keluarganya. Tambahan pula pada kebiasaannya ada beberapa keadaan
yang pesakit tidak suka ia diperhatikan melainkan orang orang-orang yang dekat
kepadanya. Maka duduk lama
menziarahi orang sakit akan member kesukaran atau akan menimbulkan rasa tidak
selesa pesakit. Melainkan bagi orang yang diminta oleh pesakit.
8. Waktu ziarah:
Dalam persoalan ini al-Imam Ibn al-Qayyim berkata: Nabi saw tidak pernah mengkhususkan sebarang hari , tidak juga sebarang
waktu untuk menziarahi pesakit, bahkan ia terbuka samada pada waktu malam
mahupun siang tanpa mengira waktu.
Sebahagian ulama
suka menziarahi pesakit ketika awal pagi ataupun di awal petang sebagai
mempraktik dan untuk memperoleh kelebihan yang disebut di dalam hadith
Nabi saw.: Tiada seorang muslim yang
menziarahi seorang muslim lain (yang sedang sakit) pada waktu pagi, melainkan
70 ribu malaikat berselawat ke atasnya sehingga ke petang, jika dia menziarahi
saudaranya itu pada waktu petang, 70 ribu malaikat akan berselawat ke atasnya
sehingga ke subuh, dan untuk dia sebuah kebun di dalam syurga.
Apapun urusan menziarahi pesakit ini bergantung kepada
kesesuaian, asalkan ia tidak membebankan pesakit dan dapat menggembirakannya dengan
kehadiran kita.
9. Doa untuk pesakit: Wajar mendoakan kepada pesakit dengan
doa yang thabit dari Nabi saw ketika menziarahi pesakit:
i. Dengan mengucapkan: Tidak
mengapa, ia (sakit itu) berperanan mensucikan kita dari salah dan silap
insyaallah.
ii. Mendoakan kesembuhan untuk pesakit dengan doa yang
dibaca oleh Nabi saw ketika menziarahi Sa’ad bin Abi Waqqas yang sedang sakit,
baginda meletakkan telapak tangan baginda di atas dahi, dada dan perut Sa’ad,
kemudian membaca: Ya Allah sembuhkan
Sa’ad (3x)
iii. Nabi saw. apabila menziarahi orang sakit, baginda
menyapu tangan kanannya ke atas orang sakit (di tempat sakitnya) sambil berdoa:
Ya Allah, Tuhan kepada manusia,
hilangkanlah kesakitan, sembuhkanlah ia, dan sesungguhnya Engkaulah Maha Penyembuh,
tidak ada penyembuhan melainkan dengan penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak
meninggalkan sebarang kesakitan.
iv. Berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Nabi saw. seperti
hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud: Nabi saw. bersabda: Sesiapa
yang menziarahi seorang pesakit yang belum tiba ajalnya, lalu dia membaca 7
kali di sisi pesakit: Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung,
Tuhan yang menguasai Arasy yang agung untuk menyembuhkan mu melainkan Allah akan menyembuhkannya.
10. Mengingati kurniaan kesihatan yang Allah berikan
kepada kita
(
mufti.perlis.gov.my )
No comments:
Post a Comment