Adab merawat
pesakit
1. Wajib
bercakap benar dalam semua keadaan termasuk ketika merawat pesakit.
Allah swt berfirman : Wahai orang-orang
yang beriman bertakwalah kepada Allah dan jadilah kamu bersama orang-orang yang
benar. (al-Taubah:119)
Ayat ini merupakan arahan supaya bercakap benar dan ia adalah suatu
kewajipan, terdapat juga ancaman bagi sesiapa yang tidak bercakap benar seperti
hadis nabi saw :
Hendaklah kamu semua menjadi
orang-orang yang benar, kerana sesungguhnya sikap benar itu membawa kepada
kebaikan, kebaikan itu pula membawa kepada syurga. Sesungguhnya seorang lelaki
yang bercakap benar sehinggalah dia dicatit di sisi Allah sebagai seorang yang
benar. Jauhilah kamu semua dari berbohong, kerana sesungguhnya berbohong itu
akan membawa kepada perbuatan jahat, dan perbuatan jahat itu akan membawa
kepada neraka. Sesungguhnya seorang lelaki yang berbohong sehinggalah di
dicatit di sisi Allah sebagai seorang pembohong. (HR: Muslim)
Bercakap benar kepada pesakit dalam ertikata pesakit dan keluarganya perlu
menerima maklumat dan berita yang benar tentang keadaannya. Sikap benar ini menjadikan pesakit berasa
percaya dan berpuas hati dengan maklumat pihak yang merawatinya.
Al-Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menyebut: Keumuman semua nas-nas ini, merangkumi juga
para doktor dan para pembantunya, mereka dituntut oleh agama untuk bercakap
benar dan memberikan maklumat yang benar tentang keadaan orang sakit dan penyakitnya.
Haram ke atas mereka memberikan maklumat yang bertentangan dengan keadaan
sebenar. (Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah (Hukum-hakam Pembedahan Perubatan),
hal: 312)
Jika demikian keadaannya, bagaimana pula jika mereka berhadapan dengan
situasi di mana sekiranya maklumat benar itu diberikan kepada pesakit ia akan
memburukkan lagi keadaannya? Apakah ketika ini diharuskan bercakap bohong?
Dr. Muhammad bin Muhammad Mukhtar al-Syanqiti berkata: Yang lebih zahir, dan ilmu yang sebenarnya
adalah di sisi Allah, bahawa tidak boleh juga kepada para doktor dan para
pembantunya untuk bercakap bohong kepada pesakit dalam keadaan seumpama ini
kerana perkara-perkara berikut:
i. Keumuman dalil yang mengharamkan bercakap bohong.
ii. Sekiranya pesakit diberikan maklumat yang benar tentang keadaannya, ia
akan menatijahkan beberapa kebaikan, di mana dia dapat meninggalkan wasiat
seterusnya memperoleh pahala dengan bersedia melakukan amalan-amalan soleh
seperti perbanyakkan zikir, sedekah dan seumpamanya dari amalan-amalan baik dan
taqwa. Sebaliknya jika berbohong dan berbuat helah kepadanya akan melupuskan
kebaikan-kebaikan ini kepadanya, dan akan menyebabkan perkara-perkara buruk
yang lain dan terabainya hak orang lain (dengan wasiatnya) yang tidak
sepatutnya berlaku.
iii. Sekiranya doktor bimbang kemerbahayaan kepada pesakit dengan maklumat
yang diberikannya, maka doktor boleh menyampaikan maklumat benar itu kepada
penjaganya dan ahli keluarga yang terdekat, untuk mereka menyampaikan kepadanya
dengan cara yang lebih sesuai. Kerana kebiasaannya ahli keluarga terdekat lebih
mengetahui keadaan pesakit, perkara ini dapat mengelak dari berlaku
kemudharatan yang dijangka kepada pesakit. Namun sekiranya kebimbangan tetap
ada (berlakunya kemudharatan kepada pesakit), maka penjaga dan ahli keluarganya
tidak perlu memberikan maklumat tersebut kepadanya, sebaliknya mereka yang akan
melaksanakan kewajipan pesakit yang telah sampai pada keadaannya, mereka
bertanyakan juga hak-hak yang dipikulnya, dan mereka memberi galakan kepadanya
untuk banyak melakukan perkara-perkara kebaikan. (mudah-mudahan) dengan cara
ini dapat mengelakkan dari kemudharatan lain dan terlaksananya maslahah agama
yang dituntut untuk dilakukan, dalam masa yang sama terpeliharanya hukum asal
agama supaya menjauhi dari berbohong. Wallahu a’lam.
2.Menepati
temu-janji. Wajib menepati temu-janji yang telah ditetapkan dengan
pesakit seperti temu-janji untuk proses pemeriksaan, ujian, analisis dan
temu-janji rawatan yang mesti. Ini kerana kesemua temu-janji ini dianggap mulia
dan perlu dihormati di sisi agama. Nabi saw bersabda: Tanda-tanda munafiq itu ada tiga: apabila bercakap dia berbohong,
apabila berjanji dia memungkirinya dan apabila diberi amanah dia khianati. (HR:
Muslim)
Oleh kerana itu, menepati temu-janji dengan para pesakit dan
melaksanakannya mengikut masa yang telah ditetapkan tidak boleh dianggap ringan
dan tidak boleh diabaikan, jika tidak ia dikira berdosa, melainkan jika ada
keuzuran yang tidak dapat dielakkan.
3.Menunaikan
Janji. Wajib memenuhi janji yang
dibuat dengan pesakit untuk sesi perubatan dan seumpamanya. Ini kerana janji seumpama ini termasuk di
dalam arahan Allah swt untuk ditepati. Firman Allah : Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah kesemua janji…” (al-Maidah:
1)
Jika janji seumpama ini dimungkiri, maka ia dikira sebagai dosa pada
pandangan agama, mereka juga dikira bertanggungjawab ke atas kemudharatan yang
dialami oleh pesakit tersebut. Dr Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti
menyebut: Terdapat sebahagian yang
berpandangan bahawa seorang doktor, jika ia telah mengadakan temu-janji dengan
pesakitnya, kemudian dia tidak melaksanakan temu-janji rawatan, dan pesakit itu
mati, maka doktor itu dikira sebagai telah membunuh pesakitnya itu dengan
sengaja sekiranya dia dengan sengaja tidak melaksanakan temujanjinya, atau
disebabkan dengan alasan yang tidak kukuh, dan terbukti dia berniat untuk
sengaja untuk tidak memenuhi janji tersebut. (Ibid: 315)
4. Memberi nasihat kepada pesakit. Ini
merupakan tanggungjawab di dalam persaudaraan agama. Di dalam hadith Tamim
al-Dariy rhu, Nabi saw bersabda : Agama itu adalah nasihat, kami bertanya
untuk siapa baginda jawap untuk Allah, kitabnya, Rasulnya, pemimpin-pemimpin orang
Islam dan orang awamnya.
Al-Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Jarir bin ‘Abdillah
rhu yang berkata: Aku membaih Rasulullah
untuk mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menasihati setiap orang Islam.
Oleh itu mereka yang berhubung
terus dengan pesakit bertanggungjawab melaksanakan tugas yang mulia ini.
Termasuklah memberi bimbingan kepada pesakit melakukan usaha-usaha yang lebih
memberi kebaikan kepada diri mereka sendiri.
Termasuk di dalam perkara ini
berterus-terang sekiranya mereka tidak dapat lagi mengubati penyakit yang
dialami oleh seseorang pesakit dan mencadangkan tempat rawatan lain yang lebih
baik kepada pesakit. Perkara ini berlaku mungkin disebabkan kekurangan
kelengkapan yang mereka ada, atau kemungkinan juga dari sudut kaedah rawatan
yang terdapat di tempat lain lebih mengurangkan kemudharatan yang akan
ditanggung oleh pesakit.
Demikian juga, termasuk di dalam
kategori nasihat kepada pesakit, menerangkan kepada mereka kesan negatif dari
sesuatu rawatan yang diminta oleh pesakit, agar ia jelas kesan yang bakal
diterimanya. Kegagalan, cuai dan mengabaikan tanggungjawab ini, dikira sebagai
seorang yang berlaku zalim kepada pesakit dari kacamata Islam.
5. Memelihara aurat pesakit. Terdapat
banyak dalil-dalil syarak yang menyebut tentang kewajipan memelihara aurat,
menutup keburukan dan larangan dari sengaja melihat tanpa ada keperluan yang
mendesak.
Abu Hurairah rhu meriwayatkan,
Nabi saw bersabda: Tidak boleh seorang
lelaki melihat aurat orang lelaki yang lain dan tidak boleh perempuan melihat
aurat perempuan yang lain.
Demikian juga para ulama telah
bersepakat bahawa wajibnya menutup aurat dari dipandang oleh orang ramai. Oleh
kerana itu, orang-orang yang berhubung terus dengan para pesakit mereka
dituntut untuk beriltizam dengan adab ini dan menghormati kehormatan aurat
saudara semuslim. Maka tidak boleh dibuka aurat pesakit lelaki mahupun wanita,
melainkan apabila wujudnya keperluan yang mendesak, seperti proses pemeriksaan
atau rawatan mesti merangkumi bahagian aurat tersebut. Dalam keadaan mereka
tidak membiarkan aurat pesakit boleh dilihat oleh orang lain yang tidak ada
kaitan.
Wallaahu a’lam.
( mufti.perlis.gov.my )
No comments:
Post a Comment