Amalan sunnah ketika menziarahi orang nazak
Sebelum ini telah dinyatakan beberapa adab ketika menziarahi
orang sakit. Di bawah ini dinyatakan pula beberapa perkara yang berkaitan
dengan menziarahi orang yang sedang nazak:
1. Mentalkinkan orang
yang sedang nazak.
Dituntut untuk
talkinkan orang yang sedang nazak dengan kalimah tauhid Lailahaillallah ke
telinganya. Ini berdasarkan hadith nabi saw : Talkinkanlah orang-orang yang hampir mati dari kalangan kamu dengan
Lailahaillallah.
Muaz bin Jabal
meriwayatkan, sabda nabi saw : Sesiapa
yag akhir kalamnya dengan Lailahaillallah, wajib untuknya syurga.
Maka sesiapa yang
menziarahi orang yang sedang nazak hendaklah mengambil berat persoalan ini. Mereka
dituntut untuk mengingatkan orang yang dalam nazak mengucapkan kalimah tauhid.
Namun perlu diberi perhatian, jika dia telah mengucapkannya,
atau telah diajarkan kepadanya, maka tidak perlu diulangi lagi, kerana
perbuatan ini boleh menganggu orang yang sedang nazak.
Al-Imam al-Nawawi berkata : dan para ulama menganggap makruh memperbanyakkan dan berterusan
(mengajarkan talkin kepada orang yang sedang nazak), agar ia tidak merasa
gelisah ditambah dengan keadaannya yang amat sukar, sehingga timbul perasaan
tidak suka di dalam hatinya, yang boleh menyebabkan dia mengucapkan sesuatu
yang tidak wajar. Oleh itu para ulama berkata: Jika dia (orang yang sedang
nazak) telah menyebut (kalimah tauhid) sekali, tidak perlu mengulanginya lagi,
melainkan jika dia bercakap sesuatu yang lain. Maka diulangi talkin kepadanya,
untuk menjadikan akhir kalamnya dengan kalimah tauhid).
Al-Imam al-Zahabi di dalam kitabnya Siyar al-A’lam
al-Nubala menyebut kisah Abdullah bin al-Mubarak ketika sakitnya. Di mana datang seorang lelaki mengajarkan
kalimah tauhid kepada beliau secara berterusan. Lalu Ibn al-Mubarak berkata
kepada orang itu:
Kamu bukan melakukan sesuatu yang baik,
aku bimbang kamu akan menyakitkan / menyukarkan seorang muslim yang lain
selepas daripadaku. Jika kamu talkinkan aku, dan aku telah menyebut
lailahaillallah kemudian aku tidak memperkatakan perkara lain selepasnya, maka
tinggalkanlah aku, tetapi jika aku berkata sesuatu perkataan (yang lain), maka
talkinkan aku semula sehingga kalimah tauhid itu menjadi ungkapan akhir yang
aku ucapkan.
Sesuatu yang perlu diberi perhatian bahawasanya talkin
kepada orang yang hampir mati adalah dengan kalimat tauhid lailahaillallah sahaja tidak perlu mengajarnya dengan Muhammad rasulullah
dan tidak perlu juga mengajarkannya dua kalimah syahadah iaitu
Asyhadu....hingga akhir kerana yang disuruh oleh Nabi saw di dalam hadith
baginda ialah mengajarkan lailahaillallah sahaja, seperti hadith yang telah
disebut di atas.
Demikian juga talkin adalah mengajar orang yang sedang nazak
untuk mengucapkan kalimah tauhid, bukan sekadar mendengarkan dia dengan kalimah tersebut.
2- Bacaan Yasin kepada orang yang nazak.
Terdapat beberapa hadith dalam persoalan ini, salah satunya:
Bacakanlah Yasin ke atas orang yang hampir
mati di kalangan kamu.
Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata : Bacaan Yasin kepada orang yang hampir mati
adalah sunnah di sisi kebanyakan ulama berdasarkan hadith Nabi saw. (bermaksud):
Bacakanlah ke atas orang-orang yang hampir mati dengan surah Yasin.
Akan tetapi
hadith ini telah dilemahkan oleh sebahagian ulama. Maka bagi ulama yang
mensahihkan hadith ini, jadilah bacaan surah Yasin kepada orang yang hampir
mati adalah sunnah dan bagi ulama yang melemahkannya ia bukan merupakan suatu
sunnah, Wallahu a’lam.
Dikesempatan lain beliau menyebut: (Hadith) Bacalah Yasin kepada orang yang hampir mati
di kalangan kamu): hadith ini adalah hadith lemah, padanya ada kelemahan.
Tempat bacaan (surah Yasin) jika sahih hadith tersebut ialah untuk orang yang
sedang nazak, dibacakan untuknya surah Yasin. Sebahagian ulama berkata: Padanya
(surah Yasin) ada faedah, iaitu memudahkan ruh keluar, kerana di dalam surah
Yasin Allah berfirman (maksudnya): “Dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam
syurga, lalu dia berkata alangkah baik kaum aku mengetahuinya, dengan
pengampunan tuhanku kepadaku dan Dia menjadikan aku dari kalangan orang-orang
dimuliakan.
Maka surah Yasin dibaca kepada orang yang sakit hampir mati,
jika sahih hadith ini.
Adapun baca (surah Yasin) di kuburan maka tidak ada asal
baginya. Bagi al-Syeikh Abdul Aziz
Abdullah bin Baz pula ia berpandangan: Bacaan surah Yasin kepada orang yang
sedang nazak disebut di dalam hadith daripada Mu’aqqal bin Yasar, yang Nabi
S.A.W. bersabda: Bacalah ke atas orang yang hampir mati dengan surah Yasin.
Hadith ini telah disahihkan oleh sekumpulan ulama, kerana mereka menyangka
sanadnya bagus, sanadnya dari riwayat Abi Uthman al-Nahdiy daripada Muaqqal bin
Yasar. Sedang sebahagian ulama lain melemahkan hadith ini dan mengatakan:
periwayat hadith ini sebenarnya bukan Abi Uthman al-Nahdiy , akan tetapi orang
lain yang tidak dikenali. Oleh itu hadith ini diketahui (di sisi sebahagian
ulama) sebagai hadith lemah, disebabkan tidak diketahui siapakah Abi Uthman,
oleh itu tidak digalakkan membaca surah Yasin kepada orang yang hampir mati.
Ulama yang menggalakkan menyangka hadith ini sahih, lalu mereka
menggalakkannya. Akan tetapi membaca mana-mana ayat al-Quran kepada orang yang
sedang sakit adalah satu perkara yang baik, mudah-mudahan Allah memberi
kebaikan kepadanya dengan bacaan tersebut. Adapun mengkhususkan surah Yasin,
asalnya dibina dari hadith yang lemah, dan tidak ada jalan untuk
mengkhususkannya.
Namun terdapat athar dari sahabat Nabi saw yang meminta
dibacakan surah Yasin kepadanya ketika hampir mati. Imam Ahmad (4/105/16521)
meriwayatkan daripada Sofwan katanya: Menceritakan
kepadaku guru-guruku bahawasanya mereka menziarahi Ghudaif bin al-Haarith
al-Thumali (seorang sahabat Nabi S.A.W.) ketika hampir meninggal dunia, dia
berkata : “Adakah dari kalangan kamu seseorang untuk
membaca surah Yasin? Maka Soleh bin Syuraih al-Sakuni membacanya, ketikamana
sampai hingga ayat yang ke 40, beliau meninggal dunia. Dia (Sofwan) berkata:
guru-guruku memberitahu : “Jika dibacakan (surah Yasin) di sisi mayat,
diringankan (sakaratul maut) ke atasnya. Berkata Sofwan lagi: dan Isa bin
al-Mu’tamir membaca surah Yasin kepada Ibn Ma’bad (ketika sakitnya).”
Tentang hadith ini, Al-Hafidz Ibn Hajar di dalam al-Isobah
(5/324) berkata: “Isnad hadith ini hasan”. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah
juga memilih pendapat ini, di dalam al-Ikhtiyaraat (hal. 91) beliau berkata : “Adapun
membaca (Yasin) selepas kematian adalah bid’ah, berbeza dengan membaca (Yasin)
kepada orang yang hampir mati, kerana sesungguhnya ia digalakkan dengan Yasin.”
Oleh kerana itu, sebahagian ulama berpendapat sunat membaca
surah Yasin ini kepada orang yang hampir mati kerana ia mengandungi al-Tauhid,
al-Mi’aad (janji) dan khabar gembira dengan syurga bagi sesiapa yang mati dalam
tauhid. Iaitulah pada ayat (maksudnya): “Dikatakan kepadanya, masuklah kepada
syurga, lalu dia berkata: Mudah-mudahan kaumku mengetahui, dengan pengampunan
terhadapku oleh tuhanku, dan Dia menjadikan aku di kalangan orang-orang yang
dimuliakan”
Maka ruh mendapat khabar gembira dengan ayat ini, dan ia
memudahkan keluarnya dari jasad.
Namun perlu diberi perhatian, bagi sesiapa yang hendak
membaca surah Yasih kepada orang yang hampir mati, maka hendaklah dia meraikan
adab-adab di bawah:
i. Bacaan Yasin itu tidak mengganggu Talkin Syahadah. Kerana
mentalkinkan orang yang hampir mati lebih utama dari membaca surah Yasin atau
apa-apa surah kepadanya.
ii. Tidak dilakukan berjamaah. Ini kerana bacaan secara berjemaah
kebiasaannya akan mengeluarkan suara yang hiruk-pikuk, ditambah dengan
sebahagiannya tidak boleh membaca dengan betul. Keadaan ini sudah tentu akan
menganggu orang yang sedang berhadapan dengan sakaratul maut. Selain itu hadith
daripada Sofwan yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menunjukkan yang membaca
surah Yasin kepada Ghudaif bin al-Harith al-Thumaliy adalah seorang sahaja
iaitulah Soleh bin Syuraih al-Sakuuni.
iii. Hendaklah
dibaca dengan Tartil, dan menjaga hukum hakam tajwid. Ini kerana membaca
al-Quran beserta dengan tajwid adalah fardu atau wajib. Sesiapa yang membaca
al-Quran tanpa meraikan hukum-hakam tajwid akan terdedah kepada kesalahan yang
akan merosakkan maksud dan isi kandungan al-Quran. Maka bagaimana hendak
diharapkan kebaikan dari bacaan yang salah dan tidak beroleh pahala di sisi
Allah swt
Wallaahu a’lam.
( mufti.perlis.gov.my )
No comments:
Post a Comment