Adat melawat pesakit
Rasullullah memerintahkan
kami menziarahi pesakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, membantu orang
yang dizalimi, memenuhi jemputan dan menyebarkan salam. (HR : al-Bukhari
dan Muslim)
Menziarahi orang yang sedang sakit adalah termasuk di dalam
sunnah Nabi saw. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah memilih pandangan
yang mengatakan hukum menziarahi orang yang sedang sakit adalah Fardhu Kifayah.
Inilah juga pandangan al-Syeikh Muhammad bin Soleh
al-‘Uthaimin rahimahullah. Pandangan ini berdasarkan hadith Nabi saw : Lima perkara yang merupakan kewajipan seorang
muslim terhadap saudara (semuslimnya): menjawab salam, mendoakan kepada
saudaranya yang bersin, memenuhi jemputan, menziarahi saudaranya yang sakit dan
mengiringi janazah.
Dalam hadith yang lain diriwayatkan Baginda saw menyebut
menziarahi saudara seislam yang sakit ini termasuk di dalam hak seorang muslim
terhadap muslim yang lain. Ini membawa al-Imam al-Bukhari meletakkan tajuk di
dalam kitab sahih beliau sebagai “Bab Kewajipan Menziarahi Orang Yang Sakit”
lalu beliau meriwayatkan hadith Nabi saw : Berilah
makan kepada orang yang lapar, ziarahilah orang yang sakit dan bebaskanlah
tawanan.
Oleh itu jika tidak ada sesiapa yang menunaikan
tanggungjawab persaudaraan ini, semua umat di kira berdosa, dan wajib ke atas
orang yang mengetahuinya menunaikan tanggungjawab ini. amat tidak wajar seorang
muslim yang mengetahui saudara semuslimnya sakit, sebaliknya dia hanya
mendiamkan diri dan tidak menghiraukannya langsung. Tindakan ini mengundang
kepada terputusnya hubungan Silah al-Rahim sedangkan Nabi saw bersabda: Tidak ada satu dosa yang lebih berhak
disegerakan hukumannya oleh Allah (swt) kepada pelakunya di dunia, bersama
hukuman lain yang di tangguhkan hingga ke hari kiamat berbanding orang yang
melampaui batas dan memutuskan Silah al-Rahim.” (al-Bukhari di dalam
al-Abad al-Mufrad. Dinilai Sahih oleh al-Albani)
Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: Menziarahi pesakit adalah Fardhu Kifayah,
kebiasaannya orang sakit akan diziarahi oleh ahli keluarga dan
sahabat-handainya, ia memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah. Akan tetapi sekiranya
kita ketahui ada seorang asing di tempat kita, dan ia ditimpa sakit, dia pula
tidak dikenali oleh sesiapa, kita juga tahu bahawa tidak ada sesiapapun yang
menziarahinya, maka menjadi kewajipan kepada anda untuk menziarahinya, kerana
ia termasuk di dalam hak-hak persaudaraan Islam sesama mereka.(Syarh Riyadh
al-Solihin)
Wallaahu a’lam.
( mufti.perlis.gov.my )
No comments:
Post a Comment