Taat dan setia
kepada suami
Syahadan inilah ayuhai tuan
Syarat bersuami kuberi ketahuan
Jika tak sabar emas tempawan
Akhirnya kelak menjadi lawan
Amalkan tuan saf yang mengerna
Bukannya hikmat ilmu guna
Tetapi diamalkan jadi sempurna
Jika bersuami kiranya siti
Baiklah tuan laku pekerti
Bela pelihara dengan seperti
Daripada hidup sampai ke mati
Dengan suami siti bersetia
Demikianlah adatnya orang yang mulia
Suami jangan tuan pedaya
Beroleh leta akhirat dunia
Jangan ubahkan budi bahasa
Taat dan bakti sentiasa
Hendaklah siti berbuat jasa
Jangan diamalkan haram dan dosa
Hendaklah suami siti hadirkan
Nasi gulainya tuan sediakan
Jangan bersikat tuan asyikkan
Akhirnya suami kurus tak makan
Hal santapan suami tuan
Jangan dibuat tidak ketahuan
Jangan diturut pekerti haiwan
Baginya setengah orang perempuan
Dan lagi ayuhai tuan
Suami itu jangan dilawan
Hormat muliakan dengan maluan
Inilah terutama anak perempuan
Yang demikian bukannya cela
Lihatlah di dalam kitab segala
Jika sempurna adinda membela
Di dalam akhirat dapat pahala
Walaupun ia miskin dan ghari
Janganlah tuan berbanyak peri
Sudah pertemuan Allah memberi
Di lohmahfuz sudah termeterai
Meskipun ia miskin dan papa
Hendaklah hormat siti yang safa
Jangan dipandang kepadanya rupa
Di dalam akhirat semuanya serupa
Siapa lebih amal dan faedah
Ia sangatterlebih indah
Jangan sangat berhati gundah
Baik siti mengikut madah
Hendaklah apa siti syukurlah
Pemberian Allah tuan redakan
Hal kehidupan sahaja fikirkan
Jangan berkelahi tuan gemarkan.
Harun Mat Piah
Puisi Melayu Tradisional,
DBP 2004
No comments:
Post a Comment